Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Piala Thomas sejarah kita’

Posted: 07 Feb 2012 09:26 AM PST

KEKALAHAN di tangan Jepun pada 2010 cukup menyedihkan dan peristiwa itu seharusnya menjadi pengajaran berguna buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) namun apa yang mereka lakukan selain membuat kenyataan terdesak mengatakan Piala Thomas tidak penting."

Kenyataan itu dibuat bekas pemain kebangsaan yang menjadi penentu kemenangan pasukan negara ketika menjulang Piala Thomas kali terakhir pada 1992, Cheah Soon Kit.


Soon Kit berkata, sebagai pemain badminton, mewakili negara dalam Piala Thomas cukup besar maknanya dan Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai tidak sepatutnya membuat kenyataan bercanggah dengan semangat kenegaraan yang sudah lama dibina setiap kali pemain beraksi di Piala Thomas.

"Mengapa hanya satu kejohanan iaitu Olimpik menjadi sasaran BAM, sepatutnya Piala Thomas juga menjadi sasaran besar badan itu kerana perebutan trofi berpasukan inilah yang mengharumkan nama negara," kata Soon Kit yang beraksi sebanyak lapan kali pada Piala Thomas, menjulang kejuaraan sekali pada 1992 dan berada dalam skuad naib juara sebanyak empat kali sejak 1986 hingga 2000.


"Sepatutnya tragedi 2010 membuatkan BAM bangkit dengan perancangan lebih baik. Ketika itu kita ada Datuk Lee Chong Wei dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, cuma perlukan satu dua lagi pemain untuk dibentuk sebagai pencabar yang kuat mengapa masih gagal.


"Saya tidak tahu mengapa beliau boleh cakap Piala Thomas tidak penting. Kalau benar tidak penting, lebih baik jangan hantar pemain ke Sukan Sea, Komanwel dan Asia. Begitu juga dengan Kejohanan Remaja Dunia, jangan hantar jika hanya Olimpik yang penting.

"Apa akan jadi apabila Chong Wei sudah tiada, apakah BAM akan katakan semua kejohanan tidak penting semata-mata kerana kita tiada peluang untuk menang?" Sebagai bekas pemain, Soon Kit, 44, amat kecewa dengan BAM yang dianggap tidak mempunyai perancangan rapi.


"Sepatutnya tragedi 2010 menjadi 'wake up call' buat BAM. Mereka kata perlu realistik dengan ketiadaan pemain ketika ini dan akan cuba untuk saingan 2014, tak logik langsung.

"Bagi saya kalau 2010 sudah teruk dan skuad kali ini dianggap lebih teruk, sudah tentu 2014 kita mati." Soon Kit yang bergandingan dengan Soo Beng Kiang menjadi pemutus pemenang pada final 1992 ketika skuad negara menundukkan Indonesia 3-2 di Stadium Negara.


Sementara Razif Sidek yang turut berada dalam skuad 1992 berkata, memang mudah untuk Chin Chai berkata sesuka hatinya bak kata pepatah 'lidah tidak bertulang'.


"Apa yang Chin Chai tahu mengenai Piala Thomas, beliau tidak pernah bermain di peringkat itu malah tidak pernah mewakili negara. Sebab itu beliau senang-senang saja nak kata Piala Thomas tidak penting," kata Razif yang beraksi di kejohanan itu sebanyak lapan kali sejak 1980-1994.


"Cuba beritahu saya siapa yang tidak mahu mewakili negara dalam Piala Thomas, mana ada pemain yang tidak memasang angan-angan beraksi di pentas sehebat ini.


"Malah peminat sukan ini juga baik kecil mahupun dewasa pernah memasang angan-angan untuk bermain di Piala Thomas. Inilah pentas terbaik membawa nama negara.


"Kalau benar Olimpik mengatasi segala-galanya, mengapa BAM masih mahu menghantar pemain ke Seluruh England. Kita juga sudah ada gelaran kejohanan itu."



Hajat Jang tak sampai

Posted: 07 Feb 2012 09:20 AM PST

PENYERANG berbisa, Jean-Emmanuel Effa Owona masih menjadi pemain import tunggal dalam barisan utama Negeri Sembilan selepas hajat skuad itu untuk mendapatkan khidmat pemain dari Brazil pada pertemuan dengan T-Team dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini tidak menjadi kenyataan.

Ini berikutan status Fernando Augusto de Abreu Ferreira, 27, yang diuji sebelum ini dikatakan belum disahkan, malah dikatakan tidak memenuhi kriteria pemain diperlukan pengurusan pasukan.


Sekalipun Negeri Sembilan amat mengharapkan seorang pemain import yang beraksi di posisi pertahanan bagi digandingkan dengan tonggak berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah tapi prestasi Abreu Fereira dikatakan belum cukup mantap untuk bersama skuad Hoben Jang Hoben.

Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah mengesahkan pemain itu belum disahkan dan tiada dalam senarai barisan yang diturunkan menentang T-Team, malam ini.


"Pemain import itu belum lagi diterima kerana kami perlu menguji beberapa lagi pemain lain yang benar-benar berwibawa. Pada perlawanan menentang T-Team, kami akan menggunakan pemain sedia ada dan mereka sudah bersedia menggalas cabaran," katanya.


Mengulas lanjut persiapan menghadapi T-Team, pengendali berpengalaman itu masih menyandarkan harapan tinggi kepada Effa Owona untuk merealisasikan misi meraih tiga mata di halaman sendiri.

Selepas seri dengan Sarawak 2-2 pada perlawanan terakhir sebelum pertandingan berehat seketika minggu lalu, Azraai berharap anak buahnya bangkit dengan persembahan lebih mantap untuk memastikan sasaran kemenangan tercapai.


Beliau bagaimanapun tetap mengingatkan anak buahnya supaya lebih berhati-hati kerana T-Team dikatakan menguji beberapa pemain import yang mungkin dibawa ke Seremban.

"Pemain Negeri Sembilan perlu waspada kerana pelawat mungkin memperoleh kekuatan baru dengan kehadiran pemain import mereka.


"Saya harap pemain berusaha memberikan persembahan terbaik dan memanfaatkan kelebihan demi mencapai kemenangan kerana ia amat penting bagi memastikan kedudukan pasukan dalam carta melonjak ke posisi lebih baik," katanya.


Menurut Azraai lagi, beliau tidak akan membuat banyak perubahan dalam kesebelasan utama kecuali S Kunanlan yang tidak dapat diturunkan kerana kad merah, namun yakin perancangannya tidak terjejas kerana pemain yang ada diyakini mampu menggalas tugas dengan baik.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen