Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Pandelela-Mun Yee rangkul gangsa Kejohanan Dunia

Posted: 22 Jul 2013 12:10 PM PDT

KUALA LUMPUR 23 Julai - Skuad terjun Malaysia tidak pulang tangan kosong apabila pasangan penerjun negara Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama pada Kejohanan Dunia yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol awal hari ini.

Pandelela-Mun Yee mencatat pungutan tertinggi yang pernah dibuat iaitu 331.14 mata pada kejohanan dunia itu.

Pasangan terjun negara itu menghuni tangga kedua dalam awal saingan tetapi dipintas oleh pasangan Kanada, Roseline Filion-Meaghan Benfeito pada terjunan terakhir dengan kutipan mata 331.41 mata.

Pandelela- Mun Yee pernah meraih gangsa pada kejohanan yang sama di Rome pada 2009.

Penerjun China, Chen Ruolin-Liu Huixia muncul juara selepas mencatat 356.28 mata. - UTUSAN ONLINE

'Jangan cepat putus asa'

Posted: 22 Jul 2013 10:35 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan @utusan.com.my

Sultan Ahmad Shah beramah mesra dengan pemain-pemain skuad bola sepak kebangsaan pada majlis berbuka puasa anjuran FAM di sebuah hotel dekat Petaling Jaya, semalam. Turut kelihatan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (kiri). - UTUSAN/ASWAD YAHYA

PETALING JAYA - Aksi Harimau Malaya yang tunduk 1-4 kepada gergasi bola sepak Inggeris, Chelsea, Ahad lalu, tetap mendapat pujian daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah, yang menyifatkan semua pemain menunjukkan semangat melawan yang tinggi tanpa kenal erti berputus asa.

Menurut baginda, perlawanan di Stadium Shah Alam itu menunjukkan masih ada sinar buat bola sepak negara dan yakin harapan untuk melihat Malaysia mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2015 tetap cerah jika mereka meneruskan sikap positif ketika mereka tunjukkan semasa menentang Chelsea.

"Sukacita saya hendak menyatakan permainan kita semalam boleh dipuji, walaupun kita kalah, cara permainan kita cukup baik dan melawan sehingga saat akhir.

"(Walaupun) ketinggalan empat gol, mereka tidak fikirkan itu semua dan perlu diingat menentang Chelsea, pasukan yang berada di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

"Pasukan kita tidak bernasib baik dan tetap mencuba sehingga hingga ke akhirnya dan di sini saya menghargai sokongan para peminat sambil mengucapkan terima kasih kerana sentiasa menyokong semangat pemain-pemain kita.

"Kita tidaklah kalah teruk sangat seperti pasukan (ASEAN) lain yang kalah 7-1, sekurang-kurangnya kita menunjukkan semangat melawan tanpa mengenal siapa lawan kita di atas padang," jelas Sultan Ahmad Shah pada majlis buka puasa di salah sebuah hotel di Petaling Jaya, semalam.

Malah, baginda tidak pernah berputus harap dalam usaha menaikkan ranking negara sambil menegaskan, semua pihak bebas memberikan sebarang komen tanpa sebarang halangan.

"Soal ranking, saya tahu ramai kecewa, marah dan berikan pelbagai komen, saya sedia terima apa jua cadangan mereka perkatakan kerana negara ini mempunyai kebebasan untuk bersuara.

"Namun, kita tidak boleh cepat berputus asa dalam usaha menaikkan ranking dan kami akan bekerja keras ke arah itu malahan sentiasa menyokong pasukan," titah baginda.

Pada perlawanan semalam, skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal gagal mengulangi pencapaian tewas 0-1 kepada Chelsea pada dua tahun lalu selepas ketinggalan 0-3 pada babak pertama hasil jaringan Bertrand Traore, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku sebelum Victor Moses menambah jaringan keempat pada minit ke-89.

Mujurlah Mohd. Fadhli Shas memberikan sedikit keceriaan kepada sejumlah penyokong Harimau Malaya yang hadir melalui gol sagu hati pada masa kecederaan tetapi Mohd. Nizad Ayub terlepas peluang menghadirkan jaringan kedua apabila rembatannya yang sudah menewaskan Peter Cech dapat dikeluarkan di atas garisan gol oleh Ashley Cole.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen