Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Annuar bawa ke mesyuarat FAM

Posted:

Annuar bawa ke mesyuarat FAM

Annuar bawa ke mesyuarat FAM

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my


Pasukan bola sepak Malaysia memerlukan sentuhan taktikal yang benar-benar meninggalkan kesan jika mahu pergi jauh dalam pertandingan antarabangsa termasuk Kejohanan Piala Dunia. - UTUSAN/Abdul Razak Latif


KUALA LUMPUR - Pandangan untuk mengadakan pengarah taktikal bagi membantu barisan kejurulatihan mendapat sambutan yang baik daripada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa (gambar).

Mengakui terbuka menerima idea yang dilontarkan oleh Utusan Malaysia sebelum ini, beliau mengakui ia sejajar dengan yang dicadangkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kepada ahli-ahli gabungannya dalam memantapkan pasukan secara total.

''Struktur yang diajukan oleh Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kepada semua ahli-ahli gabungannya sentiasa memberi galakan agar ada melantik seorang pakar teknikal dan kejurulatihan.

''Jawatan ini pernah disandang seseorang sebelum ini kalau tidak salah saya, Lim Kim Chon tetapi ia telah kosong pada waktu ini.

''Bagi saya, cadangan ini (pengarah taktikal) merupakan satu perkara yang baik dan harus dikaji oleh FAM demi meningkatkan mutu bola sepak negara," katanya kepada Utusan Malaysia di Pusat Perubatan Universiti Malaya, semalam.

Jelasnya, beliau akan membawa perkara itu ke peringkat mesyuarat exco FAM bagi tindakan selanjutnya bagi mencari jawapan kepada penyelesaian kepada aksi tidak konsisten skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

''Saya bersedia membincangkan agenda ini ke pengetahuan exco-exco FAM yang lain dan kita akan tengok langkah susulan selepas itu.

''Buat masa ini, kita harus terbuka menerima cadangan sesiapa sahaja, jangan perlu ada 'sindrom menafikan' selepas kita terkeluar daripada persaingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 kepada Singapura.

''Kita kena tengok kembali segala kelemahan yang kita ada, kadang-kala bila kita menang, belum tentu kita yang terbaik dan tidak bermakna apabila kita sekali gagal, kita terlalu teruk dalam semua segi," katanya.

Selain itu, beliau berkata, memandangkan sudah tiada sebarang aksi kompetitif yang melibatkan pasukan kebangsaan sehingga Piala AFF 2012, beliau melihat satu usaha mengadakan perlawanan persahabatan berkelas A secara berterusan perlu diadakan.

''Rancangan perlawanan persahabatan dengan Oman itu adalah yang pertama, kita harap selepas ini lebih banyak perlawanan kita mampu aturkan.

''Saya harap selepas ini juga kita janganlah kerap berjumpa pasukan yang kita rasa mampu boleh 'makan' sahaja, bagi saya pendedahan sebegitu tidak mencukupi buat pasukan kebangsaan.

''Skuad kebangsaan kena sentiasa berkumpul selalu dan tidak semestinya hanya menunggu kejohanan besar mahu diadakan, baru mengadakan latihan bersama, situasi ini perlu dielakkan pada masa akan datang," katanya.

Utusan Malaysia dalam laporan eksklusifnya mencadangkan agar FAM memikirkan untuk mengadakan jawatan pengarah atau penasihat taktikal dalam menggandakan kemahiran pemain ekoran aksi tidak konsisten skuad negara.

Perlawanan menentang Singapura dalam kelayakan Piala Dunia 2014 sebelum ini mengundang banyak reaksi pelbagai termasuk mempersoalkan kematangan permainan skuad Harimau Malaya.

Malah, lontaran idea itu juga menarik perhatian beberapa ahli akademik tempatan yang menyatakan sokongan terhadap cadangan membawa masuk seorang pakar ke dalam barisan kejurulatihan untuk membantu ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal dalam aspek taktikal.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

FAM perlu terbuka terima cadangan pengarah taktikal

Posted:

FAM perlu terbuka terima cadangan pengarah taktikal

FAM perlu terbuka terima cadangan pengarah taktikal

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

PUTRAJAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu lebih bersifat terbuka menerima cadangan untuk melantik penasihat atau pengarah yang boleh membantu ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal dalam aspek taktikal.

Itu nasihat yang dilontarkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selepas menilai keupayaan pasukan kebangsaan pada perlawanan terdahulu.

Katanya, ketika ini sukan bola sepak negara telah mencapai satu tahap yang tinggi sehingga menjadi harapan peminat tempatan dan kesinambungan tersebut perlu diteruskan.

"Saya tidak menolak perkara itu (cadangan Utusan Malaysia) kerana negara lain dan pasukan-pasukan lain tentu ada (pengarah taktikal) dalam soal ini.

"Saya rasa pihak FAM sepatutnya menerima cadangan tersebut secara terbuka kerana pemain yang kita ada adalah pemain muda dan harapan pada mereka juga semakin tinggi," katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar pengumuman Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Pulangan atas Pelaburan (ROI) Piala Monsun di sini, semalam.

Utusan Malaysia dalam laporan eksklusifnya sebelum ini mencadangkan agar FAM mengadakan seorang penasihat atau pengarah taktikal dalam membantu meningkatkan permainan skuad negara yang kelihatan tidak konsisten dalam persembahannya.

Ini termasuklah persembahan yang tidak mencapai standard yang diharapkan ketika menentang Singapura dalam kelayakan Piala Dunia 2014, yang mana skuad negara tersingkir selepas tewas dengan agregat 4-6.

Kebergantungan kepada segelintir pemain utama tidak menggambarkan kekuatan keseluruhan jentera skuad negara yang akhirnya 'dibongkar' Singapura ketika beraksi di Bukit Jalil.

Kelmarin, beberapa ahli akademik seperti Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Tan Chee Hian dan bekas Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Prof. Madya Dr. Arzmi Yaacob menyokong cadangan tersebut yang bertujuan membantu Rajagobal mendapatkan idea untuk menghadapi sesuatu perlawanan.

Malah, menentang Taiwan pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia, skuad kebangsaan menang atas kelebihan gol di tempat lawan selepas terikat dengan agregat 4-4 di Stadium Perbandaran Taipei selepas mendapat kemenangan tipis di laman sendiri dengan keputusan 2-1 ketika perlawanan pertama.

Skuad negara perlu mengambil iktibar daripada perlawanan kelayakan Piala Dunia lalu sebelum menghadapi kelayakan Piala Asia 2015.

Sementara itu, Ahmad Shabery meletakkan harapan agar skuad Olimpik mampu melangkah lebih jauh selepas ini.

Tambah Ahmad Shabery, prestasi yang dipamerkan oleh pemain dalam skuad Olimpik juga amat baik selepas menilai pendedahan mereka perolehi ketika di Slovakia.

"Kini mereka menjadi harapan negara jadi rakyat jangan putus harapan dan teruskan memberi sokongan kepada mereka ini.

"Kita juga patut bangga kerana pasukan negara berada dalam kelompok 12 negara Asia dan Malaysia merupakan pasukan tunggal dari Asia Tenggara yang layak untuk pusingan akhir kelayakan Olimpik 2012," jelas Ahmad Shabery.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen