Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Misi capai sasaran lima emas

Posted:

Misi capai sasaran lima emas

Misi capai sasaran lima emas

TIDAK keterlaluan jika dikatakan temasya Sukan SEA yang bakal berlangsung di Indonesia, November depan sebagai 'lubuk emas' untuk skuad berbasikal negara.

Kali ini, lebih 20 pingat emas ditawarkan menerusi empat disiplin iaitu trek, lebuh raya, basikal bukit dan BMX.

Secara tradisinya, skuad berbasikal adalah antara penyumbang terpenting kutipan pingat keseluruhan kepada kontinjen Malaysia.

Sebagai rekod, pada temasya Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina, skuad berbasikal negara menyumbang empat pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Dua tahun kemudian di Korat, Thailand, mereka membawa pulang empat emas, lima gangsa dan empat perak.

Pada temasya 2009 di Vientianne, Laos, skuad berbasikal negara gagal meraih emas, sebaliknya mereka memperoleh satu perak dan dua gangsa.

Pada temasya kali ini, skuad berbasikal negara sekali lagi disandarkan harapan untuk menuai sekurang-kurangnya lima pingat emas.

Kepada wartawan Kosmo!, AZIZUL FAHMI AHMAD ZABIDI, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd. Wahab (gambar kecil) mengulas mengenai misi mereka menghadapi Sukan SEA 2011 selain mengupas beberapa isu yang timbul menjelang temasya dwitahunan itu.


BARISAN pelumba negara menjalani latihan di Chiangmai, Thailand sejak sebulan lalu sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2011 di Indonesia, November depan.


KOSMO!: Apa perkembangan terbaharu skuad berbasikal negara menjelang Sukan SEA 2011 di Indonesia?

ABU SAMAH: Persiapan skuad berbasikal negara sebenarnya mempunyai agenda dan fasa masing-masing. Setakat ini, kita boleh pecahkan kepada empat kategori iaitu trek, lebuh raya, basikal bukit (MTB) dan BMX.

Buat kali pertama, kita akan menyertai acara BMX. Kita sebenarnya ibarat 'setahun jagung' dalam BMX dan akan bertanding atas tiket kategori B. Namun tujuan kita menghantar pasukan adalah kerana mahu memecahkan dominasi Indonesia dan Thailand, apatah lagi BMX juga adalah antara acara penting Sukan Olimpik.

Berbalik kepada soalan tadi, saya katakan skuad berbasikal Malaysia ada agenda tersendiri kerana penyertaan pelumba di Indonesia berdasarkan sasaran tertentu. Misalnya, pasukan trek tidak akan hantar pelumba bertaraf dunia seperti Mohd. Azizulhasni Awang dan Josiah Ng. Dua pelumba itu ada program tersendiri untuk memburu mata ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Malah penyertaan pelumba seperti Mohd. Edros Md. Yunos dan Mohd. Rizal Tisin juga bergantung kepada keputusan Panitia Penyelenggara SEA Games atau Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2011 (Inasoc) dan Persekutuan Sukan SEA (SGF).

Seperti yang kita tahu, Inasoc setakat ini belum memberi keputusan sama ada mahu membenarkan lima acara baharu dalam acara trek lelaki dan wanita iaitu 200 meter pecut individu, 4 kilometer kejar-mengejar berpasukan, pecut berpasukan dan omnium.

Tambahan lima acara itu hanya sekadar 'janji mulut' di antara ISSI (Ikatan Sepeda Sport Indonesia) dengan Inasoc. Jadi, atas nasihat ketua jurulatih, John Beasley kita amalkan sikap tunggu dan lihat.

Bagi acara lebuh raya pula, agenda kali ini cukup besar. Kita mahu bawa pulang pingat emas acara lebuh raya selepas kempunan pada Sukan SEA 2009 di Laos dan 2007 di Korat, Thailand.

SETAKAT ini bagaimana persiapan skuad lebuh raya Malaysia untuk ke Sukan SEA 2011?

Bagi menghadapi Sukan SEA 2011, persiapan yang dilakukan oleh jurulatih dari Australia, Graham Seers sudah pun bermula selepas Jelajah Malaysia 2011. Perkara pertama dilakukan ialah lawatan tapak melibatkan beberapa pelumba utama ke laluan sebenar acara lepas beramai-ramai lelaki di Subang berdekatan Bandung.

Laluan itu sangat getir kerana 40 kilometer terakhir menyaksikan pendakian yang sangat memenatkan. Sebelum ini, kita jarang lakukan lawatan tapak. Mereka juga sempat berlatih lebih empat hari di laluan tersebut.

Selepas itu, mereka berlatih Chiangmai, Thailand. Kita pilih kota itu kerana ia mempunyai kawasan berbukit dan cuaca yang mirip dengan Subang, Indonesia. Kita juga hantar pasukan yang besar untuk berlatih di Chiangmai termasuk melibatkan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) dan Le Tua.

ADAKAH Mohd. Edros dan Mohd. Rizal yang dikatakan berada dalam senarai 'tunggu dan lihat' ini hanya satu gimik untuk menakutkan Indonesia atau pasukan lain?

Sebagaimana yang saya katakan tadi, sehingga kini Inasoc masih bermain 'tarik tali' apabila berbicara soal tambahan acara trek. Selaku Presiden Persatuan Lumba Basikal ASEAN (ACA), saya sudah pun beberapa kali bertemu dan berbincang dengan Ketua Umum ISSI, Phanny Tandjung. Saya sendiri sudah dua kali ke Jakarta untuk bermusyawarah secara diplomasi dengan ISSI. Kali terakhir saya ke sana bersama Setiausaha Agung ACC (Persekutuan Lumba Basikal Asia), Choi Boo Woong.

Kami bertemu wakil Majlis Sukan Negara Indonesia (KONI) dan Inasoc. Namun hasil rundingan kurang memberangsangkan. Inasoc tetap berkeras enggan senarai acara seperti yang dimahukan oleh ACC dan UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa).

Perlu diingatkan bahawa biarpun Indonesia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2011, namun acara basikal wajib mendapat pengesahan daripada badan dunia seperti ACC dan UCI.

Bagi menjawab soalan itu, saya katakan penyertaan Edros dan Rizal adalah berorientasikan 'tunggu dan lihat' kerana tiada guna kita hantar pelumba bertaraf dunia jika pertandingan tidak dapat kelulusan badan dunia.


ADIQ HUSAINIE antara pelumba yang dilihat sebagai prospek emas di Indonesia.


MENGAPA secara tiba-tiba Rizal berubah arah mahu sertai acara BMX?

Kita semua tahu bahawa Rizal adalah pelumba trek bertaraf dunia. Dia menang pingat gangsa di Poland dalam acara 1 kilometer ujian masa individu. Malangnya, acara itu tidak lagi dijadikan acara utama pada Sukan Olimpik dan Sukan Asia. Saya berasakan Rizal mahu ke Sukan Olimpik. Ini adalah cita-cita dan impian semua pelumba trek termasuk Rizal. Dia sebenarnya masih berpeluang ke Sukan Olimpik menerusi acara pecut berpasukan. Gandingannya bersama Azizulhasni dan Josiah sangat digeruni di Asia. Tetapi pada masa yang sama, China dan Jepun berada lebih ke hadapan berbanding Malaysia dari segi kutipan mata ke Sukan Olimpik 2012 di London.

Mahu tidak mahu, Rizal terpaksa kembali kepada acara asalnya iaitu BMX. Dia sebenarnya bermula dengan acara BMX.

BAGAIMANA pula dengan persiapan pelumba basikal bukit (MTB)?

Buat masa ini, kita mempunyai dua pelumba yang kuat di rantau Asia Tenggara iaitu Shahrin Amir dan Masziyaton. Berdasarkan kepada venue pertandingan di Subang, saya percaya Malaysia boleh melakukan kejutan. Bagaimanapun, peserta pilihan tetap datang dari Indonesia dan Thailand. Bagaimanapun, Shahrin dan Masziyaton tetap digeruni oleh pesaing dari negara rantau Asia Tenggara.

Acara basikal bukit juga banyak bersandarkan kepada tuah ketika bertanding. Peserta pilihan boleh kalah sekiranya beberapa kali mengalami masalah teknikal khususnya tayar pancit.

MSN percaya skuad trek negara boleh menyumbang sekurang-kurangnya lima pingat emas pada Sukan SEA 2011. Apakah itu sasaran realistik?

Acara trek boleh dianggap sebagai 'lubuk pingat emas' di Indonesia. Setakat ini, ada 12 pingat emas ditawarkan menerusi acara trek. Namun saya percaya andainya acara trek tidak menerima endorsement (sokongan) daripada UCI dan ACC, ada kemungkinan pelumba negara sukar untuk bersaing secara adil di Indonesia nanti. Jika tidak terima endorsement UCI dan ACC, maka bermakna acara trek tidak diadili oleh komisar antarabangsa yang berpengalaman dan boleh kesan sebarang kesalahan ketika bertanding di dalam trek.

Namun setakat ini, ada juga kemungkinan betapa acara trek sama sekali mungkin tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2011. Saya katakan begini kerana sekiranya acara trek diteruskan tanpa mendapat endorsement UCI atau ACC, ISSI bakal berdepan tindakan penggantungan kerana melanggar peraturan badan induk. Sanction (sekatan) berbentuk penggantungan boleh dikenakan ke atas ISSI.

Bagaimanapun, mesyuarat ketua kontin- jen (CDM) di Jakarta pada 18 Ogos lalu telah mengesahkan bahawa lima acara trek dan satu basikal bukit yang kami perjuangkan itu akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2011.

APA pula sasaran PKBM?

Saya percaya tiga pingat emas hampir pasti dalam genggaman. Kalau dapat lebih, itu adalah bonus. Namun saya impikan pingat emas menerusi acara lebuh raya. Pingat emas acara lepas beramai-ramai pasti akan mengembalikan maruah Malaysia selaku raja lebuh raya Asia Tenggara.

SEPANJANG era 1990-an, kita ada pelumba yang digelar 'sure bet' (pertaruhan pasti) seperti Shahrulneeza Razali, M. Kumaresan, Nor Effandy Rosli atau Tsen Seong Hoong. Pada waktu itu, Malaysia sentiasa menang pingat emas acara lebuh raya. Memasuki era terkini, Malaysia nampaknya kempunan pingat emas acara lebuh raya. Kenapa perkara itu berlaku?

Tidak dapat dinafikan pelumba Malaysia selalu dianggap pilihan untuk menggondol pingat emas acara lepas beramai-ramai Sukan SEA khususnya pada era tahun 90-an. Waktu itu, hanya Tonton Susanto atau Victor Espiritu yang mampu menggugat penguasaan pasukan negara. Sukan SEA 2001 menyaksikan Malaysia sapu bersih tempat pertama sehingga keempat. Itulah kenangan paling manis dalam sejarah perlumbaan lebuh raya di peringkat Sukan SEA.

Justeru, apabila kita gagal pada dua tahun temasya Sukan SEA berturut-turut (edisi 2007 dan 2009), saya tidak nafikan wujud sedikit tekanan kepada skuad lebuh raya negara ketika ini.

Tidak dapat dinafikan nama-nama seperti Suhardi Hassan, Mohd. Adiq Hussainie Othman, Amir Mustafa Rusli, Shahrul Mat Amin, Ng Yong Li dan Mohamad Rauf Nur Misbah adalah pelumba yang sangat digeruni di rantau Asia Tenggara.

Kali ini, saya nampak ada ciri-ciri 'sure bet' dalam diri Adiq Hussainie, Shahrul dan Amir Mustafa.

WUJUD tohmahan dalam kalangan media Indonesia kononnya agenda untuk mendapatkan acara tambahan seperti 200 meter pecut individu, 4 kilometer kejar-mengejar berpasukan dan omnium adalah demi kepentingan Malaysia semata-mata. Adakah dakwaan itu benar?

Sebenarnya tambahan acara itu adalah ditentukan sendiri oleh ISSI. Pada pertemuan terakhir di Jakarta, saya telah meminta Ketua Umum ISSI arahkan jurulatih trek Indonesia iaitu Wahyudi untuk pilih acara tambahan. Wahyudi pilih acara tambahan, antaranya 200m pecut individu, 4km kejar-mengejar berpasukan dan omnium. Acara tambahan trek Sukan SEA 2011 bukannya ditentukan oleh saya atau Setiausaha Agung ACC. Ia adalah pilihan Indonesia sendiri. Malah saya sempat tegaskan kepada mereka supaya pilih acara yang mereka rasa boleh menang.

Kalau diberi pilihan, sudah tentu saya mahukan acara keirin dijadikan acara penting trek pada Sukan SEA 2011. Kita semua maklum, Azizulhasni adalah pemenang pingat emas acara keirin Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China. Josiah pula menggondol pingat emas keirin pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India.

AKHIR sekali, Tuan Haji telah berdepan dengan puluhan kejohanan sejak menjadi Presiden PKBM. Bagaimana Tuan Haji merumuskan persediaan skuad berbasikal Malaysia secara keseluruhan untuk mengharungi Sukan SEA 2011 nanti?

Secara tradisinya, sukan berbasikal adalah antara penyumbang pingat terpenting kepada kutipan keseluruhan skuad Malaysia. Perkara ini sudah pun berlaku sejak zaman berzaman.

Peralihan Syarul menakjubkan

Posted:

Peralihan Syarul menakjubkan

Peralihan Syarul menakjubkan

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
sukan@kosmo.com.my


SYARUL megah dengan koleksi trofi yang dimenanginya dalam beberapa kejohanan bina badan tempatan dan antarabangsa.


DARIPADA bola sepak ke sukan bina badan. Ia boleh dikatakan peralihan yang agak luar biasa. Tetapi itulah hakikatnya yang berlaku kepada Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah yang satu ketika dulu dilihat bakal menyinar dalam sukan bola sepak.

Tetapi niatnya tidak kesampaian untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya bagi pasukan Kuala Lumpur.

Semuanya gara-gara kecederaan setelah ligamen lututnya terkoyak dalam satu perlawanan pada Kejo- hanan Piala Razak kira-kira 10 tahun yang lalu.

Insiden itu juga memaksa Syarul melupakan cita-citanya untuk menjadi pemain sehebat legenda bola sepak tanah air, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari apabila dia disarankan 'bersara' lebih awal daripada sukan kegema- rannya itu.

Kekecewaan memang tidak dapat disembunyikan lebih-lebih lagi apabila melihat rakan seperjua- ngannya ketika itu, bekas penyerang berwibawa Selangor, Azman Adnan menjulang pelbagai keja- yaan untuk pasukan Kuala Lumpur.

Kejayaan yang dikecapi oleh bekas rakan-rakan sepejuangannya itu membuatkan Syarul nekad mahu berjaya dalam sukan.

Hajat besarnya itu melonjakkan semula semangatnya untuk kembali aktif tetapi dengan penyertaan dalam acara sukan yang berbeza.

Berbekalkan semangat tinggi serta keazaman untuk menjadi atlet berjaya, bapa kepada dua anak ini berazam mahu melupakan 'episod luka' di dalam diari kehidupannya.

Dengan impian serta semangat baru, dia mula berjinak dalam sukan bina badan selama setahun.

Nyata, perkenalan dengan juara enam kali Mr. Universe, Sazali Samad dan jurulatih serta ahli bina badan profesional, Othman Yahya, ia berjaya mengubah kehidupan Syarul ke satu tahap yang dia tidak pernah menduga untuk terlibat secara serius di sukan baru itu.

Kini, Syarul boleh berbangga dengan pencapaian yang telah dikecapinya apabila menjulang pelbagai kejayaan dan mengharumkan nama negara baik pada kejohanan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sazali Samad dan Othman Yahya kerana tidak putus-putus memberikan sokongan dan mendorong saya sehingga saya berjaya melakar beberapa kejayaan dalam sukan bina badan.

"Tanpa tunjuk ajar mereka, tidak mungkin saya berada sehingga ke tahap ini," ujarnya yang menganggap Sazali sebagai idolanya.

Pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur itu merupakan satu-satunya atlet bina badan yang paling menyerlah dalam kategori Body Classic khususnya pada peringkat antarabangsa.

Jelasnya, untuk mengekalkan keseimbangan badan, faktor pemakanan harus diberi penekanan.

"Perlu ada disiplin menjaga pemakanan bagi memastikan kecergasan dan ketebalan otot-otot sentiasa terjaga," katanya.

Menurut, setiap hari menunya adalah seekor ayam serta mengambil vitamin jenis Animal Stak, Pak, Cut tanpa gagal.

"Setiap pemakanan saya mesti ada satu peket protein, kritein, igultamin dan animoasid.

"Ini adalah untuk menjaga dan mengekalkan bentuk badan serta kekuatan otot," kata- nya.

"Isteri saya, Zaneah Zainul banyak membantu saya dalam menyediakan makanan yang bebas daripada gula, lemak dan berminyak. Jika di rumah, dia akan pastikan kesemua bahan itu tiada dalam menu harian kami agar persiapan saya tidak terjejas," katanya.


ZAENAH ZAINUL bertindak sebagai sumber inspirasi kepada kejayaan Syarul dalam karier sukan bina badan.


SEJARAH

Menyingkap pembabitan awalnya dalam sukan bina badan, Syarul menjelaskan bahawa segala- galanya bermula ketika dia bertugas di IPK Kuala Lumpur kira-kira 11 tahun lalu.

Menurutnya, ia bermula daripada pelawaan salah seorang rakannya yang menyarankannya untuk menyertai pertandingan Mr. Kuala Lumpur pada ketika itu.

"Waktu itu salah seorang rakan saya menyarankan agar saya menyertai kejohanan itu. Pada awalnya, saya keberatan untuk turut serta, namun sokongan yang diberikan oleh rakan-rakan, saya memberanikan diri untuk mencuba nasib.

"Disebabkan ketika itu Mr. Kuala Lumpur terpaksa ditunda hingga ke tahun berikutnya, jadi saya mempunyai tempoh setahun berlatih di bawah bimbingan Sazali Samad dan Othman Yahya dan hasilnya, saya berjaya muncul juara," katanya.

Kini, peserta tunggal kategori Body Classic negara ini telah meraih pelbagai kejohanan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, berazam untuk menjadi ahli bina badan No. 1 dunia.

PENAJA

Seperti juga sukan lain, masalah kewangan sentiasa menjadi halangan.

Namun Syarul bernasib baik kerana dia mendapat tajaan syarikat Celebrity Fitness.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana mendapat keperluan dan penjagaan yang secukupnya dari- pada penajaan tersebut.

"Kemudahan serta peralatan di Celebrity Fitness memang lengkap dan ia memudahkan saya membuat segala persediaan dengan menggunakan teknologi yang canggih dan terkini.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas penajaan Celebrity Fitness dan Target Sdn. Bhd. (Amara Invesment) pada setiap kali saya beraksi dalam kejohanan (sama ada pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa)," ujarnya.

HARAPAN

Menyedari dia merupakan peserta tunggal negara dalam kategori Body Classic, Syarul berharap agar lebih ramai ahli sukan bina badan tampil untuk memeriahkan industri bina badan sekali gus dapat melahirkan pelapis untuk negara kelak.

"Untuk kategori Body Classic, ketinggian juga menjadi antara faktor penting selain daripada berat badan jika mahu meraih kejayaan.

"Kategori ini lebih mementingkan ketinggian dan saya berharap ramai ahli sukan bina badan di luar sana yang mempunyai potensi agar tampil membuktikan bakat yang ada pada mereka," katanya.

Rizal kini sudah makin matang

Posted:

Rizal kini sudah makin matang

Rizal kini sudah makin matang

Oleh AHMAD FAZLI MOHD YADI
sukan@kosmo.com.my


IMBAS KEMBALI... Rizal terlantar di hospital akibat kemalangan pada Oktober tahun lalu.


KEMALANGAN yang menimpa pelumba sensasi negara, Mohd. Rizal Tisin, Oktober tahun lalu hanya tinggal kenangan kerana kini dia semakin matang dan cukup fokus dalam misi menambah koleksi kejayaan dalam kariernya memburu sebutir pingat emas acara 200 meter kategori pecut pada Sukan SEA di Indonesia penghujung tahun ini.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2010 itu juga hangat diperkatakan sebagai salah seorang yang bakal menggalas cabaran memungut pingat emas buat negara di Sukan Olimpik London 2012 dan pastinya ia akan menjadi kayu pengukur buat anak jati Klang ini untuk membuktikan kemampuannya.

Sambil merendah diri, Rizal mengakui tanggungjawab yang diamanahkan adalah satu penghargaan yang cukup besar baginya, namun dia tidak mahu terlalu tertekan.

Malah ia menjadikan Rizal yang merangkul gangsa pada Kejohanan Dunia di Poland, Mac tahun lalu lebih bersemangat untuk mencari kejayaan dan menjulang nama negara.

"Bagi saya, ia amat membanggakan apabila kita diberi kepercayaan untuk menggalas tugas atas nama negara.

"Walaupun saya akui cabaran yang dibawa bukan sesuatu yang mudah tetapi ia menjadi pembakar semangat kepada saya untuk tampil dengan mutu persembahan yang lebih cemerlang.

"Bukan ganjaran, imbuhan atau nama yang mahu dicari tetapi kecekalan kita untuk bersaing seterusnya mengharumkan nama negara. Itu yang lebih penting dalam mengangkat nama negara," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Rizal yang kini sedang gigih berlatih dalam keadaan serba kekurangan bagi merealisasikan impiannya layak ke Sukan Olimpik London 2012 mahu mengembalikan prestasi yang terbaik.

"Persiapan latihan ketika di bulan Ramadan ini dengan mengadakan sesi latihan gimnasium di sebelah pagi, manakala latihan berkayuh dan memecut di trek dijalankan pada waktu malam.

"Mengenai buruan tiket ke London, saya tidak memikirkan sangat mengenai hal tersebut namun sekiranya layak (ke Sukan Olimpik 2012), ia merupakan bonus bagi saya dan negara," jelasnya.

Rizal dilihat berada pada prestasi terbaik selepas meraih pingat emas dalam acara kegemarannya itu pada Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC) 2011 di Korat, Thailand awal Januari lalu.

"Saya akan memberi kayuhan yang terbaik untuk semua acara yang disertai, malah saya perlu menggandakan usaha dalam usaha memburu kejayaan buat negara," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan