Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Tiada penjelasan

Posted: 05 Mar 2012 09:01 AM PST

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) nyata tidak mampu memberi penjelasan terperinci berhubung tindakan mereka menggugurkan Mohd Arif Latif daripada senarai kelayakan Seluruh England, kejohanan berstatus Siri Super Premier serta Terbuka Switzerland.

Ketika banyak pihak menanti jawapan kukuh daripada mereka, Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai seperti dijangka tidak mahu memberi sebarang komen sebaliknya menyatakan keputusan menggugurkan Arif sudah diputuskan dalam Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) sebelum ini.


"Saya hanya boleh maklumkan perkara ini sudah diputuskan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan, itu saja. Saya tidak dapat memberi penjelasan lebih lanjut.

"Maaf saya tidak baca artikel anda dan saya tidak mahu komen," kata Chin Chai.


Keengganan Chin Chai memberi penjelasan lanjut mengenai isu itu mencetuskan persoalan kerana selain memikul tugas sebagai Setiausaha Kehormat BAM, beliau juga adalah Pengerusi C&T yang pasti turut terbabit dalam membuat keputusan itu.


Semalam Arena Metro melaporkan luahan kekecewaan Mohd Arif yang digugurkan dari dua kejohanan utama itu di sebalik ketegasan BAM yang menuntut pemain itu mendapatkan keputusan terbaik di peringkat antarabangsa sebelum memutuskan senarai pemain yang akan memperkuatkan skuad Piala Thomas negara di Wuhan, China Mei ini.

Difahamkan pengguguran Arif disebabkan persembahan hambar pada pusingan kelayakan Piala Thomas di Macau bulan lalu, namun apa yang menjadi persoalan ialah mengapa Liew Darren yang turut gagal mempamerkan aksi terbaik pada kempen kelayakan Piala Thomas lalu tersenarai.


Begitu juga dengan Chong Wei Feng yang berada di ranking dunia lebih rendah berbanding Arif berada dalam senarai simpanan pertama di Seluruh England.

Sedangkan pencapaian Arif lebih baik berbanding kedua-dua pemain itu apabila melangkah ke separuh akhir GP Emas Terbuka Korea dan beraksi di final Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia.


Dan kini, sikap membisu BAM seolah-olah mengesahkan dakwaan Arif bahawa ada tangan yang cuba menafikan peluangnya beraksi di Piala Thomas.



Misi besar Terengganu

Posted: 05 Mar 2012 08:58 AM PST

IRINGAN doa seluruh peminat bola sepak negara dipohon barisan Terengganu yang turun menentang kelab Vietnam, Song Lam Nghe An dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di bandar Winh, Hanoi, hari ini.

Kapten, Mohd Sharbinee Allawee Ramli berkata, sokongan padu peminat setia amat diperlukan untuk menaikkan semangat pemain.


"Biarpun jauh beribu batu, iringan doa dan kata-kata semangat peminat amat perlu buat kami memperagakan aksi terbaik menentang kelab Vietnam itu.

"Selain itu saya turut mengharapkan rakan sepasukan tidak gentar berdepan cabaran pasukan itu sebaliknya bertekad menyajikan persembahan terbaik untuk mencatat kemenangan pertama," katanya.


Menurut penjaga gol Terengganu itu, biarpun aksi skuadnya tampak goyah terutama ketika bertemu Kuala Lumpur, Sabtu lalu, dia yakin strategi direncanakan ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris bakal memberi sinar buat pasukannya. "Saya percaya ramuan dan taktikal yang bakal dicorak Mat Zan akan menjadi dengan syarat semua pemain menggalas tugas dengan berkesan dan mengikut arahan jurulatih," katanya.


Sementara itu, Mat Zan yang sebelum ini sedikit panik menjelang pertemuan dengan kelab Vietnam itu menagih pengalaman sebahagian besar pemainnya yang pernah bermain di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan dalam misi mencatat kemenangan pada perlawanan itu.

"Jika dalam aksi liga, pemain tampak kurang konsisten selain gagal memanfaatkan peluang, kini adalah masa terbaik untuk membuktikan mereka mampu memperagakan aksi terbaik," katanya. Menurutnya, pengalaman pentas antarabangsa pemain seperti Muslim Ahmad, Abdul Syukor Jusoh, Mohd Ashaari Samsudin, Abdul Hadi Yahaya, Abdul Manaf Mamat, Sharbinee, Mohd Faizal Muhamad dan Mohd Zuber Mohd Azmi harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi merealisasikan impian mencatat kemenangan.


Selain itu, sentuhan penyerang import, Francis Forkey Doe yang pernah bermain di peringkat antarabangsa termasuk di Amerika Syarikat dan Mesir amat diharapkan Mat Zan untuk merobek kubu lawan.

Menurut Mat Zan, beliau turut mengharapkan pemain mampu menghindari tekanan dan berfikiran positif bagi menjamin tumpuan ketika bermain kerana lawan sudah pasti mengamalkan permainan pantas.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan