Utusan Online - Sukan |
Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT Oleh FERZALFIE FAUZI Khairy dan Zolkples (kanan) beramah mesra bersama pemain ragbi Kelantan yang memenangi pingat emas selepas berjaya menewaskan Melaka 36-0 pada Sukan Sukma XVI di Serdang, semalam. - UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN KUALA LUMPUR - Khairy Jamaluddin dalam nada tegas menyarankan semua pemain, jurulatih dan pegawai pasukan bola jaring Wilayah Persekutuan digantung serta merta ekoran kesalahan membawa masuk minuman keras dalam perkampungan Sukan Malaysia XVI, Rabu lalu. Tegas Menteri Belia dan Sukan, walaupun kes rogol melibatkan tiga atlet pasukan itu masih dalam siasatan polis, namun mereka terbukti didapati bersalah kerana melanggar disiplin Sukan Malaysia dengan membawa masuk minuman keras. "Kerana atlet ini berada di bawah tanggungjawab Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), saya telah meminta Datuk Seri Zolkples (Embong), Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) supaya mengambil tindakan awal. "Saya cadangkan kepada MSWP supaya bukan saja tiga atlet terlibat digantung, malah semua anggota pasukan yang lain, pegawai dan jurulatih yang terlibat turut digantung. "Saya juga sarankan Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF), saudara Pandak (Ahmad) supaya melakukan perkara yang sama, iaitu gantung semua mereka yang terlibat dalam kes ini dan harap tindakan dapat diambil dengan cepat. "MSWP dan persatuan berada di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sebab itu kita boleh sarankan mereka mengambil tindakan ini. "Kita kena ingat, rogol dan melanggar disiplin adalah dua perkara berbeza di sini. Dalam kes jenayah, ia di bawah bidang kuasa pihak polis, jadi kita serahkan semuanya kepada polis untuk menjalankan siasatan. "Tetapi dalam kes membawa masuk minuman keras, ia adalah di bawah kuasa MSN dan KBS, jadi kita boleh menyarankan majlis sukan dan persatuan untuk mengambil tindakan. Surat rasmi akan dikeluarkan esok, ini cadangan kami," kata Khairy kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir acara ragbi Sukan Malaysia XVI, semalam. Akhbar tempatan kelmarin melaporkan seorang pegawai pengiring membuat laporan polis mendakwa dia dirogol secara bergilir-gilir oleh atlet lelaki bola baling di perkampungan sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Rabu lalu. Jelas Khairy, sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas perjalanan Sukan Malaysia, beliau merasa amat sedih dan dukacita kerana kejadian itu telah mencacatkan temasya yang berlangsung dengan baik sekali tanpa menghadapi sebarang masalah yang besar. Bagaimanapun beliau menegaskan, pihak penganjur telah mengambil langkah keselamatan yang paling ketat dan mengikut prosedur yang sepatutnya, namun kejadian yang berlaku dalam kawasan asrama penginapan atlet adalah di bawah tanggungjawab kontinjen sendiri. "Ini adalah kali pertama insiden ini berlaku dalam sejarah pengelolaan Sukan Malaysia bermula pada tahun 1986 yang lalu. Jawatankuasa Pengelola sememangnya mengadakan kawalan yang begitu ketat di tempat penginapan "Kerjasama daripada pihak PDRM digunakan untuk menjaga aspek ini manakala Unit Keselamatan UPM juga turut digunakan. Prosedur penempatan adalah mengikut prosedur UPM sendiri dan mereka amat ketat dalam mengawal penempatan terutama dalam memisahkan blok asrama lelaki dan wanita," katanya lagi. Kata Khairy, tanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan disiplin kontinjen pada setiap masa terutamanya di blok-blok penginapan dalam kawasan asrama adalah di bawah pengawasan kontinjen negeri masing-masing. Jelasnya, setiap pasukan mempunyai pegawai terdiri daripada pengurus, penolong pengurus, pegawai pengiring, jurulatih dan sebagainya, justeru mereka ini harus bertanggungjawab penuh terhadap anggota mereka, termasuk hal-hal keselamatan. "Tindakan tegas ini harus menjadi mesej yang jelas kepada semua pegawai, jurulatih dan pengurus supaya lebih bertanggungjawab pada masa akan datang. "Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid (Abu Bakar) bahawa beliau akan mempercepatkan siasatan kes ini, ketiga-tiga suspek sudah ditahan reman. "Saya juga telah mengarahkan MSN untuk membuat satu post-mortem dengan segera supaya kejadian-kejadian tersebut tidak berulang pada mana-mana temasya kebangsaan akan datang," katanya. |
Selangor juara Sukma XVI, sekat dominasi Terengganu Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT Kontinjen Selangor bersorak selepas diumumkan juara Sukma XVI Kuala Lumpur pada majlis penutup temasya itu di Stadium MSN, Bukit Jalil, malam tadi. KUALA LUMPUR - Selangor berjaya menyekat dominasi Terengganu apabila muncul juara Sukan Malaysia XVI yang melabuhkan tirainya semalam dengan kejayaan meraih sebanyak 23 emas, 17 perak dan 30 gangsa. Terengganu yang menjuarai edisi 2008, 2010, 2011 serta 2012 berada di tempat kedua dengan perbezaan empat emas. Wilayah Persekutuan pula di tempat ketiga dengan 15 emas 20 perak dan 27 gangsa. Lebih menarik, gimnas Selangor. Daniel Iskandar Richard dari acara gimnastik artistik dinobat Atlet Lelaki Terbaik selepas meraih tiga emas dalam disiplin keseluruhan individu, keseluruhan berpasukan dan kekuda berpelana. Dia juga telah meraih dua perak dalam acara melombol dan palang tunggal. Sementara Esmelda Arecia Menti Alfred Geling dari Sarawak pula dirai sebagai Atlet Wanita Terbaik dan kedua-dua atlet tersebut telah menerima trofi dan RM1,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Esmelda yang telah pun pulang ke negeri kelahirannya, Sarawak terpaksa diterbangkan semula ke Kuala Lumpur, semalam. Dia meraih dua emas dalam aparatus melombol dan batan titian. Gimnas berusia 13 tahun itu telah meraih tiga perak bagi disiplin berpasukan keseluruhan, palang bertingkat dan senaman lantai. Dia juga telah memenangi satu pingat gangsa bagi disiplin keseluruhan individu. Bendera temasya yang telah diturunkan kemudian diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan Malaysia XVI, Datuk Seri Zolkples Embong sebelum diberikan kepada Khairy yang kemudiannya memberikan kepada Menteri Besar Perlis, Azlan Man sebagai wakil tuan rumah Sukan Malaysia XVII di Perlis tahun depan. Sementara itu, timbalan Ketua Kontinjen Selangor, Amiruddin Shari berkata, hasil kejayaan kontinjen itu adalah usaha berterusan Majlis Sukan Negeri dan persatuan sukan negeri Selangor. "Kita berjaya merampas kembali kejuaraan dengan membuktikan pembangunan sukan di Selangor masih bagus," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan