Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Jangan terlalu berharap

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Skuad Harimau Malaya menjalani latihan dalam gimnasium di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam sebagai persiapan menentang Chelsea di Stadium Shah Alam, Ahad ini. - Utusan/Noor Asrekuzairey Salim

SUBANG - Para peminat Harimau Malaya tidak boleh terlalu mengharap kecemerlangan yang dipamerkan pada tahun 2011 apabila tewas tipis 0-1 kepada Chelsea akan menjelma sekali lagi.

Hakikat itu ditekankan oleh pengendali kebangsaan, Datuk K. Rajagobal yang mengingatkan, skuad yang akan ditampilkan kali ini akan membawa pemain dan jurulatih yang berlainan, begitu juga dengan pasukan Chelsea.

"Perlawanan yang terdahulu tidak boleh ada kaitan kerana itu adalah aksi dua tahun lepas di samping pemain yang akan digunakan kali ini tidak lagi sama dan jurulatih juga berbeza.

"Apa yang saya boleh katakan, memang kita semua main mahukan kemenangan tetapi kita perlu terima hakikat sejauh mana kekuatan lawan.

"Chelsea sudah tentu mahu berikan satu hiburan kepada peminat mereka di sini namun saya harap para pemain boleh mengambil kesempatan dan cuba dapatkan satu penghormatan dari pasukan lawan.

"Perlawanan ini boleh membantu kami untuk melakukan persiapan kelayakan Piala Asia 2015 dan saya harapkan semua pemain dapat mempelajari sesuatu nanti," katanya yang ditemui selepas sidang media pasukan Chelsea sempena Jelajah Asia 2013 di sini, semalam.

Dalam aksi terakhir Chelsea dua tahun lalu yang ketika itu dibimbing oleh Andres Villa-Boas, skuad Pilihan Malaysia yang dibimbing oleh Ong Kim Swee tewas 0-1 melalui jaringan kontroversi Didier Drogba setelah memperagakan permainan penuh cemerlang sepanjang 90 minit permainan.

Ini merupakan lawatan keempat The Blues ke Malaysia semenjak tahun 2003 tetapi kehadiran Chelsea kali ini cukup berbeza kerana membawa jurulatih yang paling berjaya dalam sejarah kelab bola sepak itu iaitu Jose Mourinho.

Rajagobal turut menyuarakan pandangan yang sama dengan mengatakan jurulatih dari Portugal itu antara yang terbaik di dunia dan merupakan satu penghormatan besar melihat skuad kebangsaan akan menentang Chelsea.

"Sebagai pengurus dan jurulatih pasukan, mana-mana dia pergi pasti akan ada ramai pemain terbaik dan itu memberi satu keistimewaan kepada dirinya.

"Walaupun sentiasa mempunyai ramai pemain hebat namun dia berjaya menguruskan mereka semua dengan baik sehingga membuatkan pasukannya antara yang terbaik, itu menjadikan Mourinho sebagai salah seorang pengurus yang disegani," katanya.

Chelsea janji aksi terbaik

Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT

Jose Mourinho (tengah) tersenyum mendengar soalan wartawan pada sidang akhbar di Subang sebaik tiba dari Bangkok, semalam. Turut kelihatan K. Rajagobal (kiri) dan pemain Chelsea, Michael Essien. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

SUBANG - Jika di Thailand, pengurus Chelsea, Jose Mourino berterus terang berminat bagi mendapatkan penyerang Manchester United, Wayne Rooney, lain pula ceritanya dalam sidang akhbar yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam

Semua media yang hadir tidak dibenarkan lagi bertanyakan lagi mengenai status Rooney dan walaupun ada pihak yang cuba mendapatkan maklumat terkini, soalan mereka dipatahkan awal-awal oleh Ketua Eksekutif Chelsea, Ron Gourlay tanpa sempat dijawab oleh Mourinho.

Situasi itu jelas menimbulkan rasa teka-teki di kalangan media yang hadir sehingga gagal mendapat sebarang berita untuk mengesahkan sama ada memang ada usaha membawa Rooney ke Stamford Bridge seperti mana yang didakwa sebelum ini.

"Sebelum kita memulakan sesi soal media, saya mahu tegaskan tiada sebarang soalan mengenai Rooney," tegas Gourlay pada sidang akhbar Jelajah Chelsea 2013 yang berlangsung di salah sebuah hotel di Subang.

Namun, masih ada pihak media yang berani cuba bertanyakan Mourinho dengan berkata: "Tuan, boleh ceritakan serba-sedikit mengenai bidaan yang dilakukan kepada Rooney sebelum ini, soalnya."

Gourlay bagaimanapun mencelah: "Tolong jangan menanyakan apa-apa soalan mengenai Rooney, tolong tanya soalan lain."

Rooney sebelum ini difahamkan telah dibida oleh Chelsea pada awal minggu ini tetapi pengurus United, David Moyes menegaskan, penyerang berusia 27 tahun itu bukan untuk dijual walaupun turut menarik perhatian satu lagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.

Masa depan penyerang itu di Old Trafford semakin tidak pasti selepas dia mengakui marah dan keliru mengenai peranannya di United.

Bercakap mengenai perlawanan dengan Harimau Malaya Ahad ini, Mourinho berharap pasukannya dan tuan rumah mampu memberikan satu aksi bola sepak yang terbaik kepada semua peminat.

Dia tidak kisah sama ada peminat yang hadir akan lebih menyokong Chelsea atau Malaysia, namun apa yang mustahak, dia berharap mereka berpuas hati dengan gaya yang akan ditampilkan oleh anak-anak buahnya.

"Saya tidak mungkin tahu sambutan peminat di sini tetapi semasa di Bangkok (Stadium Rajamangala), suasananya cukup meriah dengan lautan penyokong Chelsea.

"Sama ada penonton di sini menyokong pasukan mereka atau mereka datang kerana memang meminati Chelsea, saya cuma harap mereka dapat menikmati perlawanan ini," katanya.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, pengurus Harimau Malaya, Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengarah Pemasaran ProEvents, San Boon Wah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan