Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Belum selamat

Posted:

Belum selamat

INDRA (bawah) mengasak pemain Selangor, Rames Dayoub pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.


KELANTAN belum boleh menarik nafas lega sekalipun melakar kemenangan 1-0 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Kelantan terlebih dulu dikejutkan dengan beberapa siri serangan awal pasukan pelawat menerusi gandingan, Mohd. Amri Yahyah dan Basko Balaban.

Tersentak dengan asakan tersebut, Kelantan memperkemas serangan dan memperoleh dua peluang terbaik pada minit keenam dan ketujuh.

Bagaimanapun, percubaan Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azuan Roya berjaya ditepis oleh penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

The Red Warriors terus 'menekan' benteng pertahanan Gergasi Merah dan hampir berjaya memecahkan kebuntuan gol menerusi Mohammad Ghaddar pada minit ke-15, namun penyerang import itu masih gagal merobek gawang lawan.

Indra Putra Mahyuddin turut hampir meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-41,

namun rembatan kencangnya berjaya ditepis Norazlan.

Bersambung babak kedua, Kelantan dilihat lebih banyak menguasai perlawanan namun sekali lagi kecewa dengan ketumpulan jentera serangan mereka,

Usaha tuan rumah untuk mendapatkan gol akhirnya berhasil pada minit ke-62 menerusi Nor Farhan Mohammad yang bijak memperdayakan benteng pertahanan pelawat.

Selangor memperoleh peluang terbaik menyamakan kedudukan pada minit ke-77, namun sepakan percuma kapten, Safiq Rahim sedikit tersasar.

Dengan keputusan itu, Kelantan dijangka berdepan tugas sukar apabila bertandang ke Stadium Shah Alam, Jumaat ini bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua.

Awas serangan kilat

Posted:

Awas serangan kilat

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


THAMIL ARASU (kiri) meledak gol buat Harimau Muda ketika menentang Balestier Khalsa pada 27 September lalu.


ADA sesuatu yang mengganggu fikiran pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee menjelang pertemuan menentang Balestier Khalsa dalam aksi Liga Singapura (Liga S) di Stadium Yishun hari ini.Ia ekoran kekebalan benteng pertahanan skuad kendalian Darren Stewart itu yang dilihat cukup ampuh apabila sekadar bolos 17 gol dalam saingan musim ini.

Justeru, Kim Swee menuntut anak-anak buahnya sentiasa berwaspada dengan serangan kilat Balestier jika enggan 'berputih mata'.

"Mereka hanya bolos 17 gol, jadi saya percaya Balestier pasti mengamalkan corak bertahan. Jika kami terlalu asyik menyerang, tidak mustahil kami akan dihukum serangan pantas Balestier.

"Jadi, saya harap pemain dapat bertindak matang dalam perlawanan itu sekali gus membawa pulang tiga mata," kata Kim Swee.

Untuk rekod, aksi Harimau Muda-Balestier sepatutnya berlangsung pada 27 September lalu, namun perlawanan itu terpaksa ditangguhkan gara-gara faktor cuaca.

Harimau Muda ketika itu sedang mendahului 1-0 hasil jaringan A. Thamil Arasu.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam pusingan pertama Liga S sebelum ini juga tidak memihak Harimau Muda apabila kecundang 0-2 di Stadium Toa Payoh, April lalu.

"Perkara yang dilepas tak perlu dikenang, saya percaya pemain-pemain saya sudah bersedia membuka 'buku' baharu dalam perlawanan itu nanti.

"Ia cukup penting buat kami yang memerlukan sekurang-kurangnya dua lagi kemenangan bagi menamatkan saingan di tangga kelima liga musim ini," kata Kim Swee.

Selepas menentang Balestier Khalsa, Harimau Muda yang kini mengutip 35 mata bakal membuat perhitungan dengan Hougang United di tempat lawan (20 Oktober) sebelum melayan kunjungan Geylang United empat hari selepas itu.

Mereka akan menutup tirai Liga S berdepan pendahulu liga, Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar pada 1 November depan.

ATM ceria bawa pulang satu gol

Posted:

ATM ceria bawa pulang satu gol

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

MARLON (kanan) bersaing dengan pertahanan Lions XII, Baihakki Khaizan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin.


PENGENDALI Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan ternyata berpuas hati dengan kejayaan mengikat Lions XII 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Jalan Besar, Singapura malam kelmarin.

Satnianathan menganggap ATM telah mempamerkan persembahan cemerlang meskipun mengakui barisan pemainnya mengalami kesukaran beraksi di atas padang rumput tiruan.

ATM membuka tirai jaringan menerusi penyerang import, Marlon Alex James pada minit ke-52 sebelum Muhammad Safuwan meledak gol penyamaan buat Lions XII sepuluh minit sebelum perlawanan berakhir.

"Mana-mana pasukan di dalam dunia ini tidak akan mampu beraksi dengan baik sekiranya hanya diberikan peluang sekali untuk mencuba (padang rumput tiruan).

"Tetapi saya sangat kagum dengan semangat pemain-pemain saya sehingga berjaya mendapat pulang satu gol di tempat lawan.

"Itulah paling mustahak dan pada saya, kami sudah berjaya pada peringkat separuh akhir pertama," kata Sathianathan kepada Kosmo! Ahad semalam.

Sathianathan memberitahu, pasukannya kini berada di landasan yang terbaik dalam usaha untuk melayakkan diri ke pentas final Piala Malaysia.

Bagaimanapun, Sathianathan enggan anak-anak buahnya terlalu selesa dengan keputusan itu sambil menyifatkan tugas mereka hanya akan selesai di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Khamis ini.

Katanya, kepulangan Zaquan Adha Abdul Radzak selepas menjalani penggantungan satu perlawanan bakal memperkuatkan cabaran ATM bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua itu nanti.

"Peluang kami cerah (untuk mara ke final). Satu gol di tempat lawan sangat penting bagi kami.

"Namun, saya tidak mahu mereka alpa atau mendabik dada di atas kejayaan itu kerana kami masih memiliki 90 minit lagi untuk merealisasikan hasrat kami untuk melangkah ke final.

"Jadi sekali lagi saya mahu para pemain ATM memberikan tumpuan 100 peratus pada aksi separuh akhir kedua nanti," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen