Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Gol semangat

Posted:

Gol semangat

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menarik nafas lega apabila berjaya mengikat Lions XII dengan keputusan seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Jalan Besar, Singapura malam tadi.

Jaringan penyerang import, Marlon Alex James pada minit ke-52 boleh dianggap 'gol semangat' buat ATM sebelum melayan kunjungan Lions XII pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 11 Oktober ini.

Pada aksi malam tadi, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan secara menyerang ke kubu lawan masing-masing.

ATM terlebih dulu menghukum tuan rumah apabila Marlon bijak menggunakan kelebihan fizikalnya untuk melepasi tonggak pertahanan Lions XII, Baihakki Khaizan sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol, Mohamad Izwan Mahbud.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Lions XII memperoleh gol penyamaan menerusi Muhammad Safuwan Baharuddin pada minit ke-80.

Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma sebelum Safuwan menanduk masuk bola ke gawang ATM yang dikemudi penjaga gol, Farizal Harun.

Biarpun gagal meraih kemenangan, pujian harus diberikan kepada ATM yang tampil buat kali pertama di atas padang rumput tiruan.

Pada masa yang sama, pengendali ATM, B. Sathianathan juga tidak dapat menurunkan barisan terbaik selepas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak menjalani penggantungan satu perlawanan.

Bagaimanapun, Zaquan akan kembali memperkuat cabaran ATM bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua nanti.

Sasaran baharu Azizulhasni

Posted:

Sasaran baharu Azizulhasni


AZIZULHASNI kini mahu memberi tumpuan bagi menghadapi dua kejohanan utama pada awal tahun depan.


SELEPAS gagal menyumbang pingat pada Sukan Olimpik 2012 di London, pelumba sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang kini mahu memberi persiapan bagi menghadapi Kejohanan Trek Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Minsk, Belarus.

"Sebelum menghadapi Kejohanan Trek Dunia UCI di Belarus, saya akan sertai Piala Dunia di Mexico.

"Bagaimanapun, saya tidak letak sasaran tinggi pada Piala Dunia nanti," kata Azizulhasni pada sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang peraduan Olympic Games Spend & Win anjuran Visa di Menara Maxis, Kuala Lumpur semalam.

Piala Dunia dijadual berlangsung pada 17 hingga 19 Januari 2013, manakala Kejohanan Trek Dunia UCI (20 hingga 24 Februari 2013).

"Selepas Olimpik, saya ada dua tiga kali tengok balik video (perlumbaan akhir keirin), saya rasa sedih. Kalau ikutkan hati, saya memang tidak mahu tengok balik video itu kerana saya memang ada peluang untuk menang tetapi tidak ada rezeki walaupun telah cuba buat yang terbaik.

"Saya sudah memulakan latihan di Ipoh selepas Hari Raya. Latihan saya banyak dijalankan di jalan raya dan juga gimnasium. Setakat ini masih belum buat latihan di velodrom," katanya.

Selain kedua-dua kejohanan berprestij itu, fokus Azizulhasni juga tertumpu kepada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, masing-masing berlangsung pada 2014.

"Saya teruja untuk kembali bersaing dengan jaguh dunia, Chris Hoy yang dijangka beraksi pada Sukan Komanwel. Ia sebahagian daripada motivasi untuk saya. Saya berazam untuk cuba kalahkan dia," katanya.

Menurut Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman, dia akan kembali menyambung latihan di Melbourne, Australia pada Disember depan.

"Sekembali ke sana, saya akan sertai karnival berbasikal di Tasmania pada penghujung Disember. Saya sertai kejohanan itu sebagai sebahagian daripada program latihan saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azizulhasni menyambut baik pengumuman Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung peruntukan untuk persediaan atlet bagi menghadapi Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 dan pembinaan velodrom tertutup di Seremban, Negeri Sembilan.

"Bila Perdana Menteri umum belanjawan untuk Olimpik Rio dan velodrom tertutup itu, saya memang teruja sangat dan terus saya tweet ucap terima kasih kepada PM.

"Saya memang gembira sangat, saya memang tunggu dari dulu akan sebuah velodrom tertutup. Dulu saya pernah suarakan perkara ini di laman media sosial dan mana-mana wawancara dengan media sebelum ini.

"Ia adalah sesuatu yang bagus untuk arena berbasikal di negara ini," katanya.

Gergasi Merah tekad benam ego Kelantan

Posted:

Gergasi Merah tekad benam ego Kelantan

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


SKUAD Selangor sudah bersedia mencalar reputasi Kelantan
di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.


STADIUM Sultan Muhammad IV di Kota Bahru dianggap gelanggang keramat buat Kelantan.

Ini kerana stadium yang mempunyai kapasiti 30,000 tempat duduk itu sentiasa menjadi igauan kepada pasukan pelawat.

Sebagai rekod, kali terakhir Kelantan tumbang di gelanggang sendiri ialah ketika tewas 1-2 kepada T-Team pada aksi Liga Super, musim lalu.

Malam ini, Kelantan akan melayan kunjungan Selangor bagi menghadapi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia.

Atas kertas, Kelantan masih lagi dilihat memiliki kelebihan berdasarkan kepada rekod cemerlang skuad The Red Warriors itu apabila beraksi di gelanggang sendiri.

Kehadiran ribuan penyokong fanatik Kelantan pastinya menghadirkan rasa gerun buat Sang Gergasi Merah yang berazam mencalarkan reputasi cemerlang The Red Warriors.

Menyedari anak-anak buahnya bakal menghadapi ranjau berliku malam ini, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tidak mahu Gergasi Merah beraksi dalam keadaan tertekan sehingga mengundang padah buat mereka.

"Kami mahu bermain secara enjoy. Kita semua sudah tahu bahawa Kelantan cukup kebal beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV tetapi kami sudah bersiap sedia menghadapi setiap cabaran yang mendatang.

"Saya tidak mahu mempedulikan apa yang berlaku di luar padang kerana fokus kami adalah 11 pemain sahaja.

"Ada 180 minit untuk perlawanan ini (separuh akhir). Jadi kami mahu peluang 90 minit pertama dengan sebaik mungkin untuk merobek gawang Kelantan.

"Ia amat penting sebagai bekalan terbaik sebelum kami beraksi di Stadium Shah Alam pada 12 Oktober ini (bagi aksi separuh akhir kedua).

"Paling mustahak, saya mahu pemain-pemain mengekalkan prestasi terbaik mereka selepas beraksi cemerlang sepanjang kempen Piala Malaysia sebelum ini," kata Irfan kepada Kosmo! semalam.

Dalam masa yang sama, Irfan menegaskan bahawa barisan pemainnya terutama benteng pertahanan harus memberikan tumpuan dan lebih berdisiplin bagi mengekang asakan Kelantan.

"Ketenangan paling mustahak tetapi kami juga tidak boleh terlalu santai.

"Sikap agresif itu harus ada dan seperti yang saya katakan tadi, kami sudah bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi Kelantan," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen