Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Pandelela-Mun Yee tidak mengecewakan

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee (kanan) bersama pemenang pingat emas dari China, Liu Huixia dan Chen Ruolin (tengah) pada upacara penyampaian pingat acara terjun 10 meter platform seirama Kejohanan Dunia di Barcelona, kelmarin. Turut kelihatan pemenang pingat perak dari Kanada, Meaghan Benfeito dan Roseline Filion. - REUTERS

KUALA LUMPUR - Terjunan terakhir menjadi penghalang buat pasangan penerjun wanita negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee untuk meraih pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama, sebaliknya mereka hanya mengulangi pencapai 2009 di Rome, apabila membawa pulang gangsa pada Kejohanan Dunia FINA 2013 di Barcelona, kelmarin.

Saingan merebut pingat perak berlaku dengan amat sengit sekali di antara Pendelela-Mun Yee dan pasangan Kanada, Meaghan Benfeito-Roseline Fillion sehingga aksi terakhir menjadi penentu tatkala pasangan China yang meraih emas, Chen Ruolin-Liu Huixia berada pada kelas tersendiri.

Mengimbau kembali aksi di Piscina Municipal de Montjuic, Pandelela-Mun Yee kekal di tempat kedua sejak terjunan pertama hingga keempat, dengan memungut mata, 52.80, 56.40, 69.30, 73.92 (keseluruhan 252.42).

Sementara Benfeito-Fillion pula berada di tempat ketiga pada terjunan pertama dan kedua (52.20 dan 52.80)

Pasangan Kanada itu juga tergelincir ke tempat keempat pada terjunan ketiga (66.60) tetapi mereka kembali bangkit pada terjunan keempat selepas mencatat 78.21 mata (keseluruhan 249.81).

Pada terjunan terakhir mereka berjaya membuat aksi mantap untuk memperoleh 81.60 manakala pasangan Malaysia pula mencatat 78.72 mata.

Hasilnya Pandelela-Mun Yee mencatat mata keseluruhan 331.14 untuk sekadar pingat gangsa, manakala Benfeito-Fillion pula melonjak di tangga kedua seterusnya meraih perak dengan catatan 331.41 mata, manakala Ruolin-Huixia unggul di tempat pertama (356.28)

Ia adalah pingat gangsa kedua buat Pandelela-Mun Yee selepas mereka melakukan pencapaian yang sama di kejohanan yang sama pada 2009 di Rome, dua tahun lalu di Shanghai, China mereka gagal membawa pulang sebarang pingat dan hanya menduduki tempat keenam.

Pingat gangsa tersebut setidak-tidaknya dapat mengubat kekecewaan tahun lalu di Sukan Olimpik London, ketika itu Pandelela-Mun Yee menduduki tempat keenam.

Menurut Pandelela, jurulatih, Yang Zhuliang amat gembira mengenai prestasi yang mereka tunjukkan kerana jarang dapat memungut mata melebihi 330 dan dalam masa yang sama mereka juga dikatakan tidak membuat sebarang kesilapan besar.

"Cuma kami sikit terkilan penerjun Kanada memintas kami di saat akhir, mereka mempamerkan aksi lebih baik daripada kami ketika terjunan terakhir itu. Memang kami meletakkan sasaran untuk menang pingat tetapi terlepas pingat perak yang hanya dibezakan 0.27 mata," katanya kepada media selepas tamat saingan kelmarin.

Tambahnya, pingat gangsa yang diraih itu setidak-tidaknya mengubat kekecewaan mereka di Sukan Olimpik 2012 London dan hari ini dia (Pandelela) akan menumpukan perhatian kepada acara individu yang kurang sedikit tekanan berbanding acara seirama.

'Jangan tukar status perlawanan'

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Pasukan Harimau Malaya diberikan peringatan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin agar tidak lagi menukar perlawanan kelas A kepada aksi perlawanan pemanas badan biasa jika mahu memperbaiki kedudukan ranking dunia.

Tegasnya, perkara itu menjadi punca kepada kejatuhan utama ranking Harimau Malaya yang kini terperosok ke tangga ke-159 dunia ekoran banyak perlawanan yang persahabatan menentang pasukan antarabangsa tidak diklasifikasikan sebagai aksi persahabatan kelas A oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Beliau menyentuh perkara itu kerana tiga perlawanan yang sebelum ini yang statusnya berkelas A seperti seperti berdepan Iraq (tewas 0-2 pada Februari), Arab Saudi (tewas 1-4 pada Mac) dan Palestin (tewas 0-2 pada Mac) tidak diambil kira oleh FIFA.

Mengikut undang-undang, aksi persahabatan kelas A tidak boleh menggunakan lebih enam pemain gantian dan sekiranya itu terjadi, perlawanan itu mendatangkan sebarang faedah dalam kiraan ranking FIFA.

"Sejak dari dulu lagi, bagi saya ranking itu sangat mustahak dan saya menganggap ranking adalah sebagai penanda aras untuk satu pasukan sama ada meningkat atau sebaliknya melalui perlawanan-perlawanan persahabatan berkelas A.

"Saya juga tidak tahu sekiranya ada kes jurulatih yang mahu mengelak bertemu dengan pasukan negara ini tetapi saya memberikan jaminan bahawa perkara itu tidak akan terjadi pada masa akan datang.

"Sebagai jurulatih, sudah tugasnya untuk harus peka dan tegas apabila satu pasukan itu telah ditetapkan bagi menghadapi satu perlawanan dan kita wajib bermain mengikut apa yang dirancangkan," katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa di salah sebuah hotel di Petaling Jaya, semalam.

Pun begitu, Hamidin tidak menyalahkan 100 peratus terhadap perubahan jadual skuad negara di bahu jurulatih, Datuk K. Rajagobal sambil menganggap faktor kekangan masa menjadi punca pengubahan status perlawanan itu.

"Ada kalanya, bukan kehendak jurulatih 'melarikan' diri dari perlawanan antarabangsa, namun pasukan negara itu tidak boleh bersetuju untuk beraksi pada saat-saat akhir dengan kita

"Kadang-kadang tidak semua masa mereka (pasukan lawan) bersesuaian dengan pasukan kita dan perkara itu juga kita perlu ambil kira," katanya.

Mengenai isu yang sama, Hamidin menjelaskan, dia sedang menyusun jadual bagi aksi persahabatan kelas A dengan sasarannya seawal bulan Disember tahun ini.

"Di pihak FAM, kami sedang merancang jadual untuk kalendar pada tahun hadapan sebaik sahaja FIFA mengeluarkan tarikh-tarikh mengadakan perlawanan persahabatan berkelas A dengan sembilan tarikh dibenarkan untuk kami mengatur perlawanan.

"FAM telah menghantar surat permohonan perlawanan persahabatan kepada negara-negara ASEAN, Asia, Afrika serta Eropah dengan sasarannya adalah pasukan dari Asia.

"Kita perlu berusaha keras dari sekarang untuk mendapatkan tarikh awal yang dikeluarkan FIFA bagi aksi perlawanan persahabatan Disember tahun ini atau awal 2014," jelasnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen