Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Peguam KAFA jadi penentu

Posted: 31 Oct 2012 06:03 PM PDT

Ranjau Mat Yo masih berliku sebelum beralih angin ke Johor

Kota Bharu: Perjalanan penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha, yang dikatakan berminat untuk menyarung jersi Johor pada Liga Malaysia (Liga M) musim depan masih jauh.

Ini kerana pemain itu dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) perlu menunggu sehingga Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang mula berlembut mengkaji terlebih dahulu terma perjanjian sama ada Mat Yo boleh menebus baki kontraknya atau tidak.

indakan itu diambil kerana Mat Yo masih mempunyai kontrak dengan Kelantan dan kontrak itu cuma akan tamat akhir tahun depan," - Rosmadi Ismail. Naib Presiden KAFA


Naib Presiden KAFA, Rosmadi Ismail, berkata pihaknya sudah menyerahkan tugas meneliti kontrak pemain itu dengan Kelantan kepada peguam persatuan.

"Langkah itu diambil bagi memastikan tidak wujud pelanggaran syarat dan terma perjanjian ketika pemain terbabit menebus balik kontraknya," katanya semalam.

Beliau mengulas laporan BH Sukan semalam mengenai PBNJ akan menebus baki kontrak penyerang The Red Warriors itu dengan KAFA bagi memastikan pemain berkenaan dapat beraksi bersama Harimau Selatan musim depan.

Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kanan), berkata PBNJ sedia membayar baki kontrak setahun pemain itu dan tidak akan berputus asa mendapatkan khidmatnya walaupun KAFA enggan melepaskan Pemain Terbaik Final Piala Malaysia itu.

Rosmadi mengakui sebelum ini KAFA menolak permohonan yang dikemukakan PBNJ untuk mendapatkan khidmat pemain itu.

"Tindakan itu diambil kerana Mat Yo masih mempunyai kontrak dengan Kelantan dan kontrak itu cuma akan tamat akhir tahun depan," katanya yang menafikan ia ada kaitan dengan dakwaan KAFA menuntut Johor membayar lebih daripada RM1 juta bagi menebus kontrak pemain berkenaan.

"Oleh kerana PBNJ masih mahu mendapatkan khidmat pemain itu, kami sedia berunding lagi. Bagaimanapun, kami hanya akan melepaskan pemenang anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai 2012 itu kepada Johor jika ada klausa dalam perjanjian yang membenarkan baki kontrak setahun pemain itu boleh ditebus." Beliau berkata, adalah merugikan Red Warriors jika pemain yang sudah tawar hati itu terus dikekalkan kerana ia boleh menjejaskan prestasinya dan pasukan.

FAM tunggu laporan kes Owona

Posted: 31 Oct 2012 12:40 PM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang menunggu laporan mengenai tindakan seorang pemain import, Jean-Emmanuel Effa Owona yang mengikat kontrak baru bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) meskipun masih terikat dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkata tindakan itu boleh diibaratkan sebagai satu masalah etika yang dalam masa sama mengucar-kacirkan sukan bola sepak tempatan.

"Soal mendaftar atau memberi imbuhan ini memang boleh, dibenarkan... tapi dengan persetujuan kedua-dua pihak. Saya rasa lebih manis dan elok kalau patuh pada perjanjian asal, itu cara terbaik.

"Saya harap FAM beri panduan yang baik dalam hal ini... mungkin ada sebab tertentu atau tidak ada lagi keserasian di majikan lama, ada sebabnya tapi seelok-eloknya, hormati kontrak dan pasukan... jangan belakangkan majikan yang sudah berikan imbuhan mencukupi," katanya, semalam.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pemain atau pegawainya yang didapati melanggar kontrak.

PBNS ada kuasa
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, berkata FAM tidak boleh masuk campur dalam soal pengurusan pasukan selagi tidak menerima laporan daripada pemain atau persatuan mengenai perlanggaran kontrak.

"Tindakan pemain menandatangani kontrak baru dengan pasukan lain ketika kontrak lamanya belum tamat memang tidak beretika, tetapi ini adalah urusan antara pengurusan kedua pasukan terbabit dan pemain berkenaan.

"FAM hanya akan masuk campur sekiranya menerima laporan rasmi daripada pihak terbabit," katanya semalam.

Azzuddin turut menasihatkan PBNS meminta penjelasan dari pemain itu dan PBSNT, kemudian jika berlaku salah laku, mereka boleh mengambil tindakan mengikut apa yang diperuntukkan dalam kontrak," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan