Kosmo Online - Sukan |
Posted: BAM mengakui kelemahan Oleh HELMI TALKAH
TIADA pemain berbakat. Itu alasan yang diberikan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohd. Nadzmi Salleh selepas skuad negara gagal buat kali keenam dalam misi menjulang Piala Thomas. Nadzmi berkata, dengan barisan pemain yang terhad, sukar bagi badan induk badminton negara itu membentuk skuad yang benar-benar mantap bagi menghadapi kejohanan berpasukan tersebut. Mungkin alasan yang diberikan itu sudah 'lapuk' namun ia hakikat yang perlu ditelan oleh peminat-peminat sukan badminton tempatan. "Kita perlu menerima hakikat bahawa kelompok pemain yang kita ada amat kecil. Kita berdepan masalah di peringkat akar umbi kerana persatuan badminton negeri tidak memberi sumbangan yang besar. "Tidak dinafikan, kita memiliki pemain hebat yang di peringkat remaja namun mereka hanya mampu berada dalam kelompok yang digelar pemain berkelas dunia. Untuk berada pada tahap yang lebih tinggi, kita tidak ada. "Jadi, sebelum merumus sesuatu perkara kita perlu lihat pada realiti sistem yang kita ada," kata Nadzmi. Cabaran Malaysia pada saingan Piala Thomas 2012 berakhir selepas tumbang 0-3 kepada China pada aksi peringkat suku akhir di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan, China kelmarin. Kekalahan itu sekali gus menyaksikan skuad negara gagal mencapai sasaran yang diletakkan BAM untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir. Dengan kegagalan itu juga, kini sudah genap 20 tahun skuad negara gagal membawa pulang trofi berprestij itu selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur. Mengulas mengenai prestasi skuad negara di Wuhan, Nadzmi tetap memuji semangat juang yang dipamerkan barisan pemain negara. Jelasnya, persembahan para pemain tidaklah seburuk yang disangka. "Piala Thomas sentiasa dianggap penting oleh BAM tetapi kita perlu sedar bahawa sasaran utama adalah Sukan Olimpik 2012. "Bagi saya, edisi kali ini skuad negara tidak bernasib baik kerana kecederaan yang dialami Datuk Lee Chong Wei dan terpaksa ditepikan daripada kejohanan. "Ia secara tidak langsung telah menjejaskan moral pemain-pemain lain," jelas Nadzmi. Kempen Piala Thomas kali ini meninggalkan kesan yang sangat mendalam buat skuad negara selepas Chong Wei mengalami masalah kecederaan serius di bahagian buku lali kanannya. Dia mengalami kecederaan tersebut ketika menentang Peter Hoeg Gade dari Denmark pada aksi terakhir Kumpulan C, Selasa lalu. Yang pasti, ia merupakan tamparan hebat buat Malaysia dalam misi mengutip pingat emas sulung temasya Sukan Olimpik 2012 menerusi Chong Wei. Dengan hanya berbaki 63 hari lagi sebelum Sukan Olimpik di London bermula, Chong Wei diharapkan dapat pulih secepat mungkin bagi menyalakan kembali impian rakyat Malaysia yang mahu menyaksikan pingat emas pertama menjelma di bumi London menerusi pemain No. 1 dunia itu. | |
Akid Idraki juara kategori Bawah 18 tahun Posted: Akid Idraki juara kategori Bawah 18 tahunOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI AKID IDRAKI muncul juara bagi kategori Bawah 18 tahun pada Rentap Futsal Putrajaya 2012 di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya semalam. PASUKAN Akid Idraki Sdn. Bhd. (Akid Idraki) menepati ramalan apabila muncul juara Rentap Futsal Putrajaya 2012 bagi kategori bawah 18 tahun selepas menewaskan Challengers FC 2-0 pada perlawanan akhir di Kompleks Futsal 1Malaysia Presint 18 Putrajaya, semalam. Pengurus Akid Idraki, Fazly Ariffin menyifatkan kejayaan pasukannya muncul juara sebagai sesuatu yang mengejutkan kerana mereka hanya menjalani latihan dalam masa yang sangat singkat. Menurutnya, pasukan dari Johor Bahru itu memang memiliki kualiti untuk bergelar juara selepas menyaksikan kesungguhan yang dipamerkan oleh barisan pemainnya. "Saya amat gembira dengan kejayaan ini. Sukar untuk kami gambarkan tetapi kejayaan menjulang trofi tersebut merupakan detik yang bermakna buat kami. "Kami masih dalam proses memantapkan pasukan tetapi pada penampilan di Rentap Futsal kali ini, kami sudah mampu meraih kejayaan. "Begitupun, saya yakin dengan bimbingan dan kerjasama daripada Persatuan Bola Sepak Johor dan Jitu Jati Enterprise selaku penaja kami, pasukan ini akan tampil lebih mantap pada masa akan datang," katanya semalam. PEMAIN pasukan Futsal Soccer (kiri) cuba dihalang pemain lawan pada aksi Bawah 12 tahun Rentap Futsal Putrajaya 2012 semalam. Pada perlawanan akhir itu, penyerang Akid Indraki, Mohammed Azri Rahman dipilih sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir. Sementara itu, pasukan Nato Gato Junior muncul juara bagi kategori bawah 12 tahun selepas menewaskan Team Work pada perlawanan akhir. Kemenangan itu membolehkan mereka meraih hadiah wang tunai RM5,000. Pemain Nato Gato Junior, Aiman Fakri Hasman dipilih sebagai Pemain Terbaik bagi kategori bawah 12 tahun. Saingan akan diteruskan hari ini dengan dua lagi kategori dilangsungkan iaitu Terbuka Lelaki dan Wanita. | |
'Saya hanya cari punca masalah' Posted: 'Saya hanya cari punca masalah'Oleh HELMI TALKAH "TUGAS saya adalah untuk mengenal pasti punca masalah itu dan bukannya menentukan bentuk hukuman yang perlu dikenakan." Demikian penjelasan yang diberikan Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk R. Annamalai berhubung dakwaan yang dilemparkan Presiden Persatuan Jurulatih Olahraga Trek dan Padang Malaysia (MTFCA), Musa Mohd. Noor. Kelmarin, Musa mengeluarkan kenyataan bahawa Annamalai merupakan individu yang perlu dipertanggungjawabkan selepas Agensi Anti-doping Dunia (WADA) mengheret KOM ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). Ia berikutan tindakan badan induk itu yang hanya mengenakan amaran keras kepada enam atlet pecut negara yang melarikan diri daripada menjalani ujian anti-doping pada Mei tahun lalu. Bagaimanapun, Annamalai menegaskan bahawa beliau yang dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa siasatan oleh ahli majlis KOM bagi mengenal pasti punca masalah tersebut telah melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin. "Selepas siasatan selesai dijalankan dengan mengambil keterangan daripada individu-individu termasuk enam atlet serta jurulatih yang terlibat, saya telah membentangkan laporan penuh kepada presiden KOM (Datuk Seri Shahidan Kassim) dan ahli-ahli majlis. Keputusan mengenai bentuk hukuman yang perlu dikenakan dibuat berdasarkan persetujuan semua ahli-ahli majlis termasuk presiden KOM. "Jadi, mengapa pula saya yang perlu dipersalahkan. "Saya ingin tegaskan bahawa jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan adalah bertujuan untuk mengenal pasti punca masalah timbul dan membuat rumusan mengenainya dan bukannya menentukan bentuk hukuman yang perlu dikenakan," kata Annamalai ketika dihubungi Kosmo! semalam. Menurut Annamalai, beliau kecewa dengan sikap Musa yang dianggapnya sebagai 'orang luar' kerana tidak menyelidik terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan kepada pihak media. "Siapa Musa? Beliau hanya orang luar dan tidak tahu apa-apa. Sepatutnya beliau menghubungi saya terlebih dahulu bagi bertanyakan situasi sebenar sebelum mahu membuat komen kepada pihak media," ujarnya. Musa dalam satu sidang akhbar di Bukit Jalil kelmarin membidas Annamalai apabila menganggap selaku pengerusi jawatankuasa siasatan, beliau sepatutnya peka dengan peraturan yang telah ditetapkan baik WADA mahupun Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) sebelum mengenakan sebarang hukuman. Enam atlet tersebut ialah Siti Zubaidah Adabi, Siti Fatimah Mohamed, Yee Yi Ling, Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abdul Kadir dan Mohd. Imran Abd. Hadi. Selain enam atlet terbabit, bekas ketua jurulatih olahraga negara, Harun Rasheed Othman turut didapati bersalah dan dikenakan penggantungan selama setahun oleh KOM. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan