Sukan
Malaysia mampu hantar kontinjen besar SKUAD hoki menjadi sandaran negara untuk menambah jumlah kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2012, London, Julai ini.
Justeru, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap skuad hoki bimbingan Tai Beng Hai akan cemerlang pada pusingan kelayakan Olimpik di Dublin, Ireland, bermula Sabtu hingga 18 Mac ini, sekali gus dapat menyertai 22 atau 23 atlit yang sudah menempah tempat di temasya berkenaan. Jika itu menjadi kenyataan, Malaysia akan menghantar sehingga 50 atlit - jumlah paling ramai dalam sejarah sukan negara yang sekali gus akan memberi kesan psikologi positif kepada kontinjen negara.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sekiranya skuad hoki dapat melayakkan diri, negara mempunyai atlit sekurang-kurangnya dalam enam acara, selain terjun, menembak, badminton, basikal dan memanah.
"Setakat ini sudah ada 15 atlit yang layak dan jika berjalan lancar, 22 atau 23 atlit akan layak daripada badminton dan basikal. Sekiranya bernasib baik, skuad hoki juga akan bersama, bermakna ada tambahan 25 pemain lagi untuk menjadikan semuanya kira-kira 50 atlit.
"Jadi hoki penting kerana menambah kumpulan yang sudah layak dan menjadikan kontinjen Malaysia lebih besar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu program Road To London di Putrajaya, semalam.
Hadir sama, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar dan Chef de Mission Olimpik London 2012, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
"Matlamat kita masih lagi untuk mendapatkan emas pertama, di samping harapan mendapatkan pingat lebih daripada itu," katanya sejurus mengumumkan secara rasmi pelantikan Tun Ahmad Sarji sebagai ketua misi ke temasya itu.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery mengesahkan penembak, Nur Suryani Taibi yang kini hamil tiga bulan masih tergolong dalam kalangan atlit yang layak ke sukan Olimpik.
"Dijangkakan pada waktu acara berkenaan, kandungannya sekitar tujuh bulan, jadi kita akan berusaha supaya dia pergi awal dan kita akan sediakan khidmat sokongan," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan