Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Koo-Tan dapat sifu baru

Posted: 06 Oct 2011 12:22 PM PDT

BUNTU tiada azimat di negara ini yang boleh mengembalikan semula aksi garang Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini memancing jurulatih dari Korea Selatan, Yoo Yong-sung untuk membantu mereka melonjakkan kembali gigitan pasangan utama negara itu.

Lamaran untuk mendapatkan bekas pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik itu dikatakan sudah selesai dan Majlis Sukan Negara (MSN) juga bersetuju dengan cadangan BAM yang dikemukakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) antara MSN dan BAM di Bukit Jalil semalam.


"BAM beritahu mereka mahu melantik jurulatih baru bagi membantu Kien Keat-Boon Heong dalam memburu emas Olimpik. Mereka bercadang melantik Yong-sung dari Korea dan pada dasarnya, kami bersetuju," kata Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong, semalam.

Dikhabarkan untuk peringkat awal, BAM akan menanggung bayaran gaji Yong-sung bagi tempoh enam bulan pertama.


MSN pula akan menilai prestasi jurulatih itu dan akan mengadakan perbincangan sekali lagi dengan BAM bagi menentukan sama ada mereka perlu membantu membayar separuh daripada gaji jurulatih itu atau sebaliknya.


"Sekarang BAM sudah ada sumber penajaan baik, jadi tak semua perkara perlu babitkan MSN dalam soal kewangan," kata Zolkples.

Menurut sumber, Yong-sung sudah bersetuju dengan tawaran itu tetapi BAM sedang mengkaji terma dan syarat untuk dikemukakan dalam kontrak jurulatih Korea itu.


Jika semua berjalan lancar, Yong-sung dijangka memulakan tugasnya di negara ini bermula bulan depan.

Yong-sung, 37, kini menjadi jurulatih sebuah kelab badminton di Korea belum terbukti sebagai jurulatih yang baik tetapi BAM terpikat dengan rekod cemerlangnya ketika bergelar pemain.


Yong-sung yang bergandingan dengan Lee Dong-soo adalah pemenang pingat perak Olimpik 2000 Sydney dan 2004 Athens, juga pernah dua kali meraih perak di Kejohanan Dunia selain menggondol tiga emas Sukan Asia di dua temasya berbeza.


BAM ketika dihubungi bagaimanapun enggan mendedahkan mengenai soal bayaran gaji dan kontrak yang akan ditawarkan kepada Yong-sung.


Malah BAM juga enggan mendedahkan di mana kedudukan Pang Cheh Chang jika Yong-sung melatih Kien Keat-Boon Heong kelak.


Mengenai isu membabitkan Persatuan Badminton Selangor (SBA) yang didakwa tidak sah oleh 32 ahli gabungan yang tidak dipanggil menghadiri Mesyuarat Dwi Tahunan persatuan itu, BAM menerusi Setiausaha Kehormatnya, Ng Chin Chai enggan mengulas lanjut dan mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti berikut: "BAM tiada fakta mengenai keahlian SBA, jadi tidak dapat komen."

PHM bengang FIH tidak adil

Posted: 06 Oct 2011 12:19 PM PDT

SIKAP berat sebelah Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dalam memutuskan pembahagian kuota ke Sukan Olimpik tahun depan di London mencetuskan rasa tidak puas hati Persekutuan Hoki Malaysia (PHM).

Apa tidaknya, benua Oceania yang hanya diwakili tiga negara iaitu Australia, New Zealand serta Fiji diberi dua kuota automatik ke temasya sukan terbesar dunia itu sedangkan benua Asia yang mempunyai banyak pasukan berkelas dunia, hanya diberi satu tiket automatik ke Olimpik iaitu Pakistan selepas memenangi pingat emas pada Sukan Asia lalu dengan menewaskan skuad negara.


Lebih mengecewakan, Fiji yang sepatutnya beraksi untuk saingan Piala Oceania, kejohanan yang menentukan dua tiket ke Sukan Olimpik di benua itu, menarik diri sebelum bermulanya saingan yang bermula semalam sekali gus menyaksikan Australia dan New Zealand secara automatik layak ke London.

Tidak berpuas hati dengan situasi itu, Setiausaha PHM, Maninderjit Singh (gambar) baru-baru ini menulis surat kepada FIH meminta supaya badan induk hoki dunia itu mengkaji semula kedudukan terkini selepas pengunduran Fiji. "Antara tuntutan PHM kepada FIH ialah meminta supaya pemenang tempat kedua di Piala Oceana bertemu dengan pemenang tempat kedua semasa Sukan Asia lalu iaitu Malaysia bagi menentukan satu slot ke Sukan Olimpik.


"Bagaimanapun, jawapan yang diterima sudah dijangka iaitu FIH tetap dengan keputusan memberi dua slot tiket automatik kepada Australia dan New Zealand meskipun dengan pengunduran Fiji dengan alasan tuntutan kami sudah terlambat.


"Apa yang PHM lakukan ini bukanlah untuk kepentingan skuad negara semata-mata, tetapi bagi membela pasukan benua Asia. Apakah rasional FIH memberi dua tiket automatik itu kepada hanya dua pasukan yang bertanding di Piala Oceania?" kata Maninderjit.

Menurutnya, adalah tidak wajar untuk Australia serta New Zealand memperoleh dua tiket automatik ke Sukan Olimpik sedangkan benua Asia yang mempunyai lebih banyak pasukan terbaik dunia, hanya diberi satu tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu.


"Saya cuma berharap perkara ini tidak berulang lagi pada masa depan. FIH perlu adil dalam memberikan slot Olimpik kepada setiap benua termasuk Asia," katanya.

Berikutan perkembangan itu, bermakna skuad negara masih perlu melalui pusingan kelayakan Sukan Olimpik awal tahun depan di lokasi yang masih belum ditetapkan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan