Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Misbun Sidek berpatah arang

Posted:

Misbun Sidek berpatah arang

Misbun Sidek berpatah arang

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my


MISBUN telah menolak tawaran kontrak baru BAM untuk membimbing skuad pelapis negara.


DRAMA Datuk Misbun Sidek dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah berakhir.

Jurulatih perseorangan negara itu telah membuat keputusan menolak tawaran kontrak baru yang diberikan BAM kepada beliau untuk membimbing barisan pemain skuad pelapis negara.

Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata, Misbun membuat keputusan tersebut menerusi sepucuk surat yang diserahkannya kepada Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh petang kelmarin.

"Tidak ada siapa yang tahu Misbun ada menyerahkan surat itu kepada Datuk Nadzmi termasuklah saya sehingga presiden memaklumkan hal tersebut pagi tadi (semalam).

"Selepas mendapat tahu mengenai perkara itu, Kenny Goh (Pengurus Besar BAM) telah mengambil surat tersebut daripada Datuk Nadzmi dan kami telah membentangkannya pada mesyuarat Exco petang tadi (semalam).

"Dalam surat tersebut, Misbun mengatakan bahawa beliau menolak tawaran kontrak baru yang diberikan BAM dan kami juga telah sebulat suara menerima keputusan yang dibuat beliau itu," kata Chin Chai yang turut menghadiri mesyuarat Exco BAM di Bukit Kiara semalam.

Mesyuarat Exco BAM itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Presiden BAM, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah.

Ditanya adakah Misbun ada memberikan sebarang alasan mengapa beliau menolak tawaran tersebut, Chin Chai mememberitahu: "Tidak ada.

"Dalam surat itu, beliau hanya menyatakan bahawa beliau menolak tawaran yang diberikan oleh BAM."

Dengan keputusan tersebut, Misbun kini tidak lagi berada dalam barisan kejurulatihan BAM.

"BAM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Misbun atas sumbangan serta jasanya yang telah banyak membantu dalam usaha menaikkan nama sukan badminton negara di pentas antarabangsa.

"Banyak yang telah Misbun lakukan demi sukan badminton negara dan itu kita tidak boleh menafikannya," tambah Chin Chai.

Misbun mula menyertai BAM selaku jurulatih pada 2002 dan sepanjang tempoh lapan tahun bersama badan induk itu, beliau telah berjaya melahirkan 'permata' yang cukup berharga buat arena sukan badminton tanah air dengan kemunculan Datuk Lee Chong Wei.

Berkat tunjuk ajar serta bimbingan Misbun, Chong Wei kini bergelar jaguh No. 1 dunia sejak tahun 2008.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kewibawaan saya tercalar - Yunus

Posted:

Kewibawaan saya tercalar - Yunus

Kewibawaan saya tercalar - Yunus

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa@kosmo.com.my


YUNUS (kanan) membayangkan bahawa tindakan merehatkannya daripada melatih skuad T-Team seperti wujud konspirasi untuk menyingkirkannya.


DI sebalik tindakan jawatankuasa tertinggi T-Team yang merehatkan ketua jurulatihnya, Yunus Alif daripada membimbing pasukan berkenaan, ada nada kecewa yang disuarakan bekas pemain kebangsaan itu.

Menurut Yunus, keputusan pihak pengurusan sungguh mengejutkan, malah menganggapnya sebagai sesuatu yang mengaibkan kewibawaannya sebagai seorang jurulatih.

Lebih daripada itu, Yunus yang baru dilantik menggantikan Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor untuk membimbing T-Team pada awal musim ini membayangkan seperti wujud konspirasi untuk menyingkirkannya.

"Memang saya tidak tahu mengapa keputusan ini dibuat kerana saya memang tidak ada masalah dengan pemain-pemain dalam pasukan ini.

"Saya tidak menafikan prestasi pasukan memang merosot tetapi bukan mudah untuk membentuk sebuah pasukan hanya dalam beberapa bulan," katanya.

Ekoran daripada keputusan itu, tempat Yunus sebagai jurulatih T-Team kini diambil alih buat sementara oleh bekas jurulatih pasukan itu, Che Ku Marzuki dan dibantu jurulatih Piala Presiden, Yusuf Ali.

Pengesahan untuk merehatkan Yunus serta melantik dua jurulatih sementara untuk mengendalikan T-Team diumumkan oleh pengurus pasukan, Rozi Mamat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu kelmarin.

Ketika mengumumkan perkara itu, Rozi menjelaskan, tindakan merehatkan Yunus buat sementara adalah hasil persetujuan dan perbincangan semua pihak selepas melihat prestasi tidak menentu yang dicatat pasukan tersebut sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Yunus menambah, kontraknya sebagai jurulatih T-Team hanya akan berakhir pada November depan.

"Saya tidak tahu apa akan berlaku sele-pas ini dan saya menunggu perkembangan terbaru daripada pihak pengurusan," jelasnya yang mula menjadi jurulatih profesional pada tahun 1992.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

'Saya tidak ragui Shahidan'

Posted:

'Saya tidak ragui Shahidan'

'Saya tidak ragui Shahidan'

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my

KETUA Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong menjelaskan bahawa beliau bukannya meragui kredibiliti Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai isu pembayaran elaun kepada atlet oleh badan olahraga negara itu.

Sebaliknya Zolkples berkata, beliau hanya tidak mempercayai 'orang-orang bawahan' Shahidan dalam menguruskan wang elaun tersebut sekiranya MSN memberi hak kepada mereka melakukannya.

Alasannya ialah semua perancangan yang dibuat oleh KOAM selama ini adalah tidak selari dengan apa yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja (JKK) Bersama MSN KOAM.

"MSN tidak akan memberi peranan tersebut (pembayaran elaun atlet) kepada KOAM, tidak sesekali," kata Zolkples ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Antara Telekom Malaysia Berhad, Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia sempena Pelancaran 'Team Malaysia' di Kuala Lumpur semalam.

"Bukan kerana tidak percaya terhadap kredibiliti presiden mereka (Shahidan Kassim), sebaliknya cukuplah apa yang telah kami tahu selama ini.

"Sebenarnya, semua masalah ini timbul kerana orang lain yang buat perancangan (JKK), tetapi orang lain pula yang buat keputusan. Ada sesuatu yang tidak kena di situ," katanya lagi.

Zolkples turut hairan dengan sikap KOAM yang selalu menimbulkan isu satu persatu dengan MSN daripada lebih memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan prestasi atlet dan menghadiahkan kejayaan kepada Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Sebagai contoh, jelas Zolkples, Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) yang tidak mempunyai sebarang masalah dengan MSN, tetap berjaya menghasilkan atlet yang berwibawa serta mencatat beberapa kejayaan pada peringkat antarabangsa.

"Saya tidak faham mengapa KOAM seperti mencari masalah dengan MSN selama ini, persatuan sukan lain tidak pula ada banyak masalah dengan MSN.

"Seperti ASUM contohnya, MSN tiada masalah dengan mereka dan presidennya yang juga diketuai oleh Shahidan tetapi mereka tetap berjaya menghasilkan beberapa atlet yang bagus dan mencatat pencapaian yang agak memberangsangkan," jelasnya lagi.

Isu pembayaran elaun kepada atlet olahraga ini timbul selepas Shahidan menjelaskan bahawa KOAM bercadang untuk meminta MSN memberi tanggungjawab tersebut kepada mereka.

Namun Zolkples menolak cadangan tersebut dengan alasan tidak lagi mempercayai KOAM setelah difahamkan bahawa badan olahraga negara itu gagal membeli peralatan yang sepatutnya selepas menerima peruntukan RM280,000 pada tahun 2007.

"Malah ada sesetengah persatuan negeri mengadu bahawa mereka tidak mendapat bahagian peruntukan tersebut daripada KOAM, jadi ke mana duit itu hilang?" kata Zolkples.

Mengenai isu latihan atlet negara di Kompleks Sukan Ranau bagi persiapan Sukan SEA 2011, Zolkples berkata:

"KOAM sepatutnya ikut nasihat Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) kerana mereka lebih tahu mengenai kompleks latihan itu sendiri.

"Pengurus besar LSNS, Mahmood Kalong sendiri menyatakan trek di situ tidak sesuai untuk atlet negara berlatih kerana ia boleh mendatangkan kecederaan kepada atlet itu sendiri."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan