Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


KOM tangguh umum pencalonan

Posted: 10 Sep 2012 09:19 AM PDT

HANYA kerana ketiadaan Presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim, senarai calon untuk pemilihan merebut jawatan tertinggi dalam Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang sepatutnya diumum semalam menjelang Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada 23 September ini, terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baru.

Keputusan itu bukan saja mengejutkan malah mencetuskan rasa berang beberapa Ahli Majlis badan induk olahraga itu kerana mereka menganggap KOM seolah-olah tidak mengambil serius perkara itu.


Naib Presiden KOM, Datuk R Annamalai (gambar) yang hadir pada sidang media semalam selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan berkata, urusan untuk membuka sampul surat mengandungi nama-nama calon yang sudah dihantar 15 ahli gabungan sebelum jam 12 tengah hari semalam terpaksa ditangguhkan berikutan ketiadaan Shahidan yang tidak dapat hadir atas alasan 'sebab-sebab tidak dapat dielakkan'.

Difahamkan Shahidan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital, namun perkara itu enggan disahkan Annamalai.


"Semua Ahli Majlis sudah menghantar pencalonan sebelum jam 12 tengah hari ini (semalam). Pihak kami tidak dapat membuka (sampul surat) kerana Presiden KOM tidak dapat hadir.


"Untuk itu, kami akan tetapkan tarikh pengumuman pada minggu ini dan membukanya di depan pihak media. Apa yang saya difahamkan calon untuk Presiden ada tiga orang, begitu juga dengan Timbalan Presiden tapi saya tidak tahu siapa mereka," katanya.

Mengulas pertanyaan sama ada Timbalan Presiden, Datuk Karim Ibrahim dibenar bertanding mempertahankan jawatannya itu sedangkan keputusan Jawatankuasa Siasatan Dakwaan KOM diketuai Hakim Mahkamah Syariah, Tan Sri VC George membabitkan masalahnya belum diketahui, Annamalai berkata: "Kami difahamkan keputusan itu akan diketahui dalam tempoh seminggu iaitu sebelum AGM pada 23 September.


"Selepas mengetahui keputusan itu, semua Ahli Majlis akan dipanggil untuk bermesyuarat bagi menentukan sama beliau (Karim) dibenarkan untuk bertanding atau sebaliknya. Bermakna keputusan terletak di tangan Ahli Majlis." Semalam Arena Metro melaporkan Shahidan serta Karim bakal berdepan saingan tiga penjuru dalam usaha kedua-dua mereka untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

Difahamkan, Shahidan bakal dicabar Datuk Zainal Abidin Ahmad iaitu Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan. Zainal juga pernah memikul tugas sebagai Setiausaha serta Naib Presiden KOM.


Selain Zainal, Shahidan juga bakal menerima tentangan daripada Datuk Danyal Balagopal yang juga bekas Naib Presiden KOM.


Sementara Karim bakal ditentang K Yogeswaran yang juga Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Selangor serta Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/11


‘Saya belum terdesak’

Posted: 10 Sep 2012 09:15 AM PDT

MASALAH disiplin bukan alasan buat ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal tidak memanggil Mohd Muslim Ahmad bagi menggantikan tonggak pertahanan tengah, S Subramaniam yang sah tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan pada perlawanan antarabangsa menentang Vietnam di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pengendali negara itu menjelaskan, beliau tidak terdesak untuk membawa masuk Muslim yang sebelum ini berada dalam senarai pengganti jika ada pemain mengalami kecederaan.


"Saya tidak panggil kerana perlawanan diadakan esok (hari ini). Saya cuma hilang seorang pemain pertahanan, Subramaniam dan saya masih ada pemain pertahanan lain. Saya tidak fikirkan mengenai masalah disiplin itu, saya cuma fikirkan mengenai perlawanan esok (hari ini)," katanya kepada pemberita pada sidang media semalam.

Muslim nadi benteng pertahanan negara ketika Harimau Malaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 kini berdepan dakwaan masalah disiplin dengan pasukan Terengganu baru-baru ini dan kesnya itu masih dalam siasatan.


Bagaimanapun Rajagobal mempunyai alasan tersendiri untuk memanggil penyerang Kedah, Baddrol Bakhtiar pada saat akhir selepas Mohd Khyril Muhymeen Zambri dan Ahmad Shakir Ali mengalami kecederaan.


"Khyril dan Shakir mendapat kecederaan dan saya memanggil Baddrol bagi menambah pilihan di bahagian serangan. Di bahagian serangan saya hilang dua pemain dan saya perlukan pemain pengganti," jelasnya.

Mengulas pertemuan dengan Vietnam, nada yang sama disuarakan jurulatih berusia 56 tahun itu.


"Perlawanan ini memberi peluang untuk saya menguji pemain dan melihat peningkatan kami. Walaupun sudah ada bayangan 35 pemain untuk didaftarkan bagi skuad Piala AFF, saya masih mahu memberi peluang kepada pemain yang beraksi baik dalam Piala Malaysia.

"Mana-mana jurulatih mahu melihat pemain bermain dengan baik dan menang tapi tumpuan saya masih kepada November ini (Piala AFF). Memang ini perlawanan bertaraf A tapi ia adalah persiapan untuk Piala AFF," katanya.


Selepas aksi malam ini, Malaysia dan Vietnam akan bertemu sekali lagi di Hanoi pada 3 November.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/11


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen