Utusan Online - Sukan |
Posted: Chong Wei mahu ikut MisbunOleh AIZAWATI AHMAD KUALA LUMPUR - Jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei akan mengikut jejak langkah jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek yang bertindak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kelmarin. Chong Wei ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam, berkata, tindakannya berbuat demikian kerana dia mahu kekal dilatih oleh Misbun, selain tiada persefahaman antara dirinya dan juga BAM. "Saya akan ikut jurulatih, kalau dia kekal bersama BAM, maka saya akan ke kekal di BAM, tetapi jika dia keluar saya pun akan ikut jejak langkahnya," katanya yang dibentuk Misbun sejak usianya masih remaja. Laporan sebuah akhbar kelmarin memetik Pengurus Besar BAM, Kenny Goh mengesahkan Misbun meletakkan jawatan menerusi satu surat bertarikh 31 Disember 2010 yang dihantar melalui e-mel ke pejabat BAM. Goh bagaimanapun, tidak menyatakan sebab peletakan jawatan tersebut. Pemain berusia 28 tahun itu, turut mendedahkan masalah dengan pengurusan BAM sebagai punca kemelut tersebut berlaku. Katanya, BAM hanya tahu mencari silap pemain, jika mereka tewas pada mana-mana pertandingan yang disertai, tetapi sekiranya kejayaan yang diraih mereka tidak pula menghargainya. "Semua masalah ini melibatkan pengurusan BAM, mereka hanya tahu minta laporan kalau kita kalah dan jika kita menang, mereka tak minta laporan pun. Tidak pula mereka tanya bagaimana saya boleh menang," ujarnya. Menurut Chong Wei, dia ada menghubungi jurulatihnya itu bagi meminta penjelasan mengenai peletakan jawatan tersebut. "Saya ada hubungi jurulatih saya, dia minta semua orang hormati keputusan dia. Keputusan dia memang sudah muktamad. Saya pula akan ikut ke mana sahaja dia pergi. "Saya sedih dengan keadaan ini, Misbun adalah jurulatih saya. Dia telah naikkan nama saya, daripada tiada apa-apa sehinggalah saya berada di tahap sekarang. Tak mungkin saya tinggalkan dia bersendirian," tegasnya. Chong Wei berkata, hari ini dia akan berangkat ke Taiwan tanpa ditemani Misbun bagi menghadapi Terbuka Taiwan dan hanya akan dibantu oleh seorang penolong jurulatih. Walau apa juga keputusan selepas ini, jelas Chong Wei, dia akan menunggu kepulangan Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh yang kini berada di luar negara untuk berbincang mengenai kemelut tersebut. "Saya harap persiapan bagi menghadapi Terbuka Malaysia tidak terjejas dan masalah ini dapat diselesaikan segera, bukan mudah tukar jurulatih, saya telah bersama dengan Misbun terlalu lama," katanya. Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Ng Chin Chai ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyerahkan sepenuhnya kepada presiden yang kini berada di luar negara untuk memutuskan mengenai isu tersebut. "Memang kita ada terima surat peletakan jawatan oleh Misbun dan kita juga telah edarkan kepada semua Ahli Jawatankuasa sebagai makluman," katanya. Chin Chai yang enggan mengulas mengenai punca peletakan jawatan itu, memberitahu, Nadzmi hanya akan kembali ke tanah air, esok. |
Liga M dapat tajaan lumayan RM220 juta Posted: Liga M dapat tajaan lumayan RM220 jutaPETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapat suntikan penajaan baru empat tahun yang lumayan bagi Liga Malaysia mulai musim ini yang berjumlah RM220 juta, apabila melantik Astro Media sebagai rakan media sekali gus ejen pemasarannya. Penajaan itu meliputi hak penyiaran yang bernilai RM30 juta setiap tahun, manakala RM100 juta lagi bakal dilaburkan syarikat TV satelit berbayar itu bagi kegiatan promosi bola sepak dan luar gelanggang, tanpa menghalang kerjasama dengan rangkaian TV lain yang ditonton secara percuma. Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berkata: "Astro merupakan salah satu daripada bakal penaja yang membida dan kami putuskan untuk memilih mereka sebagai rakan kongsi dan rakan media dengan memberikan hak tertentu perlawanan Liga M termasuk hak penyiaran." Namun katanya, "tidak bermakna Astro Media akan menjadi penaja kejohanan tetapi mana-mana syarikat yang mahu membuat urusan penajaan, boleh berunding dengannya yang turut menjalankan pemasaran Liga M dengan Malaysia Super League (MSL). "Kedudukan RTM (sebelum ini penyiar rasmi liga) tidak akan terjejas malah semua saluran TV lain termasuk yang percuma malah media baru seperti TV internet boleh bekerjasama dengan Astro dan RTM bebas untuk berunding mengenainya melalui Astro Media. "Selain itu kami akan tubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang memantau kerjasama ini kerana keuntungan lebih RM30 juta bakal dikongsi bersama FAM dan Astro Media," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa MSL selepas mesyuarat Exco FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. Telekom Malaysia (TM) sebelum ini menjadi penaja Liga M dengan sumbangan kira-kira RM9 juta setahun kepada FAM sepanjang dua penggal penajaan dari 2002 hingga 2010 yang dijadualkan berakhir pada 26 Januari ini. Annuar juga menjelaskan bahawa Astro Media mempunyai keupayaan dan kepakaran dalam membantu FAM dari segi mengukuhkan kedudukan kewangannya selain membantunya melaksanakan usaha pembaharuan terhadap Liga M dalam tempoh empat tahun. "Penajaan ini cuma berkaitan Liga M iaitu Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Presiden tetapi Astro Media cuma diberikan hak rakan media bagi kegiatan pasukan kebangsaan, pembangunan belia dan wanita mahupun kejohanan lain yang dicipta FAM," katanya. Katanya, hak penyiaran Astro juga bukan bererti hanya stesen TV satelit itu yang boleh menyiarkan perlawanan Liga M, kerana FAM tetap akan cuba menggunakan pendekatan di Eropah, yang turut membenarkan stesen TV lain menayangkan perlawanan lain yang berlangsung serentak. "Jika ada enam atau tujuh perlawanan yang dimainkan serentak, mengapa hanya satu perlawanan yang ditayangkan? Penajaan ini juga sebenarnya tidak mengenakan sekatan sebegitu atau seperti Astro sahaja yang mendapat hak eksklusif penyiaran Liga M. Tegasnya, FAM menjangkakan kesan penajaan ini terhadap Liga M, bakal dirasai secara berkala walaupun mungkin agak terhad tahun ini, lebih menyerlah pada 2012 sebelum berjaya ditransformasikan sebagai salah satu liga terbaik di rantau ini pada 2014. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan