Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Shahidan nafi tak profesional

Posted: 25 Sep 2012 02:29 PM PDT

DATUK Seri Dr Shahidan Kassim menafikan dakwaan beliau meninggalkan mesyuarat agung tahunan (AGM) Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Ahad lalu selepas mengetahui gagal mempertahankan jawatan presiden badan induk sukan olahraga negara itu bagi penggal 2012/2014.

Ketika ditemui wartawan di Yayasan Pok dan Kassim (YPK) di Kangar, semalam, Shahidan berkata, beliau menunggu hingga AGM berakhir dan tidak timbul soal meninggalkan mesyuarat sebelum waktunya.


Katanya, beliau terpaksa pulang sebaik mesyuarat itu selesai kerana mempunyai banyak urusan di Perlis termasuk menghadiri istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran di Istana Arau.

Mengenai dakwaan Presiden KOM yang baru, Datuk Zainal Abidin Ahmad bahawa tindakan beliau itu 'tidak menghormati majlis' kerana pulang awal tanpa mengumumkan kepimpinan baru badan induk sukan olahraga itu, Shahidan berkata, perkara itu sebenarnya tidak timbul.


Menurutnya, tiada dalam agenda bekas presiden perlu membuat pengumuman barisan kepimpinan baru KOM, begitu juga dengan majlis penyerahan tugas bagi jawatan tertinggi badan induk sukan olahraga itu.


Shahidan yang menerajui KOM sejak 2006 gagal mempertahankan jawatan apabila tewas dua undi selepas memperoleh 21 undi berbanding Zainal Abidin yang juga Pengerusi Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan, 23.

Shahidan berkata, beliau menghormati keputusan itu dan akan menyokong setiap tindakan dilakukan kepimpinan baru KOM.


"Jika bagus saya tetap kata bagus. Kalau ada yang tidak baik, perlu diperbaiki. Jangan belum apa-apa lagi sudah kepala angin," katanya.

Mengenai kegagalannya menyerahkan fail tugas kepada kepimpinan baru KOM, Shahidan berkata, beliau tidak dapat melakukannya sebaik mesyuarat itu berakhir kerana tidak menduga akan kalah.


Bagaimanapun Shahidan berkata, beliau akan menyerahkan fail tugasan itu secepat mungkin bagi membolehkan pentadbiran badan sukan itu berjalan lancar.


"Kalau nak cepat jangan tunggu saya. Ambil saja (fail) daripada Pemangku Pengurus Besar KOM (Anthony Samy Silvarajoo)," katanya sambil menambah semasa beliau mula menerajui KOM, tiada majlis penyerahan tugas dilakukan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/26


Peluang adu tenaga

Posted: 25 Sep 2012 02:14 PM PDT

PASUKAN amatur futsal kini berpeluang menguji kehebatan masing-masing dengan menyertai Kejohanan Futsal Lelaki/Wanita Terbuka Redbull 2012 di D'Futsal Centre Alor Setar, Kedah, Sabtu ini.

Dengan yuran penyertaan RM150 bagi setiap pasukan, juara kategori lelaki berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 manakala naib juara (RM1,500), tempat ketiga/empat menerima RM1,000 dan kelima hingga kelapan barangan Redbull bernilai RM250.


Bagi kategori wanita, juara menerima RM1,000 manakala naib juara (RM700), ketiga dan keempat (RM500). Tempat kelima hingga kelapan menerima barangan Redbull bernilai RM250.

Penganjur akan memilih empat pasukan terbaik kejohanan ini untuk mewakili kawasan Utara ke peringkat Grand Final yang menawarkan hadiah lumayan dan berprestij. Juara Grand Final bakal menerima RM15,000, naib juara (RM7,500) manakala tempat ketiga dan keempat, masing-masing menerima RM5,000.


Pengarah Program, Ahmad Rokmar berkata, kejohanan itu menyediakan peluang terbaik kepada pasukan berstatus amatur untuk memenangi hadiah menarik.


"Kami masih menerima pasukan yang ingin menyertai kejohanan ini. Memandangkan venue kejohanan mempunyai banyak gelanggang, kami mampu menampung banyak penyertaan bagi kategori lelaki dan wanita," katanya.

Pasukan berminat boleh menghubungi Rokmar di talian 016-4152295, 013-6362 295 dan 04-7146919.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/26


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen