Kosmo Online - Sukan |
Posted: Semangat SafeeOleh WAN FAKHRUL BAKAR PENGHIJRAHAN penyerang kebangsaan, Safee Sali ke kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya kelmarin telah menimbulkan pelbagai reaksi. Ramai yang menyokong keberanian Safee untuk keluar dari kepompong pemain-pemain tempatan yang selesa sekadar beraksi di Liga Super Malaysia (MSL). Namun ada juga yang seolah-olah mempelekehkan tindakan Safee itu dengan menganggap Pelita Jaya yang disertainya kini hanya menduduki tangga tercorot ISL selepas 13 perlawanan. Situasi tersebut nyata langsung tidak melunturkan semangat Safee, malah ia turut membuatkan pemain berusia 27 tahun itu lebih bersemangat untuk membuktikan tindakannya itu tepat. "Saya tahu Pelita Jaya kini di tangga tercorot ISL. Jadi ia membuatkan saya bertambah teruja dan bersemangat untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam liga. "Apa yang penting, saya dapat peluang beraksi sepenuhnya bersama Pelita Jaya dan ini juga merupakan langkah sulung saya untuk memasarkan diri di saingan liga luar. "Kalau saya sertai pasukan yang lebih baik kedudukannya di ISL tetapi hanya duduk di bangku simpanan, tak guna juga," kata Safee ketika ditemui selepas latihan skuad kebangsaan di Stadium Shah Alam petang semalam. Selepas berakhir aksi pusingan pertama ISL, Pelita Jaya kini di tangga ke-15 dengan 10 mata tetapi jurang mata dengan pasukan kelompok atasan sebenarnya tidaklah begitu jauh. Malah Pelita Jaya hanya dipisahkan sembilan mata dengan pasukan di tangga keenam ISL ketika ini, Persisam. Safee turut menegaskan bahawa penghijrahannya ke Pelita Jaya bukan semata-mata kerana wang tetapi lebih kepada kemajuan kariernya. Pemain kelahiran Kajang, Selangor itu difahamkan diberi gaji bulanan AS$10,000 (RM30,345) oleh Pelita Jaya. "Mungkin ramai tak tahu ranking ISL di peringkat Asia jauh lebih tinggi berbanding ranking MSL. Jadi bila ada yang kata ISL sama saja dengan MSL, mereka silap. "Di ISL saya akan dapat merasai suasana baru dan pengalaman baru beraksi di liga luar serta dapat bersaing dengan pemain-pemain import. "Jadi saya akan jadikan tanggapan sinis mereka ini sebagai lonjakan semangat untuk mencipta sesuatu bersama Pelita Jaya di ISL," tegas Safee yang akan berlepas ke Indonesia pada Isnin ini. Safee menandatangani kontrak setahun bersama Pelita Jaya sehingga 31 Januari 2012 dan akan turun aksi sulungnya bersama kelab itu ketika berdepan Persib Bandung di laman sendiri pada 7 Mac depan. |
Rajagobal mahu pemain pamer aksi konsisten Posted: Rajagobal mahu pemain pamer aksi konsistenRAJAGOBAL (kanan) bersalaman dengan jurulatih Hong Kong, Wai Chung pada sidang media menjelang aksi persahabatan di Stadium Shah Alam semalam. SKUAD bola sepak kebangsaan turun berdepan Hong Kong di Stadium Shah Alam malam ini untuk perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus A pertama mereka bagi tahun ini, lapor WAN FAKHRUL BAKAR. Kemenangan sudah pasti menjadi buruan skuad Harimau Malaya sebagai menjaga status mereka sebagai juara Piala Suzuki AFF 2010. Namun bagi jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal, dia lebih mahu melihat para pemainnya meneruskan aksi konsisten selain memantau prestasi beberapa muka baru yang diserap kali ini. "Saya mahu para pemain menampilkan satu aksi yang baik biarpun ini hanyalah perlawanan persahabatan. Memang keputusan penting untuk sistem ranking. "Tapi saya utamakan jangka panjang iaitu untuk mewujudkan satu pasukan yang kuat dan mantap menjelang kelayakan Piala Dunia 2014 pada Jun depan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Shah Alam petang semalam. Daripada 24 pemain yang dipanggil sejak 2 Februari lalu, hanya 20 pemain akan disenaraikan Rajagobal untuk aksi malam ini. Empat pemain yang tercicir ialah Sharbinee Allawee Ramli (isteri bersalin), Amar Rohidan (demam campak), S. Chanthuru (cedera buku lali) dan Izzaq Faris Ramlan (hamstring). Bagi Rajagobal, dia tidak mahu terlalu risau dengan pemain yang cedera atau tidak dapat diturunkan itu sebaliknya menganggap ia sebagai peluang kepada pemain lain menonjolkan kemampuan mereka. "Saya akan gunakan peluang ini untuk menilai prestasi seseorang pemain itu sama ada dia boleh beraksi untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang atau sebaliknya," jelas pengendali berusia 55 tahun itu. Norshahrul Idlan Talaha dan Azmi Muslim yang dikatakan cedera dilihat menjalani latihan seperti biasa petang semalam dan mereka mungkin dimasukkan sebagai pemain gantian malam ini. Ditanya tentang pasukan Hong Kong, Rajagobal berkata: "Cara Hong Kong main sama seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Korea Utara iaitu menggunakan corak permainan pantas. Jadi kami takkan pandang mudah." Skuad kebangsaan kini berada di ranking ke-140 dunia manakala Hong Kong yang dibimbing Tsang Wai Chung di ranking ke-143. |
BAM cari pengganti Muhammad Hafiz Posted: BAM cari pengganti Muhammad Hafiztindakan pemain badminton negara, Muhammad Hafiz Hashim keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi tekanan kepada pemain lain. Ini kerana, mereka perlu segera memperbaiki ranking dan merebut tempat perseorangan kedua negara yang ditinggalkan bekas juara Seluruh England itu. Menurut ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF), perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei kekal di tangga pertama tetapi pemain lain ketinggalan di belakang. Liew Daren sekadar tempat ke-92, Tan Chun Seang (96) dan Chong Wei Feng (122). Jurulatih pasukan kebangsaan, Rashid Sidek berkata, pemain muda seperti Daren, Tan, Chong dan Chan Kwong Beng dilihat berpotensi untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Muhammad Hafiz dan menjadi tonggak utama negara dalam kejohanan-kejohanan besar. Beliau berkata, mereka akan diberi peluang untuk menyertai lebih banyak kejohanan tahun ini bagi membaiki kedudukan masing-masing di samping merapatkan jurang ranking yang terlalu besar dengan Chong Wei. "Mereka perlu kekal masuk suku akhir pada setiap kejohanan untuk mengejar kedudukan 30 teratas, tapi ini tidak bermaksud kita galakkan mereka untuk sasar sampai suku akhir sahaja, kenalah sasar untuk masuk akhir dan menang," katanya selepas sesi latihan di Stadium Juara Bukit Kiara semalam. Rashid berkata, pemain badminton negara kini sedang berlatih bagi menghadapi Sirkit Nasional Proton GP Akhir 2010 di Kuala Terengganu, Terengganu pada 18 hingga 21 Februari ini serta Terbuka Jerman dan Terbuka Switzerland bulan depan. Chong Wei bakal berentap bagi mempertahankan kejuaraan Seluruh England yang dimenangi tahun lepas pada 8 hingga 13 Mac ini. Selain Chong Wei, Muhammad Hafiz yang merupakan pemain ranking ke-24 dunia akan turut beraksi pada kejohanan berprestij itu. Muhammad Hafiz kini merupakan pemain profesional yang bergerak secara solo selepas permohonan untuk meninggalkan BAM diterima majlis tertinggi badan induk badminton itu. Kontraknya ditamatkan secara rasmi pada 1 Februari lepas setelah menyertai BAM selama hampir tiga tahun. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan