Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Harimau Malaya seri 0-0 dengan Chonburi FC

Posted: 16 Jul 2013 10:37 AM PDT

KUALA LUMPUR 17 Julai - Skuad Harimau Malaya yang bakal berhadapan dengan Chelsea Ahad ini tampil penuh longlai apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika bertemu kelab dari Thailand, Chonburi FC pada aksi persahabatan malam tadi.

Turun tanpa kelibat pemain utama seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali, ternyata anak-anak buah Datuk K.Rajagobal gagal mencipta sebarang jaringan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Gandingan Mohd. Amri Yahyah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Nizad Ayub tidak mampu memikul tanggungjawab dalam usaha merencana sebarang peluang dan mencipta sebarang gol.

Ini sekali gus memberikan gambaran sukar bagi skuad Harimau Malaya untuk berhadapan gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea Ahad ini. - UTUSAN ONLINE

Revington teruskan tugas

Posted: 16 Jul 2013 11:49 AM PDT

Oleh ZAZALI JAMIAN dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
sukan@utusan.com.my

Paul Revington (tengah) bersama pemain-pemainnya selepas menentang Argentina pada perlawanan persahabatan, baru-baru ini. Keputusan Revington meneruskan tugas selaku jurulatih menggembirakan kem pasukan negara. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

KUALA LUMPUR - Paul Revington akhirnya menamatkan tanda tanya berhubung masa depannya bersama skuad hoki kebangsaan apabila memilih untuk kekal sebagai jurulatih sehingga 2014.

Perkara tersebut disahkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), semalam.

Ini bermakna skuad kebangsaan akan terus berada di bawah bimbingan jurulatih warga Afrika Selatan itu bagi memburu tiket ke Piala Dunia 2014 menerusi Piala Asia yang dijadual berlangsung bulan depan di Ipoh.

Setiausaha Agung MHC, Mohd. Johari Abdul Aziz berkata, Revington memilih untuk kekal selepas mengadakan pertemuan khas bersama Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, semalam.

Tambah Mohd. Johari, berita gembira itu diharap mampu menutup segala spekulasi bahawa jurulatih warga Afrika Selatan itu akan meninggalkan skuad kebangsaan.

"Ini sesuatu yang menggembirakan kami kerana kami memang mengharapkan jurulatih tersebut dapat terus kekal membimbing pasukan kebangsaan.

"Keputusan yang dibuat Revington itu juga membuktikan dia serius untuk membawa skuad hoki kita ke tahap yang lebih tinggi lagi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Revington yang sebelum ini memilih untuk melepaskan jawatan sebagai jurulatih bakal mengadakan satu sidang akhbar khas berhubung keputusannya itu hari ini.

Bulan lepas, Revington mengejutkan semua pihak dengan keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai jurulatih selepas mendakwa wujud campur tangan daripada jurulatih skuad remaja negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah dan Pengarah Pembangunan Hoki 1MAS, Lim Chiow Chuan.

Bagaimanapun, Revington mengubah keputusannya itu untuk membimbing sementara pasukan kebangsaan hingga tamat kejohanan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru dua minggu lalu selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada hujung bulan lepas.

Sementara itu, Mohd. Johari turut meletakkan harapan agar skuad kebangsaan dapat terus mengekalkan fokus menghadapi Piala Asia pada Ogos ini di Ipoh, Perak.

"Selepas ini saya percaya Revington dan pasukan akan lebih komited untuk menghadapi saingan dalam Piala Asia yang bakal berlangsung bulan depan kerana sasaran utama adalah untuk melangkah ke Piala Dunia 2014.

"Malah, kami anggap selepas ini satu buku baharu dapat dibuka sekali gus dapat menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sebelum ini," kata Mohd. Johari.

Sementara itu, Khairy menyambut baik langkah jurulatih hoki kebangsaan, Paul Revington untuk terus melatih pasukan negara sehingga tahun hadapan.

Beliau berkata, keputusan itu bakal memberi keyakinan baru kepada seluruh pemain untuk mencatat keputusan cemerlang dalam kejohanan Piala Asia bulan depan sekali gus layak ke Piala Dunia.

"Ini merupakan berita baik sebab kita di Majlis Sukan Negara (MSN) dan kementerian memang berharap beliau sambung perkhidmatan dengan pasukan kebangsaan.

"Perkara ini penting kerana kita ada Kejohanan Asia di Ipoh, Ogos ini dan amat penting untuk kita mendapat prestasi terbaik sebab kejohanan itu merupakan kelayakan ke Piala Dunia," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga KBS dan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan