Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Wajib pilih Zulfadli

Posted: 27 Feb 2012 11:09 AM PST

ZULFADLI Zulkifli mesti disenaraikan dalam skuad Piala Thomas di Wuhan, China Mei ini bagi memastikan skuad negara di masa akan datang turut mengandungi pemain berpengalaman bagi mengharungi kejohanan berpasukan berprestij itu.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Kamil Ismail Idris Shah berkata, BAM mesti mengakui Zulfadli sebagai perseorangan pelapis terbaik yang ada pada masa ini meskipun tidak bernaung di bawah payung badan induk itu.


"Zulfadli mesti disenaraikan dalam skuad Piala Thomas di Wuhan, China tidak kiralah sama ada dia diturunkan atau sekadar simpanan," kata Tengku Kamil meluahkan pandangan peribadinya.

"Pemain muda berkualiti sebeginilah yang perlu kita beri pendedahan awal terutamanya di kejohanan berprestij seperti Piala Thomas.


"Saya akui dia masih mentah untuk diturunkan tapi dia perlu mengecapi bahang saingan dan memahami apa makna Piala Thomas terlebih dulu." Sementara itu, Tengku Kamil juga mengaku Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) perlu lebih objektif dengan menggariskan matlamat kepada pemain dan jurulatih.


"C&T mesti meletakkan sasaran dua tahun kepada setiap kelompok pemain baik elit mahupun pelapis. Jika dalam tempoh dua tahun tiada perubahan, mesti ada tindakan sama ada pemain elit mesti diturunkan ke pelapis dan jika ada pemain pelapis yang bagus dan menghasilkan keputusan cemerlang, pemain itu perlu mendapat peluang dinaikkan ke kelompok elit.

"Jika ada pemain yang tidak menunjukkan prestasi baik terus kekal dalam skuad elit, mereka tidak akan berkembang dan mula besar kepala.


"Tapi BAM perlu memberi peluang seluas-luasnya kepada pemain pelapis untuk mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa dalam tempoh dua tahun yang ditetapkan. "Sekarang kita tidak boleh lagi memberi tempoh masa empat tahun, terlalu lama. Mana-mana pemain berusia 18 atau 19 tahun perlu kita dedahkan kerana lebih awal pemain itu mendapat pendedahan di peringkat senior, lebih banyak masa untuk dia memperbaiki diri," kata Tengku Kamil ketika menghubungi Arena.

Beliau pada masa sama mahu C&T turut bertegas dengan jurulatih dan berkata: "Perkara sama juga perlu diberi perhatian kepada jurulatih, jika pemainnya tiada keputusan dia dengan sendirinya perlu meletak jawatan." Tengku Kamil juga berpendapat pelantikan Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai sebagai pengerusi C&T dan Kumpulan Prestasi Tinggi (HPT) tidak berpatutan.


"Sepatutnya Presiden (Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh) mempengerusikan C&T, jika beliau tidak dapat barulah tanggungjawab itu diturunkan kepada timbalan kemudian naib presiden.


"Chin Chai sebagai setiausaha secara automatik berada dalam jawatankuasa itu dan dia tidak boleh diberi kuasa menentukan keputusan sendiri," kata Tengku Kamil lagi sambil menegaskan C&T juga perlu bertanggungjawab atas kegagalan setiap atlet badminton negara kerana program latihan ditentukan jawatankuasa itu.


Mengenai pembentukan HPT, beliau berkata kumpulan itu tidak perlu diwujudkan sama sekali kerana C&T dibarisi pengurusan, barisan jurulatih, wakil Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) apatah lagi kumpulan itu dipengerusikan orang yang sama iaitu Chin Chai.



‘Terima kasih abang’

Posted: 27 Feb 2012 08:22 AM PST

"TERIMA kasih kepada abang saya, Mohd Zamri Salleh kerana dialah yang menjadi kunci kejayaan saya hari ini," kata pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh yang menamatkan perlumbaan peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) di tempat ketiga.

Jika saingan peringkat ketiga, kelmarin, menyaksikan rakan senegara, Anuar Manan yang mewakili pasukan Champion System menjejakkan kaki di podium, semalam pada peringkat keempat membabitkan perlumbaan sejauh 169.4 kilometer dari Batu Pahat ke Muar, giliran Harrif pula.


Dia bangkit merampas kedudukan itu sambil membuktikan tidak lagi dibayangi Anuar yang berada dalam pasukan TSG tahun lalu.

Bagaimanapun ia belum cukup memuaskan hati pelumba berusia 24 tahun itu kerana masih lagi mempunyai misi yang belum selesai sekalipun sedikit terganggu dengan kecederaan dialami apabila terbabit dalam kemalangan di peringkat ketiga, dari Melaka ke Parit Sulong, kelmarin.


"Saya puas hati dengan pencapaian ini terutama ketika keadaan diri saya yang belum pulih sepenuhnya. Biarpun kesakitan itu masih lagi dirasai terutama di bahagian tangan yang luka dan perlu dijahit, saya tetap akan berusaha merangkul sekurang-kurangnya satu kemenangan peringkat," katanya.


Harrif melepasi garisan penamat di Dataran Muar dengan catatan 3 jam 57 minit 11 saat, gagal memintas pelumba Farnese Vini, Andrea Guardini yang meraih kemenangan peringkat buat kali ketiga berturut-turut dan pelumba United Healthcare, Jacobe Keough, kedua.

Mengulas strateginya semalam, Harrif berkata, Zamri bekerja keras membawanya berada dalam kelompok hadapan terutama pada 400m terakhir bagi membolehkannya berada di posisi terbaik untuk perebutan juara.


Namun, Harrif yang dikenali sebagai pelumba pecut, mengaku bakal berdepan tugas getir apabila perlumbaan memasuki peringkat kelima yang menawarkan tiga pendakian peringkat dua dan tiga.

"Laluan esok (hari ini) memang sukar kerana membabitkan tiga laluan berbukit. Saya akui sedikit takut tapi saya akan berusaha menempatkan diri dalam kelompok besar dan jika boleh sampai pada waktu yang ditetapkan," katanya.


Selepas empat perlumbaan membabitkan laluan landai, peringkat kelima hari ini bakal dikuasai pakar pendakian apabila menawarkan tiga peringkat di Bukit Tangga, Genting Perez dan Bukit Tinjau dengan penyandang jersi kuning dijangka bertukar selepas tiada pertukaran pada akhir empat peringkat.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen