Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Gade intai puncak

Posted: 21 May 2012 09:02 AM PDT

"KAMI sedia dan saya cukup bersedia berdepan Malaysia pada perlawanan terakhir kumpulan kerana kami tahu ini adalah peluang terbaik menewaskan Malaysia di negara berkecuali," tegas bekas pemain nombor satu dunia, Peter Gade yang sekali lagi mengetuai kempen Piala Thomas Denmark.

Gade mengaku Denmark kerap berasa kecewa setiap kali berdepan Malaysia, apa lagi di bumi Malaysia seperti dua tahun lalu, namun kali ini mereka mahu membalas dendam apabila memiliki kekuatan pemain yang dianggap mengatasi skuad negara.


"Kami mengharapkan dua mata daripada beregu sambil satu lagi mata menerusi perseorangan kedua atau ketiga," kata Gade.

"Untuk saya menghadiahkan satu mata berdepan Chong Wei agak mustahil kerana dia terlalu mantap pada masa ini tapi dua lagi perseorangan mampu menghadiahkan mata kemenangan." Apa yang dikatakan Gade itu membayangkan kekuatan Denmark di atas kertas, namun dia mengaku, setiap kali berdepan Malaysia, apa yang diharapkan sering bertukar kekecewaan.


"Saya harap dapat berada di puncak prestasi ketika berdepan Chong Wei. Walaupun sedar dia pemain hebat, saya tidak akan menyerah begitu saja.


"Dua tahun lalu di suku akhir, Malaysia beroleh kelebihan beraksi di depan penonton sendiri tapi kali ini Wuhan adalah gelanggang berkecuali dan saya rasa kami lebih berpeluang melakukan kejutan," kata Gade lagi.

Ketika Gade dan Jan Jorgensen diturunkan sebagai perseorangan pertama dan kedua, perseorangan ketiga masih belum dapat dipastikan kerana Hans-Kristian Vittinghus masih diulit kecederaan belakang hingga menyaksikan pemain muda, Viktor Axelsen, 18 turun sebagai perseorangan ketiga menentang Afrika Selatan kelmarin.


Bagi pemain muda itu, dia tidak gentar apabila diturunkan.

"Jika saya yang diturunkan sebagai perseorangan ketiga, saya tahu yang kami (Denmark) ada cara untuk menewaskan Malaysia. Kami yakin dapat ke suku akhir sebagai juara kumpulan C," katanya.


Impian DFC 04

Posted: 21 May 2012 08:57 AM PDT

BERBEKAL pengalaman dalam saingan beberapa kejohanan sebelum ini, pasukan DFC 04 menyuarakan keyakinan untuk muncul juara dalam kategori terbuka Karnival Futsal Harian Metro Zon Utara yang berlangsung di D Futsal Centre, Alor Setar, Kedah, Sabtu ini.

Meskipun pasukan yang dianggotai tujuh anak muda tempatan berusia antara 19 hingga 30 tahun menyedari persaingan daripada pasukan lain pasti hebat namun mereka tetap memiliki semangat untuk memberi tentangan.


Ketua pasukan, Ahmad Rusydi Ramli, 19, berkata, mereka yakin bakal menjadi pasukan yang digeruni sepanjang karnival itu selain memberi kata-kata amaran kepada pencabar lain supaya bersiap sedia menunggu saingan mereka.

Katanya, pasukannya yang baru ditubuhkan pada Februari lalu pernah menjuarai beberapa kejohanan futsal peringkat negeri antaranya Piala Belia Felda Rimba Emas sekali gus menambahkan keyakinan pasukan berkenaan untuk terus mengukir kemenangan.


"Kami adalah sebuah pasukan yang mantap kerana memiliki adunan semangat sepasukan yang tinggi termasuk memiliki kelebihan dalam kemahiran individu yang bakal menjadi igauan buruk bagi pasukan lawan.


"Selain itu, kami turut berusaha mengekalkan momentum permainan dengan berlatih dua kali seminggu bagi memantapkan persefahaman," katanya ketika ditemui selepas latihan di D Futsal Centre, semalam.

Ahmad Rusydi berkata, walaupun pemain pasukan itu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ada di antara mereka yang masih menuntut, peluang untuk berlatih setiap minggu tidak akan dilepaskan kerana latihan berkenaan akan memantapkan stamina dan mutu permainan mereka.


Menurutnya, pemain pasukan itu tidak lari daripada perasaan gementar walaupun sudah menyertai pelbagai kejohanan sejak ditubuhkan, namun berpendapat ia adalah perkara lumrah bagi setiap pemain.

Katanya, sasaran awal pasukannya adalah berusaha melepasi saingan di peringkat kumpulan untuk lepasi saingan suku akhir.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen