Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Bukan cipta alasan

Posted: 02 Mar 2011 11:11 AM PST

ADA rasa terkilan di hati jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee apabila niatnya menjelaskan realiti sebenar cabaran dihadapi anak buahnya disalah erti sesetengah pihak.

Beliau sama sekali tidak menyangka kenyataannya mengenai jadual perlawanan padat yang terpaksa diharungi skuadnya menjelang pertemuan kedua pusingan kelayakan Olimpik 2012 menentang Pakistan, di Lahore, Rabu ini dianggap seperti sekadar cuba mencipta alasan.


Bagaimanapun, jurulatih negara itu tidak mahu melatah kerana persembahan dipamer barisan pemain mudanya pada tiga perlawanan dalam tempoh seminggu sudah membuktikan komitmen mereka dalam liga tempatan dan tugasan antarabangsa meskipun dihimpit masalah kecederaan dan keletihan.

"Ini bukan satu alasan, pasukan ini memang berdepan jadual padat kerana pasukan Harimau Muda A yang bersaing dalam liga turut bermain pusingan kelayakan Olimpik. Saya kena bahagikan masa untuk mengharungi perlawanan liga dan pada masa sama mengadakan latihan skuad Olimpik.


"Walaupun kelayakan Olimpik menjadi keutamaan, perlawanan Liga Super dan Piala FA juga penting. Jika anda lihat prestasi pasukan selepas perlawanan pertama Liga Super menentang Negeri Sembilan, kami tidak pernah tewas selepas itu dan jika cakap percaturan saya tidak betul itu silap, kerana lawan yang kami tentang bukan calang-calang pasukan.


"Saya terkilan kerana kenyataan sebelum ini disalah erti dan dianggap cuba mencipta pelbagai alasan," katanya yang kembali mencongak strategi bagi pertemuan pusingan kedua Piala FA dengan Johor di Stadium Shah Alam, malam ini.

Ia perlawanan terakhir Harimau Muda A sebelum bertandang ke Lahore, Isnin ini bagi aksi timbal balik kelayakan Olimpik selepas menang 2-0 pada perlawanan pertama Rabu lalu.


Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengeluarkan kenyataan supaya Kim Swee tidak menjadikan jadual liga tempatan yang padat sebagai satu alasan, sukar menyediakan pasukan mantap bagi menghadapi pusingan kelayakan Olimpik.

Menurut Kim Swee, dengan 30 pemain yang dimiliki skuad Harimau Muda A, beliau memiliki kekuatan mencukupi bagi meneruskan cabaran liga dan peringkat antarabangsa.


"Walaupun hanya mengekalkan tiga pemain daripada kesebelasan utama menentang Felda United sebelum ini, pasukan saya masih mampu seri 1-1 dengan Perak dan ini pencapaian baik kerana Perak tidak pernah kalah setakat ini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Azizul tarik diri

Posted: 02 Mar 2011 10:17 AM PST

PEMBURUAN Jersi Pelangi di Kejohanan Dunia di Apeldoorn, Belanda pada 23-27 Mac ini kini disandarkan kepada Josiah Ng dan juga Rizal Tisin (gambar) selepas pelumba harapan, Azizulhasni Awang mengesahkan tidak akan menyertai kejohanan itu.

Pengesahan itu bermakna, semua spekulasi berhubung penyertaan Azizul di Kejohanan Dunia itu sudah terjawab.


Malah, ketua jurulatih negara, John Beasley mengesahkan pendahulu ranking dunia itu tidak mampu untuk pulih dengan kadar segera sekali gus perlu menarik dari daripada Kejohanan Dunia itu.

Pelumba kelahiran Terengganu itu menegaskan, mustahil bagi dirinya untuk pulih dalam jangka masa cepat kerana masih lagi berasa sakit kesan daripada pembedahan akibat tusukan kayu yang menembusi betis kirinya ketika siri Piala Dunia Klasik keempat di Manchester 18-29 Februari lalu.


Biarpun keinginannya untuk mewakili negara dan cuba menjadi pelumba negara pertama muncul juara dunia cukup tinggi, Olahragawan Kebangsaan 2009 itu tidak perlu terburu-buru kerana misi memburu emas di Sukan Olimpik lebih penting. "Perkara ini sudah dimaklumkan lebih awal bahawa saya mungkin tidak akan dapat bertanding di Kejohanan Dunia. Kesakitan yang dialami bukan luaran kerana ia membabitkan otot dalaman dan perlukan masa agak lama untuk pulih.


"Yang pasti, saya tidak sempat pulih dan berharap semua pihak memahami situasi ini," katanya.

Terdahulu Azizul didakwa akan beraksi di Kejohanan Dunia Trek selepas Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) menyenaraikan nama pelumba itu.


Mengetuai senarai itu Josiah, Rizal, Muhammad Edrus Md Yunos, Adiq Husinie Othman dan Fatehah Mustafa.

Pengunduran Azizul itu bermakna, dia akan kembali memburu mata kelayakan Olimpik bermula Ogos ini apabila siri Piala Dunia Klasik membuka tirai di Kazakhstan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan