Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Shahidan teraju panel temuduga

Posted: 13 Dec 2011 11:17 AM PST

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim akan mempengerusi panel temuduga untuk lantikan Pengurus Besar yang baru selepas pengunduran Dr Iskandar Abdullah yang diarah untuk meletak jawatan oleh Timbalan Presiden, Datuk Karim Ibrahim.

Serentak itu juga bermakna, Iskandar yang hanya memikul tugas berkenaan selama tiga bulan sejak 1 Ogos lalu, kemungkinan besar tidak akan dilantik semula untuk memikul tugas berkenaan.


Perkara itu didedahkan sendiri oleh Ahli Majlis KOM, S Rajasegram yang berkata, ia sudah dipersetujui oleh semua ahli majlis pada mesyuarat di Kangar, Perlis, Sabtu lalu.

"Datuk Seri (Shahidan) sudah menerima surat peletakan jawatan Iskandar serta seorang lagi Pengurus Besar, B Letchumanan dan ia terus dibincangkan dalam mesyuarat.


"Keputusannya ialah semua ahli majlis setuju menyerahkan mandat sepenuhnya kepada Datuk Seri untuk melantik Pengurus Besar yang baru. "Yang pasti, beliau sendiri akan mempengerusikan panel temuduga itu nanti. Bermakna pemilihan kali ini lebih ketat dan pasti perlu memenuhi kriteria yang diingininya," katanya.


Kelmarin Arena Metro melaporkan rasa terkilan Iskandar yang diarah Karim untuk melepaskan jawatannya tanpa langsung diberi masa untuk membuat keputusan.

Sebaliknya beliau terus diminta meletak jawatan yang dinyatakan dalam sepucuk surat tulisan tangan berkuat kuasa 31 Disember ini ketika bertemu Karim di sebuah kedai kopi di Butterworth, minggu lalu iaitu sehari sebelum bermulanya mesyuarat ahli majlis KOM, Sabtu lalu.


Alasan Karim pada pertemuan itu, Iskandar tidak mampu memikul tugas sebagai Pengurus Besar KOM dan untuk itu, beliau memintanya mengundur diri.

Sementara itu Shahidan mengesahkan pertemuannya dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum akhir tahun ini bagi menyelesaikan segala kemelut berkaitan badan induk olahraga itu.


Katanya, pertemuan itu akan dihadiri ahli majlis KOM, wakil Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).


"Segala isu yang berkaitan, sama ada berkaitan kesatuan, atlet atau hubungan di antara KOM dengan MSN atau ISN, akan diperjelaskan secara terperinci nanti," katanya.


Beliau berkata sekiranya masih ada pihak yang tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan KOM sekarang, mereka boleh merubahnya pada pemilihan di mesyuarat agung tahunan kesatuan tersebut yang dijadualkan berlangsung Februari depan.

Full content generated by Get Full RSS.

Usah kacau Popovic

Posted: 13 Dec 2011 11:13 AM PST

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin kecewa kerana ada pihak mempolitikkan pemilihan pemain Serbia, Razar Popovic sebagai awang import Seladang untuk Liga M, musim 2012.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan, Zainol bimbang sikap itu jika dibiarkan menjadi penghalang perkembangan sukan. khususnya permainan kegemaran utama rakyat negara in.


"Pemikiran sebegini tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana tidak sihat serta mampu menyemai bibit-bibit tidak diingini," katanya ketika mengulas dakwaan dalam blog mengenai isu pemilihan Popovic berikutan isu penindasan orang Serbia terhadap Bosnia yang berlaku 20 tahun lalu.

Berikutan pengambilan pemain itu, Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan serta pengurus pasukan, Khairul Azwan Harun didakwa tidak peka dan prihatin tentang Islam.


"Tolong jangan campur adukkan sukan dengan politik. Kami tidak terfikir sampai ke situ memandang Popovic sebelum ini beraksi dalam Liga Bosnia dan bermain di kalangan pemain beragama Islam.


"Kenapa orang di Perak ambil kisah sangat perkara itu sedang mereka terbabit secara langsung boleh bercampur gaul tanpa sekatan.

"Lagipun tidak adil menyalahkan Popovic kerana ketika kejadian itu dia hanyalah seorang kanak-kanak yang berusia lapan tahun," katanya kesal.


Zainol berkata, pada mulanya dia tidak ingin mengulas isu itu tetapi mengubah pendirian berikutan tindakan pihak terbabit mengadu perkara itu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan