Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Misi ‘hidup atau mati’ Malaysia

Posted:

Misi 'hidup atau mati' Malaysia

Misi 'hidup atau mati' Malaysia

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my

'GENGGAM bara api biar sampai jadi arang atau alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.'

Mungkin dua perumpamaan ini amat tepat digambarkan kepada skuad hoki Malaysia yang tampil dengan misi 'hidup atau mati' pada kempen Kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Dublin, Ireland bermula hari hingga 18 Mac.

Selepas dua kali terlepas tiket temasya Olimpik (edisi 2004 di Athens dan 2008 di Beijing), Malaysia sudah pasti tidak mahu lagi berputih mata apabila berentap dengan lima pasukan lain – Korea Selatan, Ireland, Rusia, Chile dan Ukraine – dalam kempen kelayakan tersebut.

Atas kertas, Malaysia yang menghuni ranking ke- 13 dunia diramal berdepan cabaran getir daripada Korea Selatan (6) dan tuan rumah, Ireland (16).

Tiga lagi pasukan, Rusia (20), Chile (26) dan Ukraine (29) pula tidak seharusnya memberi masalah kepada barisan pemain Malaysia untuk meraih kemenangan.

Peluang tersebut seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh skuad kendalian Tai Beng Hai itu yang akan dibantu Nor Saiful Zaini dan Stephen van Huizen dalam usaha menebus semula imej dan reputasi Malaysia dengan beraksi di pentas Olimpik 2012 di London.

Kegagalan memenangi slot automatik ketika tewas kepada Pakistan pada aksi final Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China seharusnya menjadi pengajaran berguna buat pemain negara.

Begitupun, Beng Hai tetap optimis yang anak-anak buahnya mampu merealisasikan harapan besar rakyat Malaysia, sekali gus menghapuskan badi dua kali gagal ke temasya sukan terbesar di dunia itu.

"Persiapan kita berjalan dengan lancar dan saya rasa kita berada di landasan terbaik untuk memenangi kempen Kelayakan Olimpik," kata Beng Hai pada majlis pengumuman senarai 18 pemain skuad negara ke Dublin di Bukit Jalil baru-baru ini.

"Dalam kempen itu, Korea Selatan mempunyai kelebihan kerana kedudukan mereka lebih baik daripada kita, manakala tuan rumah, Ireland pula menunjukkan peningkatan dari segi prestasi sejak kebelakangan ini.

"Namun, pasukan kita juga banyak menunjukkan peningkatan dan buktinya kita telah menang ke atas Australia dan Belanda dalam beberapa siri aksi persahabatan baru-baru ini, jadi tidak mustahil kita mampu melakukannya."

Kali terakhir Malaysia layak beraksi di pentas Olimpik ialah pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Sejak itu, Malaysia gagal dalam dua kempen kelayakan di Madrid, Sepanyol pada 2004 dan Kakamigahara, Jepun empat tahun kemudian.

Sebagai persiapan menghadapi kempen di Dublin, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah mengatur lebih 15 perlawa- nan persahabatan, termasuk menentang China, Jepun, Australia, Belanda dan Wales.

Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihatkan barisan pemain negara agar menampilkan rentak terbaik dan konsisten setiap kali turun beraksi.

"Saya berharap pisang tidak akan berbuah dua kali. Pemain kita telah beraksi dengan baik pada Sukan Asia 2010 tetapi apabila beraksi di final, mereka tidak menampilkan permainan yang diharapkan.

"Kegagalan itu perlu dielakkan sekali lagi dan saya mahu semua pemain imbas kembali mengapa mereka tidak berjaya pada final Sukan Asia 2010.

"Cuma nasihat saya, jangan ulangi kesilapan yang sama dan diharap- kan mereka dapat menampilkan rentak sebenar dalam semua perlawanan," kata Tengku Abdullah.


Ini ... Barisan pemain Malaysia giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi kempen Kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Dublin, Ireland bermula hari hingga 18 Mac.


Dalam kempen kelayakan itu nanti, Malaysia akan membuka tirai dengan menentang Chile sebelum menghadapi Rusia dan Ukraine.

Selepas mengharungi tiga aksi yang disifatkan 'tiada masalah besar' itu, Malaysia bakal berdepan cabaran sebenar dengan menentang Korea Selatan dan kemudian Ireland untuk menentukan tiket ke aksi final.

Mengikut naluri bekas legenda hoki negara, Mirnawan Nawawi, Malaysia sebenarnya berpotensi untuk menamatkan kemarau gagal layak ke temasya sukan terbesar dunia itu, namun dengan syarat perlu mengumpul sebanyak mungkin jaringan sebagai satu lagi kelebihan.

Mirnawan berkata, keyakinannya itu bersandarkan kepada persiapan rapi anak-anak buah Beng Hai sejak dua tahun lalu selain komitmen tinggi diberikan setiap pemain, baik pada sesi latihan atau pada perlawa- nan sebenar.

"Tumpuan kita adalah untuk layak ke London dan seandainya kita mampu memperoleh jaringan yang cukup besar ketika me- nentang Chile pada aksi pembu- kaan dan seterusnya ke atas Rusia dan Ukraine, saya rasa pelu- ang kita melangkah ke perlawanan akhir cerah," kata Mirnawan yang juga pengurus skuad Projek 2013.

"Saya tidak tahu penilaian orang lain mengenai skuad negara tetapi sejak kebelakangan ini, naluri saya kuat menyatakan mereka mampu melepasi pusingan kelayakan dan seterusnya beraksi di London.

"Ia berdasarkan pengamatan saya ke atas skuad negara yang telah melakukan persiapan rapi sejak kita terlepas slot automatik Sukan Olimpik tersebut pada Sukan Asia yang lalu.

"Mungkin ada ketikanya kita tewas dalam beberapa perlawanan persahabatan tetapi itu bukanlah kemampuan sebenar skuad negara, malah saya yakin kemuncak prestasi mereka akan dapat kita lihat pada kempen di Dublin nanti."

Bekas pemain negara, Mohamad Abdul Hadi pula sedar tugas pemain Malaysia di Dublin bukan mudah, apatah lagi dengan prestasi tidak menentu skuad negara yang ditunjukkan ketika aksi persahabatan dengan China dan Jepun.

"Walaupun ia hanya perlawanan persahabatan, bagi saya pemain perlu ada sikap sentiasa mahu menang. Lihat bagaimana pasukan Eropah seperti Jerman yang tidaklah bermain seratus peratus ketika perlawanan persahabatan tetapi dengan sikap positif seperti itu, mereka sentiasa mencatat kemenangan.

"Saya tidak tahu perancangan sebenar pihak pengurusan tetapi kalau pemain kita bermain sama seperti ketika menentang China baru-baru ini, saya rasa kita mungkin akan tersingkir awal.

"Beraksi pada pusingan kelayakan bukan mudah. Di sana anda memerlukan tahap tumpuan dan keyakinan yang cukup tinggi.

"Saya fikir jurulatih perlu menerapkan rasa yakin dalam diri setiap pemain, bukan sekadar sentiasa berlatih di padang saja," kata Abdul Hadi yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik 1992 di Barcelona.

Sementara itu, bekas pakar pukulan sudut penalti negara, S. Kuhan berpendapat, anak-anak buah Beng Hai tidak boleh melepaskan peluang terhidang untuk layak ke London kerana selain Korea Sela- tan dan Ireland, Malaysia dijangka tidak berdepan cabaran lebih sukar.

"Saya seperti peminat hoki lain yang tentunya mahu melihat sku- ad kita layak ke Olimpik tetapi untuk beraksi pada pusingan kela- yakan, pemain perlu mempamerkan tahap keyakinan tinggi," kata- nya yang beraksi pada temasya Olimpik 1996 dan 2000.

Dalam kempen kelayakan, hanya juara sahaja yang akan layak beraksi pada Sukan Olimpik 2012 bermula 27 Julai hingga 12 Ogos depan.

Pasukan yang telah mengesahkan slot Olimpik 2012 lebih awal ialah Australia, Argentina, Belgium, Jerman, Britain, Belanda, New Zealand, Pakistan, Afrika Selatan dan India.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia di pentas Olimpik ialah berada di tangga kelapan pada temasya 1972 di Munich.

Justeru, dengan barisan pemain yang dilihat terbaik pernah dimiliki sejak 2008, Malaysia seha- rusnya menganggap kempen kelayakan kali ini sebagai misi 'hidup atau mati' kerana masa depan dan imej sukan hoki negara kini berada dalam tangan mereka.

Terengganu tekad benam Perak

Posted:

Terengganu tekad benam Perak

Terengganu tekad benam Perak

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my


SHARBINEE belum pasti dapat bersama Terengganu pada perlawanan menentang Perak pada pusingan kedua Piala FA malam ini ekoran masalah kecederaan.


BANYAK perkara yang mahu diselesaikan anak-anak buah Mat Zan Mat Aris apabila Terengganu melayan kunjungan Perak pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Selain mahu membalas dendam selepas tewas 0-1 kepada Perak pada aksi pembukaan Liga Super, Januari lalu, skuad Penyu itu turut bertekad meneruskan kemaraan ke suku akhir, sekali gus berusaha mempertahankan Piala FA yang dimenangi musim lalu.

Atas kertas, kelebihan jelas memihak kepada tuan rumah itu yang kini berada pada prestasi terbaik, termasuk merekodkan kemenangan sulung di pentas Asia dengan menewaskan gergasi Vietnam, Song Lam Nge An pada kempen Piala AFC.

Justeru, hanya keyakinan tinggi yang dituntut oleh Mat Zan kepada anak-anak buahnya dalam usaha menghadirkan kemenangan di hadapan penyokong sendiri nanti.

"Kami adalah juara bertahan dan sudah pasti kami mahu mara lebih jauh dalam saingan ini.

"Lagi pun, menentang Perak akan memberi peluang kepada kami untuk membalas dendam ke atas pasukan itu selepas kami tewas dalam Liga Super," kata Mat Zan kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, kebimbangan tetap dirasai Mat Zan apabila dua tonggak utamanya, Marzuki Yusof dan penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli dikhabarkan masih dibelenggu kecederaan.

Tambahan pula, beberapa pemain dipercayai masih keletihan selepas melalui jadual perlawanan yang ketat sepanjang minggu ini.

"Marzuki sudah pasti tidak dapat diturunkan, manakala Shar- binee pula berada dalam keraguan. Saya berharap Sharbinee dapat pulih segera sebelum perlawanan bermula.

"Bagi pemain lain, saya akui mereka terlalu letih apabila kami perlu melalui tiga perlawanan penting dalam tempoh lapan hari," ujarnya.

Sebelum aksi malam ini, kemampuan Terengganu terlebih dahulu diuji apabila mereka bertandang ke Stadium Vinh, Vietnam bagi memulakan kempen Piala AFC, Selasa lalu.

Tiga hari sebelum itu, skuad Penyu turut dikerah bekerja keras sebelum menang 1-0 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Tuah, Melaka.

"Liga Super, Piala AFC dan Piala FA merupakan saingan berbeza tetapi kami perlu memberi tumpuan kepada perlawanan malam esok (malam ini) kerana kami akan turun sebagai juara bertahan," tambahnya.

Mengenai polemik dalaman yang dikatakan menimpa kem Terengganu ekoran perilaku pemain importnya, Francis Forkey Doe, Mat Zan tidak mahu terlalu memikirkannya.

"Saya hormati setiap teguran ataupun peringatan yang diberi- kan kepada pemain-pemain saya termasuk dalam isu peng- libatan dalam rasuah.

"Namun secara peribadi, saya percaya perkara tersebut tidak berlaku kerana mereka (pemain) profesional," ujarnya.

McRae tarikan 'POWER OF 1'

Posted:

McRae tarikan 'POWER OF 1'

McRae tarikan 'POWER OF 1'


MCRAE akan menunjukkan kehebatannya memandu jentera Satria Neo S2000 pada 'POWER OF 1' di Stadium Nasional, Bukit Jalil minggu depan.


PENAMPILAN pemandu sensasi Proton, Alister McRae pasti mengujakan peminat sukan pemotoran negara dalam acara mega 'POWER OF 1' selama lima hari yang bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula 14 hingga 18 Mac ini.

Acara itu dianjurkan sempena kejayaan syarikat pengeluar kereta negara di bidang kemajuan teknologi, pencapaian kejuruteraan, inovasi dan sukan pemotoran sejak 27 tahun yang lalu.

"Kami akan membina sebuah litar mini di tengah-tengah tapak acara tersebut dan orang ramai boleh melihat aksi McRae.

"Dia akan melakukan demonstrasi memandu jentera Satria Neo S2000 ketika memenangi gelaran pemandu dan pengeluar pada Kejuaraan Rali Asia Pasific 2011.

"Selain McRae, acara itu turut disertai Raja Drift negara, Tengku Djan serta Faidzil Alang, pemenang Kejuaraan Super Siri Malaysia tahun lalu," kata Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir semalam.

Syed Zainal Abidin berkata, orang ramai juga akan disajikan dengan demonstrasi pemanduan lagak ngeri oleh Lotus Cars Ma- laysia dan R3 yang menggunakan jentera Proton.

Turut dijadualkan adalah pengenalan jentera Lotus F1 yang akan membuat penam- pilan ke-14 dalam perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia pada 25 Mac ini.

Bagi menyerikan lagi acara tersebut, para peminat boleh membuat tempahan model baharu Proton yang dinanti-nantikan yang diberi nama P3-21A pada 14 Mac ini.

"Sepanjang lima hari itu, orang ramai boleh melihat sendiri komponen jentera milik Proton. Ia bakal memberi peluang kepada mereka untuk mengetahui situasi sebenar kami bekerja.

"Selain itu, mereka juga akan memaha- mi proses sesebuah kereta dibuat sebelum ia sedia dipasarkan.

"Acara itu menjanjikan sesuatu menarik kepada orang ramai dan ini adalah cara yang terbaik untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia berinteraksi dengan jenama Proton.

"Ia adalah satu cara baharu dan unik untuk kami bergerak ke depan dengan membina jenama di seluruh dunia," kata Syed Zainal Abidin.

Sementara itu, seorang daripada 10 pengunjung 'POWER OF 1' berpeluang untuk memenangi hadiah menerusi peraduan 'SMS dan Menang' termasuk hadiah utama tiga kereta Proton.

Hadiah lain termasuk tiket percuma GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, barangan Proton dan baucar.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen