Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Tiada jalan mudah’

Posted: 23 May 2012 11:03 AM PDT

TIADA jalan mudah buat pemain muda berbakat negara, Muhamad Nazmi Faiz Mansor untuk merebut tempat dalam skuad utama SC Beira-Mar biarpun dia dianggap permata baru kelab Liga Divisyen Satu Portugal itu.

Menurut ejen pencari bakat, Marco Guimaraes yang bertanggungjawab membantu Nazmi mendapatkan kontrak tiga tahun dengan Beira-Mar, pemain muda negara itu akan beraksi bersama pasukan remaja terlebih dulu.


"Nazmi akan berlatih bersama pasukan utama namun perlawanan pertamanya dengan pasukan remaja untuk membolehkannya menyesuaikan diri dengan corak permainan di sana.

"Mungkin dia memerlukan sedikit masa kerana bukan mudah untuk beraksi di Portugal kerana permainan lebih fizikal.


"Tapi saya yakin Nazmi boleh melakukannya kerana dia pemain muda yang berkebolehan beraksi di Eropah. "Saya ibaratkan dia seperti Pablo Aimar, pemain Benfica yang bertubuh kecil namun bila bola berada di kaki mampu melakukan sesuatu yang hebat.


"Bagi saya dia akan menjadi pemain terbaik Asia selepas ini kerana untuk mendapat kontrak selepas tiga hari (ujian percubaan) adalah sesuatu yang jarang berlaku," katanya yang ditemui bersama Nazmi sebaik tiba di Budapest, Hungary kelmarin.

Guimaraes yang mengesan bakat Nazmi selepas menyaksikan salah satu perlawanan Harimau Muda A dalam Liga Singapura sebelum ini turut menjelaskan kenapa beliau memilih untuk membawa Nazmi ke Beira-Mar dan bukannya kelab gergasi Portugal, Sporting Lisbon.


"Memang idea asalnya untuk membawa Nazmi menjalani ujian pemilihan dengan kelab Sporting Lisbon tapi anda boleh lihat kelab itu terkenal dengan pemain hebat sebelum ini seperti Cristiano Ronaldo, Luis Figo dan Nani. "Mereka mempunyai ramai pemain berbakat dan kenapa harus hantar Nazmi ke sana, ia hanya membuang masa jika dia tidak akan mendapat peluang bermain," katanya yang enggan mendedahkan jumlah gaji yang diterima Nazmi.

Ketika ditanya adakah ada lagi pemain yang akan mengikut jejak Nazmi selepas ini, Guimaraes mengaku sedang mengikuti perkembangan dua pemain Harimau Muda A.


"Ada dua pemain lagi dan sudah ada kelab Portugal berminat dengan salah seorang pemain itu, namun saya enggan mendedahkan nama pemain dan kelab itu hingga perkara ini dimuktamadkan," katanya.


Iktiraf sumbangan atlet

Posted: 23 May 2012 10:59 AM PDT

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) menganjurkan majlis Anugerah Sukan UPM kali ke-29 pada 30 Mei ini dengan mempertandingkan 10 kategori untuk atlet cemerlang mengharumkan nama universiti itu di persada kebangsaan dan antarabangsa.

Tahun lalu, Olahragawan dan Olahragawati UPM disandang pemain hoki, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dan jaguh olahraga, Norjannah Hafiszah Jamaludin manakala Mohd Zafril Mohd Zuslaini dan Roslinda Samsu pada 2010.


Pengerusi majlis anugerah, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan (gambar) berkata, seramai 41 atlet UPM yang memenangi kejohanan peringkat antarabangsa baru-baru ini turut dicalonkan untuk anugerah itu.

"UPM berharap anugerah ini akan menyuntik motivasi pelajar atlet UPM agar berupaya menjadi graduan yang memiliki modal insan seimbang dari segi akademik dan sukan," katanya.


Anugerah Olahragawan dan Olahragawati UPM memilih calon yang mewakili UPM dalam Kejohanan Sukan Masum atau kejohanan yang diiktiraf UPM selain mewakili negara pada 2011, kecuali Olahragawan dan Olahragawati Harapan yang ditambah syarat untuk siswa dan siswi Tahun 1 dan 2.


Anugerah Khas diberi kepada 11 penerima yang berjaya mengharumkan nama negara dengan menyertai kejohanan selain daripada Masum pada 2011. Anugerah lain ialah Anugerah Putra Cemerlang untuk atlet paralimpik, Penghargaan Setia Bakti, Anugerah Jurulatih Cemerlang, Anugerah Pengurus Cemerlang dan Anugerah Pasukan Cemerlang.

Pada majlis itu turut diadakan majlis penyampaian Apresiasi Atlet kepada 43 atlet UPM yang mendapat pingat pada Sukan Sea ke-26 di Indonesia tahun lalu serta enam atlet UPM yang menyertai Kejohanan Sukan Universiti Dunia 2011 di Shenzhen, China dan Kejohanan Memanah Asia 2011 di Teheran, Iran.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan