Kosmo Online - Sukan |
Posted: Marwijk berdepan penyingkiran
KHARKIV – Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk bakal berdepan penyingkiran atas kegagalan skuad kendaliannya pada kempen Euro 2012. Presiden Persekutuan Bola Sepak Belanda, Bert van Oostveen telah meminta van Marwijk memberi penjelasan atas kekalahan skuad The Oranje itu dalam kesemua tiga perlawanan peringkat Kumpulan B. Beliau juga mahu tahu bagaimana berita mengenai pergolakan dalaman kem Belanda boleh sampai ke pengetahuan media. Van Oostveen yang menyaksikan kegagalan paling teruk Belanda dalam masa 70 tahun, berkata: "Kami telah memanggilnya untuk hadir dalam satu mesyuarat tergempar. Saya sangat kecewa. Ini sesuatu yang tidak bagus untuk pasukan Belanda. "Saya akui bahawa Bert telah membantu kami mara ke final Piala Dunia dua tahun lalu tetapi prestasi kami pada Euro 2012 ini tidak boleh diterima. "Kami akan melakukan siasatan terperinci mengenai kegagalan ini." Sementara itu, perancang Inter Milan, Wesley Sneijder memberitahu ada 'tali barut' telah meranapkan moral pemain Belanda. Dia berkata: "Setiap kali kami ada sesi latihan tertutup, semua maklumat terperinci tentang strategi kami telah diketahui oleh media keesokannya. "Ia telah menghancurkan keyakinan kami. Sukar untuk bermain sebagai sebuah pasukan sekiranya ada tali barut dalam pasukan ini." – Agensi | |
Posted: Sepanyol mula legaCASILLAS berasa lega selepas Sepanyol berjaya melepasi halangan pertama. GDANSK, Poland - Kapten, Iker Casillas mengakui, kemenangan tipis Sepanyol ke atas Croatia pada aksi terakhir Kumpulan C awal pagi semalam telah berjaya meringankan beban pemain-pemain skuad La Roja itu. Sepanyol terpaksa menanti sehingga minit ke-88 sebelum menjamin tempat ke suku akhir hasil jaringan Jesus Navas. Jaringan lewat pemain gantian itu akhirnya membantu Sepanyol muncul juara kumpulan, sekali gus menyelamatkan maruah juara bertahan tersebut pada kempen di Ukraine dan Poland ini. "Saya rasa ia satu perlawanan yang sengit, namun ia sesuatu yang biasa kerana apa yang paling penting ialah melangkah ke pusingan kalah mati," kata penjaga gol Sepanyol itu. "Croatia telah bersedia sepenuhnya menghadapi kami. Mereka memberi kesukaran kepada kami untuk mencipta peluang dan bertahan dengan baik. "Akhirnya kami bernasib baik juga kerana mendapat gol pada hujung permainan. Saya rasa seperti beban di bahu kami telah hilang." Sementara itu, penjaring gol kemenangan, Navas berkata: "Croatia merupakan lawan yang hebat dan mereka berjaya menyamai tahap permainan kami. "Mereka mengawal pemain kami dengan baik, sekali gus menyukarkan kami menembusi pertahanan mereka. "Apa pun, kami berjaya juga berjuang sehingga meraih kemenangan. Semua pemain telah berusaha keras dalam perlawanan ini. "Kami sentiasa mahu kemenangan. Itulah kepercayaan kami dan itulah apa yang kami mahukan." - Agensi | |
Prandelli tuntut komitmen pemain Posted: Prandelli tuntut komitmen pemain
POZNAN - Jurulatih Itali, Cesare Prandelli menuntut barisan pemainnya mempamerkan peningkatan dari semasa ke semasa sepanjang beraksi pada kempen Euro 2012. Prandelli berkata, beliau mahu menyaksikan barisan pemain skuad The Azzurri mempamerkan peningkatan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan lain dalam usaha mara ke pentas final. "Saya mahu semua pemain meningkatkan corak permainan mereka. Saya mahu menyaksikan sebuah pasukan yang mengamalkan corak permainan bola sepak menarik. "Pasukan yang mampu mengamalkan corak permainan bola sepak sebenar berpeluang cerah untuk melangkah lebih jauh dalam mana-mana kejohanan. "Mungkin kamu sudah dianggap baik apabila berjaya mencatatkan kemenangan tetapi jika kamu mahu beraksi dengan corak permainan bola sepak sebenar, kamu perlu mempamerkan peningkatan," kata Prandelli. Anak-anak buah Prandelli kini berada di landasan tepat untuk mara ke pentas final Euro 2012 selepas berjaya melangkah ke peringkat suku akhir. Itali mengesahkan slot ke pusingan kalah mati itu selepas muncul naib juara Kumpulan C dengan mengumpul lima mata, dua mata di belakang juara bertahan, Sepanyol. Awal pagi semalam, skuad The Azzurri tampil bergaya apabila mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Republik Ireland pada aksi terakhir Kumpulan C, sekali gus menempah slot ke pusingan kalah mati. Pada aksi tersebut, dua gol Itali diperoleh menerusi jaringan Antonio Cassano pada minit ke-35 sebelum bintang muda Manchester City, Mario Balotelli meledak gol kedua lewat perlawanan. Pertemuan dengan Ireland juga menyaksikan Prandelli mengubah formasi skuad kendaliannya apabila meletakkan empat pemain di bahagian pertahanan. Beliau jelas berpuas hati dengan persembahan para pemainnya yang cepat menyesuaikan diri dengan formasi tersebut. "Kami tidak mahu beraksi seperti sukan ping pong. Kami sering kali dikritik sebelum ini dengan cara kami mengatasi pihak lawan yang mengamalkan hantaran bola tinggi. "Namun, dalam perlawanan dengan Ireland kami berjaya mengatasinya. Apa yang pasti, keempat-empat pemain pertahanan kami telah beraksi dengan cemerlang. "Bukan mudah untuk mengubah formasi dalam sesebuah pasukan tetapi kami berjaya menyesuaikan diri dengan cepat," kata Prandelli. - Reuters |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan