Berita Harian: Sukan |
Wajah ‘masuk’ TV jadi dorongan Posted: 12 Jul 2012 02:21 PM PDT Kuantan: Hanya semata-mata mahu melihat wajahnya masuk televisyen dan terpampang di dada akhbar, ia menjadi dorongan kepada pemanah Nuramalia Haneesha Mazlan melakukan bidikan terbaik sekali gus memenangi emas acara recurve 70 meter di Padang POLISAS, semalam. "Saya teringin masuk TV dan melihat wajah terpampang dada akhbar. Itu sebab saya tekad melakukan terbaik," kata pemanah yang baru berusia 12 tahun selepas membidik 299 mata – tiga mata mengatasi Nur Atiqah Aziz dari Melaka dan pemanah Johor, Norhuda Azida Zolkifli. Impian anak kedua daripada empat beradik itu akhirnya tercapai apabila dia kemudian menjadi tumpuan wartawan media cetak dan elektronik kerana kejayaan itu adalah pencapaian luar biasa dan melakar sejarah tersendiri. Ini kerana ia menjadikan murid Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu itu muncul pemanah termuda dalam sejarah pertandingan memanah SUKMA menang emas dengan 'membidik' 48 pemanah yang lebih berpengalaman dan matang daripadanya. Sememangnya, pencapaian Nuramalia itu mengagumkan kerana diakui bukan mudah untuk seorang budak sebayanya menarik busar dan membidik tepat anak panah yang jelas memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi. "Selepas raih emas ini, saya tidak mungkin beralih arah lagi dan akan terus kekal beraksi dalam sukan ini dengan harapan satu hari nanti dapat mewakili negara bertanding di Sukan Olimpik," kata Nuramalia yang bagaimanapun kecewa gagal dalam acara recurve 60 meter pada saingan sebelah petang. |
Gelora Red Warriors kembali tenang semula Posted: 12 Jul 2012 02:19 PM PDT Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akur dengan permintaan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menyerahkan trofi Liga Super pada aksi terakhir Kelantan bertemu Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok. Keputusan itu dicapai selepas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM mengadakan mesyuarat khas di Kuantan, semalam. Pengerusi JKPT FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata langkah proaktif itu diambil selepas menimbang rayuan dibuat Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, dua hari lalu. "Oleh kerana saya dan ahli JKPT lain terbabit untuk final bola sepak SUKMA 2012 di Kuantan (esok), penyampaian trofi di Kota Bharu itu akan dilakukan Naib Presiden FAM yang juga Timbalan Presiden KAFA, Datuk Afandi Hamzah," katanya ketika dihubungi di Kuantan, semalam. Hamidin, yang juga Naib Presiden FAM, berkata, mesyuarat semalam turut memutuskan penyerahan trofi Liga Perdana diserahkan kepada pasukan Tentera pada aksi terakhir menentang Pos Malaysia di Stadium Selayang, malam ini. Sementara itu, Naib Presiden KAFA, Rosmadi Ismail yang mengucapkan terima kasih kepada FAM berkata penyerahan hadiah wang bernilai RM750,000 akan dibuat di Wisma FAM pada 20 Julai ini. KAFA turut menyediakan 500 T-Shirt The Red Warriors untuk diagihkan kepada penyokong pada malam esok. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan