Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Isu Mibsun selesai minggu depan

Posted:

Isu Mibsun selesai minggu depan

Isu Mibsun selesai minggu depan

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Walau apa pun penamat kepada krisis di antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Datuk Misbun Sidek, ia akan berakhir minggu depan.

Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj berkata, krisis tersebut akan diselesaikan segera kerana badan badminton kebangsaan itu bakal mengharungi jadual yang padat bermula dari pertengahan Februari ini hingga bulan depan.

Pada 18-21 Februari ini, BAM sibuk dengan penganjuran Grand Prix Kebangsaan Akhir di Kuala Terengganu, sebelum tumpuan kemudian beralih kepada Terbuka Jerman (1-6 Mac), All England (8-13 Mac) dan Terbuka Switzerland dari 15-20 Mac.

"Pertemuan Presiden BAM (Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh) dan Misbun minggu lalu sebenarnya telah mencapai satu keputusan, namun Presiden mahu Misbun bertemu saya dan Kenny Goh (Pengurus Besar BAM) bagi membincangkan butiran terperinci apa yang dimahukan.

"Ia sepatutnya boleh selesai lebih awal tetapi memandangkan Kenny sedang sibuk dengan perayaan Tahun Baru Cina, jadi saya jangkakan rundingan dapat dijalankan sebaik Kenny kembali berkerja Isnin depan.

"Saya tidak fikir penyelesaian akan lewat dicapai kerana pada dasarnya kedua-dua pihak tahu apa yang dimahukan, ia cuma hendak diperhalusi dan kemudian dimuktamadkan. Bagaimanapun saya percaya krisis ini akan berakhir dengan positif,'' ujar James.

Program persiapan Sukan Olimpik London 2012 yang sudahpun dimulakan oleh Misbun dan anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei dilihat sebagai sebab utama yang akan mengikat jurulatih itu untuk kekal di BAM.

Dengan Chong Wei, 29, merupakan prospek terbaik negara untuk memenangi pingat emas pada temasya berkenaan, Misbun pasti tidak mahu mensia-siakan segala persiapan yang sudah berjalan, sebaliknya hanya membuat keputusan yang berteraskan kepentingan negara.

Biarpun tidak gembira dengan beberapa individu dalam badan badminton kebangsaan itu, namun jurulatih berkenaan sudah memberi jaminan kepada Nadzmi bahawa beliau tidak akan menyentuh struktur kejurulatihan atau Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) mereka.

"Saya yakin kami akan mencapai satu penyelesaian terbaik jika program Road to London menjadi agenda utama perbincangan itu nanti, lagipun Misbun sudah memberitahu Presiden bahawa beliau tidak akan kacau CTC, jadi tiada sebab mengapa perkara ini tidak boleh berakhir dengan baik.

"Saya percaya, semua orang mahu penamat yang positif, baik Misbun, BAM mahupun Chong Wei. Perkara ini tidak harus berlarutan lebih lama dan berakhir dengan sesuatu yang mengecewakan,'' ujar James lagi.

Misbun, 51, menggemparkan peminat sukan tanah air apabila menghantar surat perletakan jawatan pada 31 Disember lalu selepas tidak gembira dengan sikap segelintir individu dalam BAM yang dianggap tidak menghormatinya, selain memperlekehkannya.

Perubahan dalam struktur kejurulatihan kebangsaan juga tidak menggembirakan jurulatih itu apabila anaknya, Misbun Ramdan Misbun tidak lagi dibenarkan berlatih di bawah bimbingannya, sebaliknya terpaksa menyertai kelompok pemain pelapis kendalian Hendrawan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

ACC: Malaysia sasar dua terbaik

Posted:

ACC: Malaysia sasar dua terbaik

ACC: Malaysia sasar dua terbaik

Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my


PELUMBA basikal negara yang yang bakal beraksi pada Kejohanan Berbasikal Asia di Korat minggu depan memberi pose istimewa kepada media pada sidang akhbar di Casa 1, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam. – MINGGUAN/Fauzi Baharudin


KUALA LUMPUR – Kedudukan dua tempat teratas menjadi sasaran skuad basikal negara pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korat, Thailand pada 9 hingga 19 Februari ini dalam usaha untuk mengumpul mata sebanyak mungkin sebagai pembuka laluan ke Sukan Olimpik London, tahun depan.

Naib Persiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, pungutan mata amat penting buat pelumba di Korat, selain sasaran 16 pingat yang diletakkan pada kejohanan kali ini.

"Pungutan mata menjadi sasaran utama kami untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012.

"Begitupun ACC bukan satu-satunya tumpuan pelumba negara, malah mereka bakal mengharungi beberapa kejohanan dunia sepanjang tahun ini dan 2012," kata Naim kepada pemberita di sini, semalam.

Menurut Naim lagi, pada tahun lalu di Dubai, pelumba negara berjaya meraih 10 pingat keseluruhannya, dua daripadanya diperoleh melalui pelumba elit.

Jelasnya, pelumba elit akan berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Korat, hari ini, manakala, pelumba remaja dijangka berlepas 8 Februari dan atlet lebuh raya hanya akan pergi pada 12 Februari ini.

"Kami berharap penyertaan di Korat akan memberi hasil terbaik terutamanya kepada pelumba remaja yang diberi peluang beraksi di sana," ujarnya.

Beliau berkata, setakat ini, prestasi yang dipamerkan oleh pelumba-pelumba muda amat memberangsangkan.

"Mereka berada di tahap terbaik setelah menerima pendedahan sewajarnya di peringkat negeri terutamanya pada kejohanan seperti Sukan Malaysia," tambahnya.

Selain ACC, pelumba negara juga akan beraksi di kejohanan Piala Dunia Klasik, Manchester (15-21 Februari), Kejohanan Trek Dunia di Poland (Mac), Piala Dunia Klasik di Perth, Australia (November) dan Piala Dunia Klasik di Cali, Colombia (Disember).

Bagi kejohanan tahun depan pula, pelumba Malaysia bakal menyertai Piala Dunia Klasik di Beijing, China (Januari), Kejohanan Berbasikal Asia di Kuala Lumpur (7-17 Februari), Piala Dunia Klasik di London (Februari) dan Kejohanan Trek Dunia di Melbourne, Australia (Mac).

Menurut Naim, Kejohanan Trek Dunia di Melbourne merupakan kejuaraan terakhir sebelum atlet negara bersiap untuk ke sukan Olimpik, di mana pemilihan akan dilakukan pada 8 April tahun depan.

Sementara itu Ketua Jurulatih skuad basikal Malaysia, John Beasley berkata, beliau mensasarkan sebanyak empat hingga lima pingat mampu diraih anak-anak buahnya di ACC.

Mengulas mengenai skuad lebuh raya, beliau menjelaskan, pasukan tersebut akan dipantau oleh jurulatih yang baru dilantik iaitu Graham Seers.

"Seers akan memantau pembangunan pelumba lebuh raya dan banyak yang perlu kami lakukan bagi membentuk pasukan yang mantap pada satu hari nanti," katanya.

Tambahnya, untuk sasaran di ACC, cabaran sudah tentu hadir dari Kazakhstan dan Iran yang sememangnya cukup unggul dalam acara lebuh raya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan