Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


'Harimau jatuh lagi'

Posted: 03 Oct 2012 12:36 PM PDT

Skuad senior pimpinan Rajagobal menjunam 6 anak tangga ranking FIFA

Kuala Lumpur: Kekalahan skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal kepada Vietnam 2-0 di Stadium Shah Alam, 11 September lalu turut merubah Malaysia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ranking yang dikeluarkan FIFA, semalam menunjukkan skuad negara jatuh enam anak tangga lagi, menjadikan kedudukannya kini di tempat ke-162 dunia.
Kedudukan itu adalah paling buruk sepanjang tahun ini selepas Malaysia berada ke-148 dunia pada Januari, 150 (Februari), 152 (Mac), 156 (April), 153 (Mei), 154 (Jun), 157 (Julai), 157 (Ogos) dan 156 (September).

Lebih memalukan, Malaysia kini berada di belakang negara kecil seperti Belize di ranking ke-144 dunia, Curacao (151), Barbados (152), Malta (153), Aruba (154), Dominica (156), Lesotho (158) dan Maldives (160).

Lebih baik daripada Indonesia

Mungkin kedududkan itu masih boleh melegakan Rajagobal kerana skuad negara masih berada di ranking lebih baik berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Singapura (162), Indonesia (170), Myanmar (184), Kemboja (189), Laos (193), Brunei (203) dan Timor Leste (206).
Begitupun skuad negara masih di belakang Thailand (139), Vietnam (140) dan Filipina (147).

Wajib menang dua aksi

Difahamkan untuk memperbaiki semula ranking seterusnya pada 7 November depan, skuad Harimau Malaya wajib menang pada dua aksi persahabatan antarabangsa berikutnya di tempat lawan bertemu Hong Kong (16 Oktober) dan Vietnam (3 November).

Bagaimanapun, mengikut rekod, Harimau Malaya tidak pernah menang di tempat lawan sejak kali terakhir melakukannya pada 24 Mac 2007 iaitu menewaskan Sri Lanka 4-1 di Colombo ketika kendalian Norizan Bakar.

Sama ada ranking terbaru itu menyebabkan Rajagobal terdesak mahu menggunakan lima pemain Harimau Muda - Izham Tarmizi Roslan, Fadhli Shas, Gary Steven Robbat, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Zubir Azmi walaupun khidmat mereka ditagih Ong Kim Swee untuk kejohanan jemputan B-21 Piala Thanh Nien di Gia Lai, Vietnam, ia tidak dapat dipastikan.

Yang pasti, Rajagobal akan ke Hong Kong dengan diperkuat pemain seperti Farizal Marlias, S Kunanlan, Ahmad Shakir Md Ali, Azamuddin Akil, Ahmad Fakri Saarani, Yong Kuong Yong dan Shahrizal Saad selepas pasukan mereka gagal ke separuh akhir Piala Malaysia.

'Mesyuarat Agung Luar Biasa mampu selesai kemelut'

Posted: 03 Oct 2012 12:29 PM PDT

Kuala Terengganu: Mesyuarat Agung Luar Biasa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) adalah pendekatan terbaik menyelesaikan kemelut yang melanda persatuan itu kebelakangan ini.

Perkara itu dicadangkan Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid, bagi membolehkan Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh mendapat mandat baru untuk terus memimpin persatuan.

"Ini adalah cara terbaik menghilangkan rasa tidak puas hati ramai penyokong bola sepak negeri. Melalui mesyuarat agung luar biasa, presiden PBSNT boleh mendapat mandat baru untuk terus memimpin persatuan dan ia adalah kaedah terbaik mengembalikan kepercayaan penyokong kepadanya," katanya semalam.
Beliau berkata, jika presiden enggan memanggil mesyuarat agung luar biasa, inisiatif itu boleh diambil ahli gabungan PBSNT supaya kemelut bola sepak ini dapat diselesaikan segera demi nama baik Terengganu yang tercalar sekarang ini.

Kemerosotan persembahan pasukan Penyu dalam saingan Piala FA, Liga Super dan juga Piala Malaysia mencetus kemarahan peminat sehingga ada kumpulan bertindak liar menyerang kediaman Presiden PBSNT.

Pemecatan ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris, Mei lalu selepas Terengganu kecundang di tangan Sime Darby di separuh akhir juga menempelak Che Mat walaupun Peter Butler menjadi ganti.

Butler yang tidak mampu mengemudi Terengganu ke pusingan suku akhir Piala Malaysia pula ditamatkan khidmatnya walaupun kontrak jurulatih berbangsa Inggeris itu masih berbaki 15 bulan lagi.
Yang terbaru, kempen ABC (Asal Bukan Che Mat) melalui laman Facebook dan penampalan poster gambar Che Mat yang dipangkah dengan dakwat merah terus berjalan selepas perhimpunan di Batu Buruk yang menyaksikan lebih 500 peminat meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepemimpinannya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan