Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Revington tak mahu ungkit

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Paul Revington mahu membuka lembaran baharu bersama skuad hoki kebangsaan dan melupakan detik hitam yang mendorongnya mengambil keputusan drastik meletakkan jawatan sebagai jurulatih awal bulan lalu.

Enggan mengungkit apa yang berlaku, Revington berikrar untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan skuad negara bagi menghadapi cabaran Piala Asia di Ipoh, bulan depan.

"Saya tidak akan menjelaskan punca kemelut ini berlaku. Apa yang telah berlaku biarlah berlalu. Saya ibaratkan apa yang berlaku seperti hubungan suami isteri yang tidak pernah dapat lari daripada perselisihan faham.

"Bagaimanapun, pada akhirnya kita semua perlu mengetepikan ego masing-masing demi kebaikan semua pihak, lebih-lebih lagi kita bakal menghadapi cabaran pada Piala Asia di Ipoh," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Mengimbas kembali masalah yang membelenggunya, menurut Revington, ia tercetus sejak Disember tahun lalu selepas skuad negara menyertai Cabaran Juara-Juara di Afrika Selatan.

Jelas beliau, sebagai jurulatih baru, dia menerima kejutan besar apabila berdepan dengan masalah yang disifatkan sebagai campur tangan terhadap tugasnya sebagai pengendali skuad kebangsaan.

"Bagi saya apa yang menimpa seperti satu kejutan budaya. Sebagai jurulatih baru, sejak tiba di Malaysia saya sama sekali tidak menduga akan berdepan dengan masalah seberat ini sehingga mengganggu tumpuan saya untuk menjalankan tugas," ujarnya.

Kini semua kekalutan tersebut telah pun diselesaikan dengan cara baik dan jurulatih warga Afrika Selatan itu tidak lagi mahu membuang masa yang mana cabaran besar bakal menanti skuad bimbingannya pada Piala Asia bulan depan. Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Pakistan, China dan juga Jepun.

Mengulas mengenai persiapan pasukan negara, Revington memberitahu, anak-anak buahnya akan memulakan sesi latihan penuh pada Isnin ini dan perlawanan persahabatan menentang China turut dibatalkan bagi memberi tumpuan kepada latihan.

"Saya mahu para pemain memberi fokus kepada latihan. Mereka telah menghadapi begitu banyak perlawanan besar sebelum ini dan tidak perlu kita membuang masa terbang ke China hanya untuk menghadapi satu perlawanan persahabatan," tegasnya.

Ketika ditanya mengenai taktik dan strategi akan akan diterapkan, Revington menjelaskan, setiap pasukan perlu ada strategi, tetapi apa yang paling penting sekarang adalah pemain perlu ada tahap pemikiran yang mantap.

Harimau pasti bangkit

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

SAFEE Sali diasak pemain Chonburi FC, Surawich Logarwit pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal mengakui keputusan seri tanpa jaringan Harimau Malaya dengan kelab Thailand, Chonburi dalam perlawanan persahabatan kelmarin, bukanlah yang sepatutnya dicapai namun menjanjikan perubahan mendadak apabila menghadapi Chelsea, 21 Julai ini.

Beliau turut menganggap ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal sudah cuba memberikan peluang kepada beberapa pemain yang dipanggil menyertai pasukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, biarpun hanya dengan menentang kelab pelawat yang didapati tidak menurunkan ramai tonggak mereka.

"Namun menentang Chelsea satu perlawanan yang lebih penting dan kami cuba pastikan pemain berikan persembahan terbaik kerana peminat turut akan bersama meneliti aksi mereka. Saya juga yakin Chelsea yang walaupun masih dalam pramusim liga mereka, pasti berikan persembahan yang terbaik.

"Jadi tiada sebab lagi untuk pemain kita tidak menampilkan mutu permainan yang mempunyai pembaharuan atau mencapai keputusan yang membanggakan. Walaupun bukanlah kemenangan yang kita cari, persembahan terbaik akan tetap menjadi KPI (penunjuk utama prestasi) atau penanda aras pasukan kita," katanya.

Dalam perlawanan yang cuma disaksikan 200 penyokong setia Harimau Malaya kelmarin, barisan bimbingan Rajagobal didapati ketandusan idea untuk menjana serangan mahupun mencipta peluang jaringan gara-gara ketiadaan gandingan utama di depan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Safee Mohd. Sali.

Aksi longlai gandingan pengganti mereka yang turut diuji seperti Mohd. Amri Yahyah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Nizad Ayub sebaliknya sempat ditampung dengan persefahaman mantap dan berdisiplin benteng negara yang diketuai Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak untuk menafikan percubaan gol pelawat.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan