Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tiga digantung serta merta

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

Pandak Ahmad

KUALA LUMPUR - Tiga pemain bola baling Wilayah Persekutuan yang didapati bersalah membawa masuk minuman keras ke dalam perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) 2013 minggu lepas, digantung serta-merta daripada terlibat dalam sebarang aktiviti sukan berkenaan.

Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM), Pandak Ahmad berkata, selain itu pengurus pasukan, jurulatih dan seorang pegawai pasukan terbabit turut dikenakan tindakan sama walaupun mereka tidak terlibat membawa masuk bahan larangan berkenaan ke perkampungan sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata, PBBM memandang serius insiden itu dan tindakan yang dikenakan terhadap ketiga-tiga pegawai terbabit ialah kerana mereka sepatutnya memantau atlet mereka sepanjang berada di perkampungan sukan.

"Pada perjumpaan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, kami usulkan supaya mereka ini digantung sementara kerana dalam insiden pada Rabu lepas, terdapat dua kes iaitu membawa masuk minuman keras dan rogol.

"Berhubung kes rogol, kami serahkan kepada polis. Kami gantung mereka sementara kerana membawa masuk minuman keras ke dalam perkampungan sukan melanggar disiplin Sukan Malaysia," katanya ketika dihubungi semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pegawai pengiring membuat laporan polis mendakwa dia dirogol secara bergilir-gilir oleh atlet lelaki bola baling di perkampungan sukan di UPM, Rabu lepas.

Mengulas lanjut, Pandak berkata berikutan insiden itu, pihaknya akan mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi atlet dan pegawai termasuk pengurus dan jurulatih yang terlibat dalam sesuatu kejohanan atau temasya sukan.

"Misalnya, dalam kes ini, pegawai pengiring itu berumur 19 tahun dan dia perlu awasi atlet lelaki yang berusia 18 dan 19 tahun. Banyak kemungkinan yang boleh berlaku.

"Dalam SOP itu juga, kami akan nyatakan bahawa membawa minuman keras semasa berlangsungnya sesuatu kejohanan itu melanggar disiplin sebagai atlet," katanya.

Tiga atlet bola baling lelaki Sukma 2013 ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis berkaitan kes rogol itu.

Tiga suspek berusia antara 18 dan 19 tahun itu ditahan Jumaat lepas, di perkampungan sukan berkenaan, sehari selepas mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang. - Bernama

'Pegawai perlu bertanggungjawab'

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
sukan@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, semua pegawai, pengurus dan jurulatih pasukan perlu bertanggungjawab penuh dalam aspek keselamatan dan disiplin atlet-atlet muda.

Menurut beliau, setiap pegawai sukan perlu memikul tanggungjawab tersebut ketika mengendalikan pasukan terutamanya membabitkan atlet pelapis.

"Dalam hal ini, pegawai tidak boleh mengejar glamor sebaliknya kena melihat atlet dan lihat disiplin mereka, harap kejadian ini beri peringatan kepada semua.

"Kita perlu ingat, atlet pelapis ini masih muda, ada yang berumur 17 dan 18 tahun mereka masih belum matang dari segi pemikiran begitu juga dengan perangai mereka," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai kejadian rogol melibatkan atlet bola baling Wilayah Persekutuan selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian itu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Dalam majlis tersebut, seramai 351 kakitangan kementerian itu menerima anugerah masing-masing di atas khidmat cemerlang yang diberikan.

Akhbar kelmarin melaporkan seorang pegawai pengiring membuat laporan polis mendakwa dia dirogol secara bergilir-gilir oleh atlet lelaki bola baling di perkampungan sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Rabu lalu.

Serentak itu Khairy mengarahkan semua pemain, jurulatih dan pegawai pasukan bola baling Wilayah Persekutuan digantung serta-merta ekoran kesalahan membawa masuk minuman keras dalam perkampungan Sukan Malaysia XVI.

Tegas Khairy, hukuman yang lebih berat perlu dikenakan kepada pegawai pasukan berkenaan sekiranya didapati bersalah kerana terlibat dengan kejadian tersebut.

"Saya minta Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) mengenakan hukuman lebih berat daripada hanya digantung tugas sementara.

"Mereka sepatutnya sebagai pegawai, jurulatih dan pengurus perlu lebih bertanggungjawab lagi kepada pasukan atlet," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihak kementerian akan mengkaji semula protokol melibatkan keselamatan kontinjen pasukan bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang kembali.

Beliau berkata, langkah itu perlu diambil memandangkan terdapat kegagalan dalam prosedur protokol keselamatan tersebut.

"Perkara ini merupakan antara tindakan yang akan diambil oleh kementerian selain mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang terlibat," katanya.

Sementara itu, katanya, beliau telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa untuk mempercepatkan siasatan kes rogol tersebut di mana ketiga-tiga suspek sudah ditahan reman.

"Saya juga telah mengarahkan MSN untuk membuat satu post mortem dengan segera supaya kejadian tersebut tidak berulang," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen