Kosmo Online - Sukan |
Posted: Malaysia ikat LebanonBIARPUN diturunkan sebagai pemain gantian, Faizal Abu Bakar (kiri) masih mampu memberikan tekanan kepada benteng pertahanan Lebanon semalam. MALAYSIA berjaya mendapat bekalan terbaik apabila mengikat Lebanon 0-0 pada aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Sports City, Beirut semalam. Ia keputusan yang mampu memberikan kelebihan kepada anak-anak buah Ong Kim Swee itu untuk menanti kunjungan Lebanon pada aksi kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini. Pada aksi yang berlangsung pada sebelah petang waktu Lebanon dengan cuaca panas terik itu semalam, Malaysia tampil dengan berhati-hati dan lebih bertahan pada separuh masa pertama. Namun pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Nor sempat melakukan percubaan yang ditepis penjaga gol Lebanon pada minit ke-11 manakala tandukan Izzaq Faris Ramlan 10 minit kemudian sedikit tinggi. Biarpun lebih banyak mengasak, Lebanon tidak banyak dapat melakukan percubaan berbahaya untuk menguji penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat. Bersambung babak kedua, tempo permainan berubah sama sekali apabila Malaysia dilihat mula menguasai perlawanan. Pada minit ke-51, Izzaq terlepas peluang terbaik apabila gagal menampan kemas bola hantaran leret Irfan Fazail di dalam kotak penalti. Wan Zack selepas itu berjaya melepaskan dua rembatan kencang pada minit ke-54 dan ke-61 tetapi berjaya ditepis penjaga gol Lebanon. Pada masa kecederaan, penyerang gantian, Syahrul Azwari Ibrahim hampir memberikan gol kemenangan tetapi percubaannya di hadang keluar pemain pertahanan Lebanon. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Misi buruan pingat bermulaOleh FARHANA HANIM MOHD. MYDIN SIMBOLIK. Omar (kanan) menyerahkan anak panah kepada seorang atlet pada majlis perasmian pembukaan Karnival Sukan Masum 2011 di Stadium UPM malam tadi. KARNIVAL Sukan Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (Masum) dianggap sebagai medan terbaik melihat perkembangan dan pencapaian atlet-atlet di peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ini kerana, para pelajar IPTA adalah kumpulan yang menjadi sasaran utama Kementerian Pengajian Tinggi dalam melahirkan 30 peratus atlet di kalangan pelajar IPT yang mewakili negara di persada antarabangsa. Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Omar Abd. Rahman, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) melalui Bahagian Sukan sentiasa memberi sokongan dan dorongan terhadap pembangunan sukan di IPTA. "Dengan pelaksanaan skim Pusat Kecemerlangan Sukan dan Pusat Sukan Tumpuan, ternyata kementerian begitu serius dan komited terhadap Institusi Pengajian Tinggi dalam melahirkan atlet yang bijak atau disebut sebagai thinking athlete. "Hakikatnya, walaupun pembangunan sukan dipertingkatkan secara meluas di seluruh IPTA, namun bidang akademik perlu seiring dan diberi penekanan dalam usaha memberi peluang dan ruang pekerjaan terhadap atliet yang bergelar pelajar," katanya ketika merasmikan Karnival Sukan Masum 2011 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) malam tadi. Turut hadir Pengerusi Masum, Profesor Dr. Shaharudin Abd Aziz dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Ramlan. UPM telah dipilih sebagai tuan rumah bagi Karnival Masum 2011. Selain UPM, lapan lokasi luar daripada kampus tersebut dipilih sebagai venue pertandingan. Seramai 4,477 atlet daripada 20 IPTA yang akan menyertai Karnival Sukan Masum 2011 yang dianjurkan oleh UPM dengan kerjasama Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia Masum bermula 18 hingga 30 Jun ini. Fasa I bermula 18 hingga 24 Jun dengan melibatkan 12 acara manakala Fasa II berlangsung pada 25 hingga 30 Jun (tujuh acara). Karnival Masum 2011 menyaksikan penyertaan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Edisi kali ini juga melibatkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Malaysia pamer petanda positif Posted: Malaysia pamer petanda positifKEJAYAAN menumbangkan Myanmar 2-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin jelas satu petanda baik buat Malaysia bagi menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2014. Tanpa kelibat beberapa tonggak utama terutama penggempur berbisa, Norshahrul Idlan Talaha, barisan pemain negara masih mampu menampilkan rentak cemerlang. Maka tidak menghairankan apabila jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal mengamburkan pujian kepada anak-anak buahnya dilihat telah menunjukkan komitmen tinggi sepanjang perlawanan tersebut. Biarpun beraksi di padang yang becak selain terpaksa berhadapan dengan corak agresif pihak lawan, Rajagobal berkata, barisan pemainnya cepat menyesuaikan diri dengan situasi tersebut. "Sebelum perlawanan bermula, saya yakin mereka akan beraksi dengan baik. Hasilnya mereka telah beraksi dengan baik sepanjang perlawanan tersebut dan secara keseluruhannya, saya gembira dengan apa yang telah dibuktikan oleh para pemain. "Saya akui perlawanan tersebut cukup penting buat saya untuk mencari kombinasi terbaik. Bukan senang buat saya untuk mencuba beberapa pemain baru yang hanya digandingkan dalam tempoh beberapa hari sahaja. "Apa yang saya lihat pemain baru seperti Mohd. Farisham Ismail, Helmi Remeli dan Mohd. Shakir (Shaari) telah beraksi dengan baik," kata Rajagobal ketika sidang media sejurus tamat perlawanan tersebut. Dalam masa yang sama, Rajagobal melahirkan kegusaran apabila tonggak pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak mengalami kecederaan serius selepas bertembung dengan pemain Myanmar pada perlawanan tersebut. "Kecedearaan yang dialami oleh Aidil agak serius. Kita sememangnya memerlukan pemain pengalaman seperti dia. "Begitupun, saya mempunyai banyak pilihan kerana beberapa pemain (skuad) Olimpik dan Mohd. Safee (Sali) bakal kembali perkuatkan skuad kita selepas ini," katanya. Bagi jurulatih Myanmar, Milan Zibadinovic, dia menganggap faktor pengalaman menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan. "Malaysia berhak memenangi perlawanan ini kerana mereka beraksi dengan baik. Tahniah kepada kedua-dua pasukan kerana beraksi dengan baik, namun Malaysia sebenarnya bermain lebih baik daripada kami. "Kekalahan ini merupakan sesuatu pengalaman berguna bagi pemain-pemain muda pasukan saya. Kami akan bangkit dan anda akan lihat dalam tempoh enam bulan lagi kami akan tampil lebih garang. "Kami tetap mahu menang apabila bertemu Mongolia (dalam Kelayakan Piala Dunia 2014) penghujung bulan ini," katanya. Dalam Kelayakan Piala Dunia 2014, Malaysia akan bertemu Taiwan pada pusingan pertama, 29 Jun ini di Kuala Lumpur sebelum bertandang ke gelanggang lawan pada 3 Julai. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan