Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Mengharap tuah Wembley

Posted:

Mengharap tuah Wembley

Mengharap tuah Wembley


SKUAD Malaysia diketuai Lee Chong Wei bersiap sedia untuk berlepas ke sesi latihan ketika di London, semalam. - THE STAR


KUALA LUMPUR - Malaysia mungkin tidak pernah memiliki juara dunia, namun Arena Wembley merupakan gelanggang bersejarah yang telah menghadiahkan lapan kejuaraan All England buat negara sepanjang ia berlangsung di stadium bersejarah itu dari 1957 hingga 1993.

Dan semalam, pemain-pemain generasi baru Malaysia yang diketuai Datuk Lee Chong Wei akhirnya dapat merasai suasana beraksi di arena yang digelar 'rumah badminton' itu apabila menjalani latihan pertama di gelanggang Kejohanan Dunia, yang bermula esok.

Selepas hanya dibenarkan beraksi di dewan latihan kelmarin, Chong Wei dan rakan-rakan akhirnya menjejakkan kaki ke gelanggang pertandingan Arena Wembley semalam, untuk melihat persekitaran, menguji keadaan angin serta cahaya, dan yang paling penting merasai bahang kejohanan.

Pada tahun pertama All England berlangsung di Wembley, Malaysia meraih dua kejuaraan menerusi legendanya, Datuk Eddy Choong dalam perseorangan lelaki.

Bekas pemain Malaysia, Johnny Heah pula berganding dengan pemain Amerika Syarikat, Joseph Alston untuk mengalahkan pasangan negara, David Ewe Choong-Eddy untuk menjuarai beregu lelaki.

Malaysia juga pernah memiliki juara All England di Wembley menerusi Tan Aik Huang pada 1966, manakala Lim Say Hup-Teh Kew San memenangi beregu lelaki (1959), diikuti Ng Boon Bee-Tan Yee Khan (1965, 1966), Ng Boon Bee-Punch Gunalan (1971) dan yang terakhir, Razif Sidek-Jalani Sidek pada 1982.

"Saya tahu Arena Wembley mempunyai makna yang istimewa buat badminton, dan di sinilah ramai legenda kita pernah memenangi kejuaraan. Gembira kerana akhirnya saya dapat rasa suasana beraksi di gelanggang yang bersejarah ini.

"England sentiasa menjadi gelanggang bertuah saya akhir-akhir ini, tahun lalu saya muncul juara All England pada ulang tahun ke-100, dan tahun ini saya mempertahankan gelaran. Biarpun ia berlangsung di Birmingham tetapi saya rasa suasananya tidak banyak berbeza,'' kata jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Selain Chong Wei, cabaran Malaysia di Wembley turut dipikul pemain veteran dan naib juara dunia 2003, Wong Choong Hann, beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Mohd. Zakry Latif-Hoon Thien How, Lim Khim Wah-Chan Peng Soon, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, Ng Hui Lin-Ng Hui Ern dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Ong Jien Guo-Sabrina Chong

Bagi Choong Hann, England sentiasa mempunyai tempat yang istimewa kerana di situlah dia melangkah ke final Kejohanan Dunia 2003 dan kekal sebagai perseorangan terbaik Malaysia sehingga kini.

Biarpun kejohanan ketika itu berlangsung di Birmingham, namun Choong Hann menegaskan, persekitaran tidak jauh berbeza, kecuali Wembley lebih prestij, sedikit kecil dan mendebarkan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Kelayakan Piala Dunia: Hajat tak kesampaian

Posted:

Kelayakan Piala Dunia: Hajat tak kesampaian

Kelayakan Piala Dunia: Hajat tak kesampaian


AKSI pasangan Malaysia, Shaaban Hussin (kiri) dan Iain Steel pada pusingan kelayakan Piala Dunia Asia di Kelab Golf Seri Selangor, Kota Damansara.- AFP


KUALA LUMPUR - Impian Malaysia untuk melayakkan diri ke kejohanan golf Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun berkecai selepas pasangannya, Iain Steel dan Shaaban Hussin gagal melepasi aksi kelayakan di Kelab Golf Seri Kembangan, Kota Damansara semalam.

Iain dan Shaaban, yang digandingkan buat kali pertama sekadar berkongsi kedudukan kelima selepas tamat empat hari kelayakan dengan mengumpul 278 pukulan, tujuh di belakang dua pasukan teratas, New Zealand dan Singapura.

Hanya tiga pasukan terbaikmelayakkan diri ke Piala Dunia Omega Mission Hills yang bakal berlangsung di China, 24-27 November ini, dengan tiket terakhir disambar oleh pasangan dari Korea Selatan, Kim Hyung-Sung-Park Sung Joo yang mengumpul 275 pukulan.

Bagi Iain, ini adalah kegagalan kelimanya untuk membawa Malaysia melayakkan diri buat kali pertama sejak Danny Chia dan P. Gunasegaran melakukannya pada 2001, malah Danny dan Rashid Ismail turut layak ke kejohanan berprestij itu pada 2000.

Semalam, pasangan negara itu menutup kempen dengan catatan buruk, tiga atas par 74, sekali gus melengkapkan empat hari kejohanan dengan catatan enam bawah par 278, berkongsi kedudukan bersama pasangan berpengalaman Filipina, Mars Pucay dan Antonio Lascuna.

"Kami bermain baik tetapi melakukan beberapa kesilapan yang memang sudah dijangkakan apabila bermain dalam format foursomes. Bagaimanapun, kami sudah melakukan yang terbaik dan ini menjadi pengalaman berguna buat saya.

"Ini kali pertama saya beraksi dalam format begini dan memang sukar hendak menyesuaikan diri dengannya. Secara keseluruhan, ia adalah pengalaman yang baik dan saya banyak belajar dari Iain,'' ujar Shaaban.

Kejohanan kelayakan Piala Dunia Asia menggunakan format yang sama dengan Piala Dunia sebenar, di mana format four-ball (better ball) digunakan di pusingan pertama dan kedua, manakala foursomes (pukulan alternatif) di pusingan kedua dan terakhir.

Dalam saingan semalam, pasangan New Zealand, Michael Hendry dan Gareth Paddison mengikat pendahulu sejak hari pertama, Lam Chih Bing dan Mardan Mamat dari Singapura di tangga teratas dengan 13 bawah par 271, sebelum Hendry-Paddison memenangi saingan menerusi playoff.

Bagaimanapun, kejayaan Chih Bing dan Mardan melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali kelima mencuri tumpuan di Seri Selangor. Pasangan itu turut melayakkan diri ke Piala Dunia 2002, 2005, 2006 dan 2009.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan