Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


MSN, MOM tak sebulu

Posted: 03 Oct 2012 10:22 AM PDT

SUKAN tanah air kini digemparkan dengan isu panas membabitkan pertelingkahan dua badan induk sukan negara - Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

MSN memfailkan notis tuntutan terhadap Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, minggu lalu, atas pertuduhan mempersoalkan kredibiliti dan peranan MSN dalam pembangunan sukan negara.


Nyata tindakan Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong (gambar kecil) itu disifatkan sebagai sesuatu di luar jangkaan kerana Kok Chi sendiri tidak menyangka hubungan baik yang selama ini terjalin menemui masalah yang langsung tidak pernah diduga sebelum ini.

Kok Chi meluahkan rasa terkejutnya selepas lebih daripada 20 tahun bekerjasama dengan ramai Ketua Pengarah MSN, akhirnya beliau berdepan dengan situasi seperti itu hanya kerana meluahkan pandangan.


Notis itu meminta penjelasan atas tindakan Kok Chi mengkritik dan mempersoal kredibiliti MSN berhubung pemilihan calon pembawa Jalur Gemilang di Sukan Olimpik 2012 London, Ogos lalu. Ketika MSN memilih ratu renang negara, Pandelela Rinong sebagai calon, MOM tampil dengan mengatakan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang ketika itu bakal beraksi di Olimpik terakhir, atlet paling layak menggalas tugas itu.


Pandelela akhirnya dipilih sebagai pembawa bendera kontinjen negara di upacara pembukaan di Olympic Park itu.

"Saya terkejut dan kecewa. Inilah pertama kali saya menerima surat seperti ini kerana sebelum ini ia tidak pernah berlaku dengan mana-mana Ketua Pengarah yang lain. Saya tidak menyangka hubungan baik selama ini dengan MSN akan berkesudahan seperti ini.


"Saya percaya sistem kehakiman negara ini dan saya tetap mempertahankan bahawa saya tidak memfitnah sesiapa. Jadi saya tidak perlu dianiaya seperti ini," kata Kok Chi yang menerima surat itu selepas pulang dari luar negara, pada malam Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


Joo Bong kembali

Posted: 03 Oct 2012 10:17 AM PDT

PARK Joo Bong makin hampir kembali membantu menaikkan semula prestasi badminton negara di persada dunia selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengadakan pertemuan khas bertujuan mendapatkan persetujuan Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Delegasi BAM diketuai Presiden Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh, Setiausaha Kehormat Ng Chin Chai, Datuk Dr Mohamed Al-Amin Abd Majid (Timbalan Presiden), Datuk Lim Teong Kiat (Bendahari) serta Kenny Goh (Pengurus Besar) bertemu Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong dan pertemuan itu dianggap mencapai kata sepakat antara kedua-dua pihak.


"Kami bertemu MSN untuk berbincang mengenai calon Pengarah Kejurulatihan yang akan diisi bagi posisi Pengurus Projek. Lazimnya bagi jawatan tinggi, belanja juga besar dan kami perlukan bantuan mereka," kata Nadzmi di Pejabat Zolkples semalam tapi enggan mendedahkan nama sebelum mencapai kata sepakat dengan calon terbabit.

"Kita ada seorang calon tapi biarlah kami umumkan namanya selepas semuanya selesai." Ketika ditanya mengenai bekas ketua jurulatih kebangsaan 2000-2003 iaitu Joo bong, Nadzmi berkata: "Pihak kami ada merisik beliau dan maklum balasnya baik, beliau berminat.


"Untuk mendapatkan seorang calon yang baik dan diburu pihak lain di pasaran, kita perlu cepat bertindak kerana jika lambat, kita akan terlepas, itu sebabnya kami minta persetujuan MSN." Nadzmi mengaku calon yang BAM kemukakan kepada MSN mempunyai latar belakang teknikal yang amat bagus.


"Kami akan mengadakan satu lagi perbincangan dengan calon terbabit biarpun beliau menyatakan minat dan suka berkhidmat dengan BAM.

"Hal ini akan diuruskan secepat mungkin kerana kami mahu gunakan khidmatnya awal tahun depan walaupun kontrak beliau dengan negara yang beliau berkhidmat kini belum berakhir," katanya.


Jika semua urusan berjalan lancar, Joo Bong dijangka mengikat kontrak dengan BAM selama dua atau tiga tahun dengan pilihan kontrak lanjutan, selaras dengan kitaran Olimpik yang akan menjadi penilai prestasi beliau.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan