Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Shahidan tumbang

Posted:

Shahidan tumbang

ZAINAL ABIDIN (tengah) yang memenangi jawatan Presiden KOM bergambar dengan barisan kepimpinan baharu kesatuan itu selepas majlis pemilihan di Bukit Jalil semalam. Turut kelihatan, Naib Presiden, Mumtaz (kiri), Timbalan Presiden, Wan Hisham (dua dari kiri) serta dua lagi Naib Presiden, Anamalai (dua dari kanan) dan Yogeswaran.


KEPIMPINAN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kini berwajah baharu. Pada pemilihan pucuk pimpinan KOM penggal 2012/2014 sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk sukan olahraga negara itu semalam menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim gagal dalam usahanya mempertahankan jawatan selaku Presiden, jawatan yang telah disandangnya sejak 2006.

Beliau tewas di tangan pencabar iaitu Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Zainal membuktikan bahawa beliau lebih layak bergelar pemimpin No. 1 KOM selepas mendapat undian tertinggi iaitu 23 undi berbanding Shahidan yang memperoleh 21 undi.

Bagaimanapun, bagi Shahidan, beliau akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh ahli-ahli majlis yang memilih 'orang baharu' bagi menerajui KOM.

"Keputusan telah dibuat dan saya terimanya dengan hati yang terbuka. Selama enam tahun bergelar Presiden KOM, saya berasa saya telah melakukan yang terbaik.

"Lagipun, perubahan telah dibuat sebelum ini dan hanya menunggu keputusan sahaja. Saya harap kepimpinan baharu ini dapat mengurangkan polemik-polemik yang sering melanda KOM sebelum ini.

"Selain itu, saya juga harap sasaran bagi memenangi sembilan pingat emas pada Sukan SEA 2013 di Myanmar dapat dicapai dengan adanya pemimpin-pemimpin baharu ini," kata Shahidan yang bergegas pulang sejurus mendapat tahu beliau tewas dalam perebutan jawatan Presiden KOM.

Pada awalnya, persaingan merebut jawatan Presiden KOM membabitkan persaingan tiga penjuru termasuk Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Bagaimanapun, Danyal telah menarik diri selepas mendakwa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KOM kali ini tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan baharu yang telah ditetapkan badan induk itu.

Situasi itu sekali gus menyaksikan pertandingan satu lawan satu membabitkan Shahidan dan Zainal.

Sementara itu, skrip yang sama turut menghiasi perebutan bagi jawatan Timbalan Presiden apabila penyandang jawatan, Datuk Karim Ibrahim tewas di tangan pencabarnya iaitu Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Karim yang didakwa sebagai punca terhadap segala masalah yang menghantui KOM sebelum ini sekadar mendapat 19 undi berbanding Wan Hisham dengan 25 undi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan berakhirlah dominasi Karim selaku pemimpin No. 2 KOM sejak menyandangnya pada 2008.

Terdahulu, Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Selangor, K. Yogeswaran telah menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden KOM.

Dalam pada itu, Naib Presiden KOM, Datuk Mumtaz Jaafar berjaya mengekalkan jawatannya itu selepas mendapat 24 undi bagi perebutan satu slot wanita menewaskan pencabarnya iaitu Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Rajemah Sheikh Ahmad dengan 21 undi.

Selain Mumtaz, Datuk R. Annamalai turut berjaya mengekalkan jawatan selaku Naib Presiden bersama-sama Presiden Persatuan Olahraga Amatur Sabah, Datuk Paiman Abdul Karim dan Yogeswaran.

Seramai 43 ahli iaitu tiga wakil daripada 15 ahli gabungan KOM hadir mengundi pada AGM kali ini yang berlangsung di Dewan Komanwel Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Karim cabar atlet

Posted:

Karim cabar atlet

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

"SAYA cabar atlet untuk hasilkan keputusan yang baik." Itu cabaran yang dilontarkan bekas Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim selepas tewas pada pemilihan puncuk pimpinan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk sukan olahraga negara itu semalam.

"Jika sebelum ini saya dianggap sebagai punca kemerosotan prestasi atlet-atlet olahraga negara menerusi jawatan saya selaku Timbalan Presiden, kini saya sudah tidak memegangnya lagi.

"Jadi, saya cabar atlet-atlet untuk menghasilkan keputusan yang baik dengan ketiadaan saya. Jangan cari alasan di atas kesilapan mereka sendiri," kata Karim.

Terdahulu, Karim gagal mempertahankan jawatannya itu apabila tewas di tangan pencabarnya iaitu Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Wan Hisham mendapat undian tertinggi iaitu sebanyak 25 undi berbanding Karim dengan 19 undi.

Karim sememangnya berdepan dengan situasi yang boleh dianggap 'kritikal' bagi mempertahankan jawatannya sebagai pemimpin kedua tertinggi dalam KOM ekoran dipalit pelbagai kontroversi.

Pada Jun dan Julai lalu, satu jawatankuasa siasatan yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri V.C George telah menjalankan siasatan ke atas Karim.

Ia berikutan tindakan sekumpulan jurulatih dan atlet olahraga negara menyerahkan petisyen setebal 23 muka surat yang bertajuk Laporan Jurulatih dan Atlet Olahraga Kebangsaan kepada Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Petisyen yang ditandatangani oleh 42 atlet dan 16 jurulatih olahraga negara itu meminta KOM menyingkirkan Karim yang didakwa sebagai dalang utama terhadap segala masalah yang menimpa KOM sebelum ini.

Ia termasuklah isu membabitkan pelari, Mohd. Yunus Lasaleh yang gagal dalam ujian anti-doping ketika memenangi pingat emas dalam acara 4x400 meter lelaki pada temasya Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia, November tahun lalu.

Laporan penuh berhubung kes siasatan tersebut telah pun diterima KOM, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Karim sendiri tetapi keputusannya masih belum didedahkan.

Mengulas mengenai kekalahannya pada pemilihan semalam, Karim menjelaskan bahawa beliau sememangnya sudah menjangkakan keputusan tersebut.

"Bagi saya, tidak ada apa yang perlu dipertikaikan. Keputusan telah dibuat dan mungkin bukan rezeki saya kali ini.

"Saya harap, pemimpin baharu yang terpilih kali ini mampu membuat perubahan dalam KOM demi masa depan sukan olahraga negara. Jika saya ada membuat salah sepanjang saya bergelar Timbalan Presiden saya minta maaf," jelas Karim.

Sebagai rekod, Karim mula menyandang jawatan Timbalan Presiden KOM pada 2008 selepas menewaskan Datuk Danyal Balagopal.

Presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim turut gagal mempertahankan jawatannya apabila tewas kepada pencabarnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad Zainal yang juga presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS) dalam pertandingan satu lawan satu.

Zainal Abidin meraih 23 undi sementara Shahidan sekadar mendapat 21 undi.

Harimau Muda kembali bangkit

Posted:

Harimau Muda kembali bangkit

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

THAMIL ARASU (tengah) tampil hebat untuk membantu kemenangan Harimau Muda pada aksi menentang Woodlands Wellington dalam saingan Liga S di Stadium Yishun kelmarin.


SKUAD Harimau Muda kembali mengaum di bumi Singapura.Malam kelmarin, anak-anak buah Ong Kim Swee kembali bangkit melakar kemenangan selesa 2-0 ke atas pasukan tercorot, Woodlands Wellington dalam aksi Liga Singapura (Liga S) 2012 di Stadium Yishun.

Ternyata, memori duka ditewaskan Home United 0-3 minggu lalu tidak lagi membelenggu skuad muda negara apabila mempamerkan persembahan bertenaga kelmarin sekali gus melonjak kedudukan ke tangga kelima liga dengan 35 mata.

Penyerang berbisa negara, A. Thamil Arasu muncul wira tuan rumah apabila mencetak kedua-dua gol dalam perlawanan tersebut.

"Pemain berjaya memberikan yang terbaik dan saya gembira dengan persembahan mereka.

"Saya harap kami mampu menamatkan saingan musim ini dengan cukup sempurna," kata Kim Swee selepas perlawanan itu.

Tampil tanpa Mohd. Fadhli Shas yang digantung perlawanan, Harimau Muda jelas bermula garang apabila Thamil bijak menyempurnakan hantaran Wan Zack Haikal untuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-68.

Thamil sekali lagi mengecewakan penjaga gol pelawat, Ahmadulhaq Che Omar apabila tenang menyempurnakan hantaran Fandi Othman dua minit sebelum perlawanan tamat.

Dengan keputusan itu, Harimau Muda kini berkongsi mata bersama Home United dan Balestier Khalsa namun beraksi kurang dua perlawanan.

Selepas ini, Harimau Muda akan melayan kunjungan Balestier Khalsa (Khamis ini) dan Gombak United (30 September) di Stadium Yishun.

Bagi aksi sepanjang Oktober pula, Harimau Muda akan membuat perhitungan dengan Hougang United di tempat lawan (20 Oktober) sebelum melayan kunjungan Geylang United empat hari kemudian.

Mereka akan menutup tirai Liga S berdepan pendahulu liga, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar pada 1 November depan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen