Sukan
GAYA jagoan, Canola ketika menjuarai Peringkat 7 dari Bentong ke Kuantan, semalam. - Foto Yazit Razali
BARU berusia 24 tahun, Marco Canola yang mewakili Colnago CSF Inox mengenepikan nama besar lain ketika melakar kejayaan terbesar sepanjang kariernya bergelar pelumba profesional pada laluan terpanjang Peringkat 7 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari Bentong ke Kuantan, semalam.
"Kegembiraan ini sukar diluahkan kerana LTdL adalah perlumbaan kedua saya sebagai pelumba profesional. Biarpun jelajah ini bukan perlumbaan berstatus World Tour, saya yakin kemenangan hari ini dapat memperkenalkan lagi nama saya," kata pelumba Itali itu.
Sejurus memasuki zon pecutan pertama di Mentakab pada kilometer ke-57.7, Canola bersama 15 pelumba lain melakukan pemecahan sehinggalah pada tiga kilometer penamat apabila Canola yang mengejar pelumba Drapac, Floris Goessinen, melakukan asakan untuk memintas dan memecut ke garisan penamat bagi kayuhan sejauh 205.8km itu dengan catatan 4 jam 25 minit 17 saat. "Pada peringkat pendakian ke Genting semalam (kelmarin), pengurus Roberto Reverberi menasihatkan saya untuk menyimpan tenaga dan nampaknya nasihatnya itu berhasil kerana saya mampu melakukan kayuhan terbaik hari ini," katanya sejurus tamat Peringkat 7 itu.
Begitupun, jersi kuning pendahulu masih menjadi milik pelumba Androni Giocattoli, Jose Serpa yang mendahului 30 saat di depan rakan sepasukan, Jose Rujano dengan catatan keseluruhan 24 jam 38.10s, selain jersi merah Raja Bukit dengan 27 mata.
Begitupun, jersi biru Raja Pecut kini bertukar tangan menjadi milik pelumba Astana, Valentin Iglinskiy yang merampasnya daripada Andrea Guardini (Fernese Vini-Selle Italia) yang memegang gelaran Raja Pecut selama lima peringkat, selepas pelumba Kazakhstan itu menguasai ketiga-tiga zon pecutan di Mentakab, Gambang dan Maran.
Peringkat 8 hari ini adalah laluan terpendek dalam LTdL 2012, hanya sejauh 100.8km dengan pelumba pecut dijangka menguasai perlumbaan dari Pekan, Pahang ke Chukai, Terengganu itu dengan penamat dalam kelompok besar.
0 ulasan:
Catat Ulasan