Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


FAM bantu Safee atasi isu permit kerja

Posted:

FAM bantu Safee atasi isu permit kerja

FAM bantu Safee atasi isu permit kerja

Oleh AZIZI MAJID
sukan@utusan.com.my


SAFEE Sali bersama pengurus peribadinya, Zakaria Ab. Rahim ketika pemain kebangsaan itu tiba di KLIA, Sepang semalam setelah selesai menjalani latihan bersama Cardiff City. - UTUSAN/Wahidin Salim


JOHOR BAHRU - Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) akan membantu menyelesaikan masalah permit kerja dan visa yang dihadapi Safee Sali, seandainya penyerang kebangsaan itu mendapat tawaran beraksi bersama kelab England, Cardiff City.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengakui agak sukar untuk Safee mendapatkan permit kerja dan visa berikutan peraturan ketat di negara tersebut.

Begitupun ujarnya, masih ada peluang untuk menyelesaikan masalah terbabit melalui budi bicara antara FAM, kelab Cardiff City dan juga Persatuan Bola Sepak England.

"FAM tidak menghalang niat Safee untuk beraksi bersama Cardiff City, malah berbangga seandainya dia terpilih untuk menyarung jersi pasukan berkenaan.

"Saya berharap Cardiff City menerusi Datuk Chan Tien Ghee dapat menyediakan satu mekanisme terbaik buat Safee selepas dia dikatakan berjaya memikat pengurus pasukan Malky Mackay," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Hoki Bawah 21 Piala Sultan Johor, semalam.

Safee sebelum ini mengalami kesukaran bagi menyarung jersi Cardiff City gara-gara masalah permit kerja.

Antaranya termasuklah ranking Malaysia yang ketika ini begitu jauh daripada syarat kelayakan kelompok 70 pasukan terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selain perlu beraksi lebih 75 peratus dalam perlawanan berstatus A ketika mewakili pasukan kebangsaan.

Menurut Tengku Abdullah, Tien Ghee perlu berbincang dengan kelab Pelita Jaya yang kini diwakili Safee, seandainya berminat untuk mendapatkan penyerang kebangsaan itu.

Sementara itu, Tien Ghee mengesahkan Safee akan menjalani ujian kedua dalam tempoh terdekat dan akan mengadakan perbincangan dengan kelab Pelita Jaya untuk membawa pemain kebangsaan itu ke Cardiff City.

"Safee harus kembali ke Pelita Jaya memandangkan saingan Liga Super Indonesia akan bermula tidak lama lagi.

"Saya sendiri akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan kelab berkenaan untuk mendapatkan tarikh sesuai bagi membawa Safee menjalani latihan kedua," katanya.

Mengulas mengenai isu permit kerja Safee, meskipun mengakui ia agak ketat, namun beliau percaya pasti ada cara untuk memungkinkan Safee beraksi di kelab Cardiff City, namun semuanya bergantung kepada keputusan pihak Liga Kejuaraan Inggeris.

Safee pulang dengan keyakinan

Posted:

Safee pulang dengan keyakinan

Safee pulang dengan keyakinan

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali pulang ke tanah air semalam dengan keyakinan yang tinggi selepas mengharungi latihan hampir dua minggu di kelab Liga Kejuaraan, Cardiff City.

Walaupun belum mendapat jawapan muktamad, Safee mengakui dia tidak kisah sama ada diterima atau tidak oleh Cardiff.

Sebaliknya Safee melahirkan keazaman baru bahawa dia kini bersedia memburu tempat dalam kelab-kelab yang beraksi dalam liga elit sekitar Eropah atau Asia.

"Bermain di Cardiff merupakan pengalaman paling berharga.

"Memang terdapat peningkatan dalam permainan saya sepanjang di sana, perbezaan terutama ialah dari segi kepantasan.

"Selepas latihan dua minggu, memang saya rasa boleh bersaing dengan pemain-pemain di sana.

"Saya tiada masalah menyesuaikan diri dengan cuaca, harap-harap ada perkembangan positif daripada pihak pengurusan di sana.

"Namun jika saya tidak terpilih, tiada masalah besar buat saya sebaliknya saya bersedia mencuba nasib beraksi di mana-mana kelab lain di luar negara sama ada di Eropah atau Asia selepas ini kerana saya sudah mula yakin dengan persembahan saya," katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam setelah selesai menjalani latihan di Cardiff City.

Tambah Safee, selama dua minggu di Cardiff, ia masih belum mencukupi buatnya menyerlahkan potensi sebenar dan berharap bakal diberi peluang kedua.

"Memang kalau diikutkan, masih belum puas buat saya masa di sana kerana belum mengharungi perlawanan persahabatan, jurulatih (Malky Mackay) hanya melihat kemampuan saya dalam sesi latihan sahaja," katanya.

Bakal menyertai latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM menjelang perlawanan persahabatan dengan Australia di Canberra pada 7 Oktober depan, Safee akan pulang ke Pelita Jaya pada 9 Oktober ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan