Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Nicol sasar kejuaraan kelapan

Posted: 10 Sep 2012 02:59 PM PDT

Pemain skuasy nombor satu dunia tekad terus ungguli Terbuka Malaysia

Kuala Lumpur: Pemain skuasy nombor satu dunia, Nicol Ann David mensasarkan memenangi Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB, buat kali kelapan berturut-turut.

Acara tahun ini akan diadakan di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil bermula hari ini, sebelum beralih ke kompleks beli-belah The Curve di Petaling Jaya, pada Khamis untuk pertemuan peringkat suku akhir dan seterusnya.
Pemenang kategori wanita dan lelaki masing-masing bakal membawa pulang hadiah AS$70,000 (RM217,297) dan AS$50,000 (RM155,210).

Ratu skuasy negara berusia 29 tahun yang menjuarai kejohanan itu sejak 2005, berkata motivasi memenangi kejuaraan kali ini berkait rapat dengan keupayaan berdepan cabaran dan persaingan yang dilalui sejak beberapa tahun lalu.

"Acara tahun ini akan menjadi cukup menarik kerana anda perlu bersaing dalam lima pusingan perlawanan berdepan kalangan 20 pemain terbaik yang menyertai kejohanan.

"Ia membabitkan beberapa pemain muka lama, manakala yang lain muka baru termasuk pemain muda dari Mesir dan England. Ia akan menjadi pertarungan sukar untuk semua pemain," katanya kepada pemberita pada majlis penajaan CIMB, semalam.
Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank, Datuk Charon Wardini Mokhzani mengumumkan bahawa pemain skuasy kebangsaan Mohd Nafiizwan Adnan ialah pemain tempatan ketiga ditaja CIMB, selepas Nicol dan seorang lagi pemain, Ong Beng Hee.

Dalam kategori lelaki, pemain nombor lima dunia Karim Darwish dari Mesir menjadi pemain pilihan untuk menjuarai kejohanan kali ini berikutan juara bertahan tahun lalu, Gregory Gaultier dari Perancis, tidak menyertai kejohanan ini. - BERNAMA

Pengumuman calon KOM ditangguh

Posted: 10 Sep 2012 02:56 PM PDT

Gara-gara ketiadaan Shahidan yang dikatakan masuk hospital

Kuala Lumpur: Perlukah Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menunggu Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan senarai calon yang bakal bertanding dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi badan induk itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), 23 September ini?

Persoalan itu timbul selepas pengumuman senarai calon bertanding yang sepatutnya diumumkan selepas tarikh tutup pencalonan berakhir 12 tengah hari, semalam tertangguh gara-gara ketiadaan Shahidan yang dikatakan masuk hospital.
Sepatutnya, tidak perlu menunggu Shahidan, sebaliknya KOM dari awal perlu menubuhkan jawatankuasa bebas menjalankan proses pencalonan dan pemilihan bagi memastikan ia berjalan lancar serta tidak berlaku konflik kepentingan.

Naib Presiden, Datuk R Annamalai dalam sidang media selepas mempengerusikan jawatankuasa kejurulatihan KOM berkata, dia tidak dapat mengesahkan siapa calon yang akan bertanding tanpa kehadiran presiden, apa lagi dia juga dicalonkan.

"Saya difahamkan ada tiga calon presiden, tiga timbalan presiden dan sembilan calon bagi jawatan naib presiden. Tapi kita tunggu siapa yang dicalonkan kerana kami pun kalau boleh mahu diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Karim sedang disiasat

Namun, Shahidan yang mahu mempertahankan jawatannya dikatakan dicabar Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS), Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Danyal Balagopal.

Nasib Timbalan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim yang sedang disiasat atas dakwaan sebagai dalang persengketaan dalam badan induk itu juga masih tidak pasti dengan Jawatankuasa Siasatan Dakwaan KOM hanya akan menyerahkan keputusan minggu ini.

"Apa yang kita dapat tahu, panel kes itu akan memaklumkan keputusan minggu ini, iaitu sebelum AGM dan selepas dapat keputusan, barulah ahli majlis buat keputusan sama ada dia dibenarkan bertanding atau tidak," katanya.

Bagaimanapun, Karim yang turut mahu mempertahankan jawatan dikhabarkan bakal ditentang K Yogeswaran yang juga Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Selangor serta Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan