Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Reputasi FAM tidak terjejas

Posted: 26 Sep 2012 09:16 AM PDT

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak peduli andai kes membabitkan Peter James Butler mendapat perhatian meluas media antarabangsa selagi ia dikendalikan mengikut peraturan ditetapkan.

Pandangan terbabit disuarakan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berhubung perkembangan terbaru membabitkan bekas pengendali Terengganu itu yang mendedahkan pemecatannya sudah mendapat perhatian masyarakat dunia.


Butler mendakwa berita pemecatannya sudah merebak ke negara kelahirannya, England selain Eropah apabila mendapat liputan beberapa akhbar terkenal dunia seperti The Guardian, Independent dan New York Times.

"Kita tidak peduli (liputan media antarabangsa) asalkan ia dilakukan mengikut tatacara. "Seperti isu antarabangsa lain, kita perlu mengikut peraturan," katanya ketika ditanya insiden terbabit yang mungkin menjejaskan reputasi dan imej bola sepak tempatan di kaca mata dunia secara keseluruhan.


Katanya, FAM tidak akan terburu-buru mencampuri urusan terbabit kerana Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) turut mempunyai jawatankuasa disiplin dan rayuan seperti badan induk bola sepak negara itu.


"Selepas mendapat keputusan rayuan dan andai beliau (Butler) tidak puas hati, surat boleh dihantar kepada FAM untuk kami menilainya bagi memutuskan sama ada ia perlu dirujuk kepada jawatankuasa bertanggungjawab untuk tindakan susulan atau sebaliknya.

"Buat masa ini kita tunggu dulu keputusan rayuan," katanya yang turut mengaku sudah menerima salinan surat rayuan dihantar Butler kepada badan induk bola sepak negara itu namun menegaskan tidak dapat mengambil sebarang tindakan kerana itu hanyalah surat salinan.


Bekas pengendali Kelantan itu disabit kesalahan memberi kenyataan kepada media tanpa kebenaran pengurusan sekali gus menyebabkan beliau digantung enam bulan dan kontraknya yang masih berbaki 15 bulan ditamatkan serta denda wang tunai.

Hukuman itu menyebabkan kontraknya terbatal kerana mengikut peraturan beliau tidak boleh digantung melebihi 30 hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/26


SMK Tunku Anum pertahan kejuaraan

Posted: 26 Sep 2012 09:02 AM PDT

USAHA keras akhirnya membuahkan hasil buat pasukan bola sepak SMK Tunku Anum (SMKTA) Kedah apabila mencipta kemenangan hatrik mempertahankan Piala Remaja Bawah 17 Tahun KPM 2012 dengan menewaskan SMK Mutiara Impian (SMKMI) Pulau Pinang, 4-1 pada perlawanan akhir di Stadium Darulaman, kelmarin.

Ketua jurulatih pasukan SMKTA, Mohd Zaini Othman berkata, beliau puas hati dengan kejayaan pasukannya yang meraih kejuaraan ketiga berturut-turut.


"Kejayaan kami tidak dicapai dengan mudah. Sejak mengambil tugas melatih pasukan pada 2008, kami berjaya layak ke final Bawah 15 Tahun di Manchester United 2010 tapi gagal mara ke final Piala KPM B-15 selepas tewas di separuh akhir kepada Sekolah Bola Sepak Bukit Jalil.

"Malah kami juga tewas kategori B-17 di peringkat sama tapi kini anak buah saya sudah matang dan belajar daripada kesilapan ketika mengharungi pertandingan itu pada 2010 dan akhirnya mencipta kejayaan," katanya.


Pada perlawanan kelmarin, SMKTA mendahului seawal minit ke-10 menerusi tandukan penyerang Harimau Muda C, Muhammad Shafiq Ahmad tapi pelawat menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian menerusi Muhammad Azrul Zulkifli.


SMKTA memastikan mereka mendahului sebelum tamat separuh masa menerusi jaringan Muhammad Azri Zulkiflee pada minit ke-30 dan dua jaringan selepas rehat menerusi Shafiq dan Azri pada minit ke-60 dan 74 memastikan mereka dinobat juara musim ini.

"Saya berterima kasih kepada penolong, Rizal Johari yang membantu saya sejak lima tahun lalu untuk membentuk dan mendidik barisan pemain bagi meraih kemenangan yang meletakkan SMTA sebagai antara sekolah bola sepak terulung di Malaysia."

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/26


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen