Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Usah peram bakat baru

Posted: 24 Jan 2012 07:38 AM PST

LEGENDA badminton negara Datuk Punch Gunalan mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjadikan kealpaan menyediakan pasukan mantap ke Piala Thomas sebagai satu pengajaran besar dengan menghasilkan sekelompok pemain beregu yang kuat, bukan hanya menumpukan perhatian kepada gandingan utama Koo Kien Keat-Tan Boon Heong semata-mata.

Beliau mengaku misi perburuan emas Sukan Olimpik London adalah misi negara tetapi BAM tidak boleh menjadikan alasan fokus kepada saingan di temasya sukan terulung dunia itu sehingga 'mengeram' pemain muda dengan memberi beberapa kejohanan sebagai pendedahan.


"Kalau kita ada pemain baru berusia 18 tahun, tidak salah diberi pendedahan maksimum kerana merekalah yang akan menggalas cabaran di masa akan datang," kata Gunalan yang pernah menjuarai Seluruh England, Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan Kanada suatu ketika dulu.

"Pemain remaja yang baru naik adalah usia terbaik untuk diberi pendedahan besar kerana mereka paling memerlukan kejohanan kompetitif. Tewas ketika usia muda bukan sesuatu yang perlu dibimbangi. Pada usia semuda inilah mudah untuk persatuan membentuk keperibadian dan juga disiplin.


"Mereka belum tahu erti berfoya-foya. Kalau ada bakat pada usia 12 hingga 15 tahun juga lebih baik dipercepatkan pendedahan mereka di peringkat senior kerana inilah tren masa kini, lebih cepat pemain matang lebih baik." Gunalan tidak pernah menjuarai Piala Thomas ketika bergelar pemain tapi jika ada pihak mempersoalkan kredibilitinya berbicara mengenai Piala Thomas, perlu diingat dia menjulang trofi itu ketika bergelar jurulatih pada edisi 1992, tahun terakhir Malaysia memenangi trofi kejohanan berpasukan paling berprestij.


Malah Gunalan pernah muncul juara di Sukan Sea, Komanwel dan Asia dalam acara perseorangan dan juga beregu.

Justeru, gesaan beliau supaya tidak terlalu 'memanjakan' Kien Keat-Boon Heong tentu ada benarnya kerana dalam kem negara ketika ini ada ramai pemain beregu berbakat dan mencipta kejayaan besar di peringkat remaja tetapi BAM sering 'mengeram' mereka dalam tempoh dua atau tiga tahun.


Lihat saja juara remaja dunia 2008 Mak Hee Chun-Teo Kok Siang, di mana kedudukan mereka sekarang. Kedua-duanya dipisahkan malah bersilih ganti pasangan kerana ada pihak mengatakan masih dalam peringkat cubaan mencari gandingan terbaik sedangkan Chai Biao dari China yang muncul naib juara remaja di belakang pasangan muda negara itu, kini di ranking nombor lima dunia dan sudah boleh dianggap mengesahkan tempat ke Olimpik London.

Chai Biao yang bergandingan dengan Qiu Zihan ketika remaja kini berganding pula dengan Guo Zhendong. Hee Chun yang kini digandingkan dengan Ong Soon Hock berada di ranking ke-61 dunia manakala bagi Kok Siang, entah berapa helaian muka surat laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) perlu dibuka baru ditemui.


Situasi sama juga dihadapi Ow Yao Han yang muncul juara remaja dunia edisi 2010 bersama Yew Hong Kheng. Dia yang lebih dulu dinaikkan ke skuad senior di BAM masih belum dapat gandingan sebenar kerana sering ditukar-tukar.


Lihat saja di mana kedudukan Saina Nehwal dan Wang Zhengming yang muncul juara pada edisi 2009 bersama Hee Chun-Kok Siang.


Saina kini di nombor empat dunia kerana diberi peluang beraksi di peringkat senior lebih awal. Mungkin India menggunakan prinsip alang-alang tiada pemain senior yang bagus, beri saja pendedahan secukupnya kepada pemain berbakat meskipun masih diusia remaja.


Namun apa pula bezanya dengan Zhengming dari China yang sememangnya terkenal dengan lebihan pemain berbakat.


Pemain ini tetap diberi peluang beraksi di pentas senior hingga beroleh keyakinan dan kemajuan dalam permainannya dan tidak salah jika kedua-dua kes badminton India dan China ini menjadi acuan dalam badminton negara sebagaimana cadangan Gunalan, beri pendedahan kepada pemain muda kerana pemain senior bukan untuk didedahkan lagi tetapi menuai hasilnya.



Full content generated by Get Full RSS.

Selangor intai awang Afrika

Posted: 24 Jan 2012 07:34 AM PST

TANPA sekalipun beraksi dalam kempen Liga Super musim ini, penyerang import Selangor dari Congo, Lelo Mbele sudah ditunjukkan jalan keluar oleh majikannya itu yang tampak tidak lagi boleh bersabar menantikan aksi terbaiknya.

Mbele, 24, yang pada mulanya diharap dapat membantu masalah jentera serangan Gergasi Merah selepas prestasi hambar musim lalu gagal meyakinkan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) biarpun dia kembali pulih selepas pembedahan paha kiri.


Menurut Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin, pihaknya membuat keputusan menamatkan kontrak Mbele dan kini sedang mengintai pemain terbaik menggantikan tempat pemain itu.

"Kontrak Mbele sudah ditamatkan dan kami akan mencari pemain import baru untuk menggantikannya. Keputusan ini dibuat kerana tahap kecergasannya yang tidak memuaskan.


"Buat masa ini kami sudah menyenaraikan empat hingga lima pemain dari Afrika dan Eropah untuk dipanggil bagi menjalani ujian pemilihan minggu ini. Kami harap akan dapat mencari pemain baru sebelum tarikh pendaftaran pemain import ditutup pada 13 Februari depan," katanya.


FAS sebelum ini tetap bersungguh-sungguh menawarkan kontrak kepada Mbele yang pernah bersama kelab Arab Saudi, Al-Hilal dan kelab Afrika Selatan, Orlando Pirates biarpun mengetahui dia mendapat kecederaan serius ketika mewakili Al-Nasr Benganzi musim lalu.

Ternyata harapan tinggi FAS kepada Mbele akhirnya lebur begitu saja apabila pemain itu tidak dapat beraksi pada awal kempen musim ini yang menyaksikan Selangor menghuni tangga kelapan liga selepas empat perlawanan dengan memungut lima mata.


Bagaimanapun Hamidin menegaskan faktor ketiadaan pemain import yang berkualiti dalam skuadnya selain pemain pertahanan Lubnan, Ramez Dayoub bukan satu alasan kerana mereka memiliki barisan pemain tempatan terbaik.

"Saya sudah memberi kata dua kepada pemain supaya bangkit memperbaiki persembahan kerana kami meraih dua keputusan kurang memberangsangkan dalam dua perlawanan terakhir. "Pemain seperti Safiq Rahim, Amirul Hadi (Zainal) dan Amri (Yahyah) tidak mempamerkan kemampuan sebenar dan mereka perlu bangkit," katanya.



Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan