LONDON: Fernando Torres mengaku dirinya umpama pelancong dalam kunjungannya ke Wembley tahun lalu tetapi hanya satu cenderahati yang diidam pemain itu menjelang pertemuan separuh akhir Piala FA apabila Chelsea menentang Tottenham, awal pagi esok.
Biarpun berada di England sejak 2007, Torres terpaksa menunggu hingga November lalu untuk beraksi di stadium kebangsaan itu.
Ia bukan satu pengalaman yang menggembirakan apabila pasukannya, Sepanyol tewas kepada England 0-1 apatah lagi gol kemenangan dijaringkan rakan sepasukannya, Frank Lampard.
Torres menempuhi pelbagai cabaran di pusat latihan Chelsea tetapi sedar dia bakal menjadi sebahagian daripada kejayaan kali ini dan selangkah lagi sebelum menjulang trofi pertamanya dalam bola sepak Inggeris, jika Lampard sekali lagi meninggalkan Wembley dengan gol kemenangan.
"Wembley mempunyai begitu banyak sejarah. Pasukan Inggeris mempunyai dua piala dan peluang setiap tahun untuk beraksi di sana dan ia sesuatu yang hebat," katanya dalam temubual di laman web rasmi Blues.
"Semua pemain ingin beraksi dalam perlawanan seperti itu. Ini adalah musim kelima saya di England tetapi ini kali pertama saya ke sana dengan sebuah kelab.
"Kami semua berasa teruja kerana mempunyai peluang untuk melangkah ke final menerusi pertemuan dua kelab London dan memang seronok berada di sini dan bermain, saya tidak sabar menantinya." Mengimbau kembali pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan, Torres menganggap kenangan beraksi di Wembley amat manis baginya.
"Saya tidak pernah bermain menentang England di Wembley sebelum perlawanan itu. Saya pernah menentang mereka di Old Trafford, ia sesuatu yang hebat tetapi Wembley lebih hebat lagi.
"Semua penyokong mengambil gambar kenangan, malah pemain Sepanyol juga melakukannya pada latihan terakhir sebelum perlawanan persahabatan itu." Bagi Torres, setiap pemain ingin beraksi di Wembley.
"Jika sebelum ini, kenangan saya hambar kerana negara saya tewas, saya harap senario berubah pada pertemuan ini.
"Andai separuh akhir begini hebat, tentu sekali perlawanan akhir jauh lebih hebat. Ia pastinya hebat buat pemain dan penyokong Chelsea.
"Ada pemain yang sering bermain di Wembley tetapi ada di antara kami berada di sini buat kali pertama dan ia sesuatu yang istimewa bagi kami." - Agensi
0 ulasan:
Catat Ulasan