Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Harimau sakit!

Posted: 20 Nov 2012 10:25 AM PST

APA lagi alasan ketua jurulatih Datuk K Rajagobal kali ini selepas menyaksikan Harimau Malaya seperti semakin 'tenat' apabila pasukan juara Asia Tenggara itu sekadar seri 1-1 menentang Bangladesh dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Skrip sama diulangi ketika seri dengan Hong Kong minggu lalu dengan kesilapan pemain pertahanan di minit akhir meragut peluang Malaysia mendapat kemenangan moral menjelang sepak mula Piala Suzuki AFF Ahad ini.


Selepas percubaan pertama penyerang Norshahrul Idlan Talaha di depan gol pada minit kedua tersasar, permainan kemudian ternyata hambar.

Kesilapan sama seperti mudah kehilangan bola dan gerakan kurang tersusun masih lagi membelenggu pemain negara sedangkan mereka hanya berdepan Bangladesh yang lebih terkenal dengan sukan kriket.


Tiada percubaan tepat ke arah gol dalam tempoh 24 minit permainan sehinggalah tandukan Khyril Muhymeen Zambri yang menyambut sepakan sudut kapten Safiq Rahim menggegar gawang pasukan pelawat.


Ia jaringan pertama pemain Kedah itu di peringkat antarabangsa selepas meledak satu gol ketika membantu Malaysia menewaskan Nepal 4-0 dalam kejohanan Pestabola Merdeka Oktober 2008.

Bangladesh, pasukan di ranking ke-171 dunia berbanding Malaysia, 163, hanya sekali menguji Farizal Marlias menerusi sepakan Waly Faisal sebelum tamat babak pertama.


Beberapa pertukaran dilakukan Rajagobal pada separuh masa kedua namun skuad negara seakan tiada perubahan apabila bergelut untuk menguasai bola.

Biarpun Bangladesh yang dikendalikan Saiful Bari Titu kehilangan Pranotosh Kumer Das kerana menerima kad merah pada minit ke-77, usaha keras mereka untuk mencipta gol penyamaan berhasil enam minit kemudian.


Kesilapan Irwan Fadzli Idrus menjatuhkan Mithun Chowdhry mendorong pengadil Nagor Amir Noor Mohamed tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.


Jahid Hasan Ameli menceriakan lebih 1,000 penyokong Bangladesh apabila tenang menyempurnakan sepakan itu menewaskan Farizal di minit ke-83.


Tiada lagi perlawanan ujian buat Harimau Malaya selepas ini yang akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki Ahad ini menentang Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


Yu Yang nafi bersara

Posted: 20 Nov 2012 10:20 AM PST

HONG KONG: Bintang badminton wanita China, Yu Yang menafikan ingin bersara selepas dibatalkan penyertaan pada temasya Sukan Olimpik London sebaliknya mahu memberi tumpuan penuh terhadap permainannya selepas merangkul gelaran pertama sejak kembali beraksi.

Yu Yang yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik serta rakan gandingannya, Wang Xiaoli adalah antara lapan pemain beregu yang dibatalkan penyertaan di London selepas sengaja kalah bagi membolehkan mereka mendapat undian lebih selesa pada pusingan suku akhir.


Yu Yang, 26, kemudian mencuri tumpuan apabila bergandingan semula dengan Wang untuk memenangi Terbuka China minggu lalu sejak mengumumkan untuk bersara sehari selepas penyertaannya dibatalkan Ogos lalu.

"Ini kali terakhir saya beraksi. Selamat tinggal Persekutuan Badminton Dunia (WBF) selamat tinggal sukan badminton yang saya cintai," katanya di laman blog peribadi.


"Selepas bekerja keras dan cuba mengatasi masalah kecederaan, penyertaan kami dibatalkan. Anda memusnahkan impian kami." Bagaimanapun, Yu Yang yang juga akan beraksi bersama Xiaoli pada Terbuka Hong Kong minggu ini, mendakwa tidak pernah memutuskan untuk bersara.


"Saya tidak pernah kata mahu bersara. Orang lain yang berkata begitu, bukan keluar dari mulut saya.

"Hukuman itu amat mengejutkan kerana tidak pernah berlaku dalam sukan badminton. Tapi keputusan itu dibuat WBF dan tiga lagi beregu daripada dua negara turut menerima hukuman sama.


"Kami tidak dapat melakukan apa-apa selain menerimanya saja. "Ada masanya kami akan berdepan situasi gembira dan sebaliknya dalam hidup ini dan apa yang boleh kami lakukan ialah cuba mengawal perasaan ketika berdepan situasi seperti itu. Kini saya mahu beraksi semula." Ahad lalu, Yu Yang dan Xiaoli menewaskan pilihan keenam dari Jepun, Miyuki Maeda dan Satoko Suetsuna di Shanghai untuk muncul juara Terbuka China. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen