PASUKAN rakit senior Universiti Selangor (Unisel), Rack'IT mencatatkan sejarah apabila meraih tempat ketiga keseluruhan kategori Terbuka pada pertandingan Rakit Rafting Festival 1Perak peringkat kebangsaan di Selama, Perak, baru-baru ini.
Selain pasukan senior, Rack'It yang bernaung di bawah Unisel Racing Team (URT) turut menghantar satu lagi pasukan pelajar junior.
Laluan Sungai Siputeh sejauh 8.3 kilometer menjadi lokasi pertandingan yang memerlukan peserta melepasi beberapa cabaran sukar seperti arus deras, batu-batu tajam, air cetek dan selekoh berliku.
Penolong pengurus pasukan, Mohamad Hafiz Ismail, juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan pula berkata, kemenangan itu cukup membanggakan kerana Rack'It baru saja ditubuhkan dua minggu sebelum hari pertandingan.
"Sebenarnya pasukan ini pernah menyertai pertandingan Berakit Sungai Perak 2011 dengan muncul naib juara keseluruhan.
"Cuma tahun ini kami mengambil inisiatif membentuk pasukan rakit sendiri dengan nama rasmi Rack'IT dan diletakkan di bawah URT selain pasukan lumba basikal Spee'Da, lumba kereta dan pasukan Cub Prix, Unisel-GeMS," katanya.
Rack'IT turut mengambil inisiatif melantik dua jurulatih daripada Persatuan Kanu Selangor untuk memberi tunjuk ajar dan latihan dalam usaha mengangkat nama Unisel dalam sukan air kebangsaan.
Sementara itu kapten pasukan, Hazwan Hanapi berkata, cabaran dalam pertandingan ini banyak memberi pengalaman berguna buat rakan sepasukan.
"Sebenarnya rakit kami direka khas berpandukan pertandingan tahun lalu untuk situasi sungai dalam yang mengutamakan skil kayuhan memecut dan rekabentuk struktur rakit yang kukuh.
"Namun, cabaran ini memerlukan stamina dan kerjasama pasukan yang tinggi kerana keadaan sungai cetek memaksa kami turun menolak rakit, manakala liku berarus deras menuntut kemahiran mengambil selekoh," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan