Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Safee tak sangka

Posted:

Safee tak sangka

Safee tak sangka

Daripada WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my


SAFEE bangga dengan gelaran sebagai penjaring terbanyak kejohanan.


JAKARTA – Penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali mengakui yang dia tidak menyangka akan membawa pulang trofi selaku penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010.

Safee, 26, gagal menjaringkan sebarang gol ketika aksi peringkat kumpulan di sini dari 1 hingga 7 Disember lalu.

Namun, penyerang Selangor kelahiran Kajang itu meledak dua gol ketika separuh akhir pertama menewaskan Vietnam 2-0 dan dua gol ketika final pertama menewaskan Indonesia 3-0 di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Pada final kedua di sini malam tadi, Safee memastikan gelaran penjaring terbanyak menjadi miliknya apabila menjaringkan satu gol biarpun Malaysia tewas 1-2.

"Sepanjang sebulan kejohanan ini, saya sentiasa berusaha keras untuk meningkatkan prestasi.

"Apa pun, ini semua terhasil menerusi usaha dan kerjasama sepasukan yang telah membantu saya menjaringkan lima gol sepanjang kejohanan ini," kata Safee pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Safee kini berstatus peledak paling berbisa di Asia Tenggara mengetepikan penyerang Indonesia, Cristian Gonzales yang sekadar mengumpul tiga gol di tempat kedua senarai penjaring terbanyak.

Bagi anugerah pemain paling bernilai (MVP) untuk kejohanan kali ini, ia menjadi milik kapten Indonesia, Firman Utina biarpun dia gagal menyempurnakan sepakan penalti malam tadi.

Firman membawa pulang wang tunai berjumlah AS$10,000 (RM30,951).

Sementara itu, selaku juara, Malaysia berjaya meraih wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM309,510) manakala Indonesia yang menjadi naib juara menerima habuan AS$50,000 (RM154,755).

Sepanjang lapan edisi kejohanan, hanya empat pasukan pernah bergelar juara iaitu Thailand, Singapura, Vietnam dan terbaru Malaysia.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Wan Jamak puji skuad terbaik

Posted:

Wan Jamak puji skuad terbaik

Wan Jamak puji skuad terbaik

Oleh SYED AHMAD ZULKARNAIN SYED ALI
zulkarnain.ali@kosmo.com.my.

Menurut Wan Jamak, ini merupakan antara skuad kebangsaan terbaik yang pernah dilahirkan dan beliau yakin skuad kali ini mampu menghadiahkan lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Pada pertemuan tersebut, para pemain Malaysia beraksi dengan baik sebagai satu pasukan sehingga dapat menyekat kemaraan pemain Indonesia daripada menjaringkan lebih banyak gol.

"Dalam perlawanan ini kita melihat pemain lawan menyerang bertali arus tetapi pertahanan kita kental sebagai satu unit sehingga menyukarkan lawan menjaringkan gol.

"Bagi saya, penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat adalah pemain terbaik pada perlawanan itu kerana menyelamatkan beberapa cubaan bahaya termasuk sepakan penalti," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Wan Jamak merupakan jurulatih yang pernah membawa skuad Malaysia melangkah ke perlawanan akhir kejohanan itu pada tahun 1996, namun mereka tewas kepada Thailand.

Ujarnya lagi, jaringan cantik daripada penyerang sensasi negara, Mohd. Shafee Mohd. Sali telah menaikkan semangat para pemain negara kerana Malaysia ketika itu jarang menguji pertahanan lawan.

"Jaringan itu juga menyebabkan para pemain Indonesia seolah-olah putus harapan kerana sedar mereka perlu membolosi kubu skuad negara sebanyak lima kali.

"Keampuhan benteng negara yang dibantu kecemerlangan Khairul merupakan faktor utama kemenangan Malaysia," ujarnya.

Mengulas mengenai perbandingan skuad negara yang dibimbing beliau dahulu berbanding skuad tersebut, Wan Jamak berkata, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal mempunyai banyak pilihan pemain yang berkualiti.

"Rajagopal juga diberi masa yang lama membimbing pasukan kebangsaan, sekali gus membuatkan beliau dapat memahami setiap pemain sekali gus dapat membentuk skuad yang mantap.

"Beliau juga mempunyai ramai pemain muda yang berpotensi dan ini memudahkan beliau mengatur strategi atau mengisi kekosongan sekiranya ada pemain yang tidak dapat beraksi," jelasnya.

Tambahnya lagi, skuad negara mempunyai masa depan yang cerah kerana ia dibarisi pemain muda tetapi sudah menunjukkan potensi menjadi sebuah pasukan yang boleh digeruni.

"Saya percaya jika kita berusaha lebih keras lagi tidak mustahil pasukan negara mampu meraih lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Tahniah kepada Rajagobal dan semua pemain serta pegawai skuad kebangsaan negara kerana berjaya mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak Malaysia," ujar Wan Jamak.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen