Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Rashid optimis

Posted: 29 Jan 2012 08:38 AM PST

RASHID Sidek yang juga anggota skuad yang menjuarai Piala Thomas 1992 yakin skuad kali ini mampu melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan berpasukan badminton berprestij itu di Wuhan, China pada 20 hingga 27 Mei depan.

Rashid yang kini ketua jurulatih perseorangan lelaki berkata skuad kali ini biarpun tidak sekuat sebelumnya, tetap ada harapan untuk beraksi di perlawanan akhir pusingan kelayakan.


"Peluang tetap terbuka dan kita masih ada harapan. Pasukan lain juga bukan bagus sangat," kata Rashid.

Beliau yakin pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei mampu menghadiahkan satu mata tapi menurut beliau, beregu utama yang diturunkan nanti wajib menghadiahkan satu mata buat pasukan negara.


"Perseorangan pertama dan beregu pertama mesti menghadiahkan mata buat pasukan. Selepas itu kita harapkan satu lagi mata daripada mana-mana pemain.


"Saya amat pasti dengan Chong Wei namun prestasi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tidak menentu ketika ini, mereka tetap wajib menyumbang satu mata.

"Jika gandingan ini tewas ada kemungkinan kita akan kalah. Begitupun kita tetap harapkan pemain lain untuk menyumbang mata." Tambah Rashid lagi, pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkeyakinan tinggi bahawa skuad kelayakan Piala Thomas yang akan beraksi di Macau 13-19 Februari ini mampu melayakkan diri ke pusingan akhir.


"Yang menjadi sasaran kita adalah layak ke pusingan akhir, tidak kira kita menamatkan saingan di kedudukan ke berapa sekalipun," kata Rashid.

Begitupun beliau memberi amaran kepada semua pemain supaya memberi fokus kepada kejohanan itu kerana sebarang kesilapan kecil mampu membuatkan pasukan kecundang terutamanya di tangan pasukan tidak ternama.


"Ketika ini Jepun berada di kedudukan lebih baik kerana mereka pasukan pilihan tapi kita tidak boleh ambil mudah dengan cabaran Thailand, Taiwan dan India kerana saya yakin mereka ada potensi untuk melakar kejutan." Beliau berkata, meskipun China sudah melayakkan diri ke pusingan akhir selaku juara bertahan, tindakan mereka menghantar pasukan tanpa kelibat Lin Dan dan Fu Haifeng-Cai Yun tetap berbahaya namun pasukan negara Tembok Besar itu tidak akan mencuri satu slot dari empat tempat di kelayakan Zon Asia.


Malah menurut beliau lagi, tindakan China tidak menurunkan Lin Dan pada saingan kali ini adalah semata-mata membolehkan Chen Long dan Chen Jin memungut semaksimum mungkin mata kelayakan Olimpik.



Full content generated by Get Full RSS.

Badi berakhir

Posted: 29 Jan 2012 08:31 AM PST

PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim ternyata puas menyaksikan anak buahnya menamatkan badi empat kekalahan musim lalu kepada T-Team dalam pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.

Menurut jurulatih berusia 60 tahun itu, kemenangan 2-1 mengatasi T-Team bagi mengutip tiga mata di gelanggang lawan adalah sesuatu yang bermakna bagi Merah Kuning.


"Walaupun permainan kami tidaklah terlalu hebat, saya cukup berpuas hati dengan kemenangan ini. Selain kembali mencatatkan kemenangan, badi empat kekalahan kepada T-Team sudah terhapus dan dilupakan," katanya.

Katanya, kemenangan itu boleh dijadikan pembakar semangat untuk anak buahnya terus mencatatkan kemenangan dan tidak tercicir mata lagi terutamanya perlawanan getir melayan kunjungan LionsXII pada minggu depan.


Kemenangan ke atas T-Team adalah yang kedua kepada Selangor selepas lima perlawanan dengan pemain tengah, Azidan Sarudin menjadi wira menerusi tandukan pada minit ke-78 selepas Ramez Dayoub menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-35 namun disamakan kapten lawan, Zairo Anuar Zailani juga menerusi sepakan penalti pada minit ke-49.


Pada aksi terbabit, Irfan Bakti melakukan dua perubahan dalam kesebelasan utamanya apabila merehatkan Safiq Rahim dan Mohd Razman Roslan yang ternyata membawa tuah kepada Selangor untuk meraih kemenangan selepas gagal dalam dua perlawanan terakhir.

Sementara itu, Ifran Bakti berkata, satu perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik negara kendalian Ong Kim Swee akan digunakannya bagi menguji dua pemain import, Amadou Konte (Mali) dan Bosko Balaban (Croatia) yang dicalonkan untuk menggantikan Lelo Mbele yang disingkirkan.



Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen