Utusan Online - Sukan |
Posted: PKNS juara Liga Perdana 2011
KUALA LUMPUR - PKNS mengesahkan kejuaraan Liga Perdana musim ini selepas mengalahkan Johor 2-0 di Stadium MBPJ Kelana Jaya, malam tadi. Kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim mengumpul 51 mata, untuk dinobat selaku juara ketika baki tiga perlawanan. Lebih membanggakan PKNS mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 19 perlawanan setakat ini. Perolehan 51 mata tersebut tidak mampu lagi dipintas pencabar terdekat, Sarawak yang mengumpul 39 mata, setelah menang 3-0 ke atas PDRM di Stadium Negeri Kuching, semalam. Saingan untuk satu lagi slot ke saingan Liga Super pada musim depan tertumpu kepada perebutan di antara Sarawak dan pasukan di tangga ketiga, Sime Darby. Namun cabaran Sime Darby sedikit terencat apabila kalah 1-2 kepada SDM Navy di Stadium Batu Kawan, malam tadi. PKNS, yang hanya memerlukan satu mata daripada perlawanan semalam untuk bergelar juara, sebaliknya selesa dengan tiga mata penuh di laman sendiri menerusi jaringan Ahmad Tharmini Saiban pada minit ke-59, disusuli jaringan Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul pada minit ke-71, yang kemudiannya dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. Abdul Rahman berkata, beliau bersyukur kerana PKNS muncul juara Liga Perdana lebih awal iaitu ketika baki tiga perlawanan. "Kejuaraan ini merupakan satu rekod luar biasa, saya sendiri tidak menjangka dengan apa yang kami capai. "Kemampuan kami muncul juara disebabkan disiplin pemain di atas padang. Bahagian pertahanan beraksi dengan baik apabila hanya melepaskan empat gol setakat ini. "Kejayaan ini disebabkan pemain-pemain sendiri yang mahukan kejuaraan setelah tiga tahun saya membimbing skuad ini. "Setelah tiga tahun para pemain ini mencuba, pada tahun ketiga barulah kami berjaya ke Liga Super, kejuaraan ini adalah kerana motivasi pemain. "Kejayaan ini juga menamatkan penantian lebih 20 tahun PKNS untuk beraksi dalam Liga Super," katanya. Sementara itu, jurulatih Johor, Azmi Muhamad akan memastikan mereka merupakan pasukan kedua yang akan mengiringi PKNS ke Liga Super musim depan. "Kami masih ada tiga perlawanan dan adalah penting untuk kami meraih mata dalam ketiga-tiga perlawanan untuk mencerahkan peluang ke Liga Super," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Indonesia sedia runding tambah acara basikal trek Posted: Indonesia sedia runding tambah acara basikal trekKUALA LUMPUR - Malaysia menerima perkhabaran gembira menjelang Sukan Sea 2011 apabila Indonesia bersedia mengadakan rundingan semula dengan Persatuan Berbasikal Asia (ACC) mengenai jumlah acara basikal khususnya trek yang akan diadakan di Palembang November ini. Naib Presiden ACC, Abu Samah Abd. Wahab yang menerima mandat badan berbasikal Asia itu agar kemelut jumlah acara trek pada Sukan Sea 2011 diselesaikan, menjelaskan Indonesia sedia menemui wakil ACC dan Persekutuan Berbasikal Asean (ACA) di Jakarta dalam tempoh terdekat. "Perkara ini dinyatakan Ketua Umum Ikatan Sepeda Sport Indonesia (ISSI), Phanny Tanjung dalam satu pertemuan khas dengan saya di Kuala Lumpur. "Saya berbesar hati dan gembira melihat sikap terbuka ISSI. Malah Indonesia berjanji akan mencari jalan penyelesaian menang-menang. "Pada awal Mei lalu saya ke Jogjakarta menemui delegasi Indonesia untuk mengetahui perkembangan terkini tentang acara berbasikal yang akan dipertandingkan di Palembang. Kehadiran Phanny adalah sebagai satu kunjungan balas. "Namun secara simbolik ia membuktikan Ketua Umum ISSI itu bersikap terbuka. Ia membuktikan Phanny Tanjung berfikiran terbuka, matang dan mahu mencari formula menang-menang," katanya. Sebelum ini, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kurang senang apabila hanya tiga acara trek, bukan 12 yang dipertandingkan pada Sukan SEA. Acara trek yang penting seperti keirin dan 200 meter pecut individu tidak dipertandingkan. Malaysia mempunyai dua pelumba bertaraf dunia dalam acara ini iaitu Mohd Azizulhasni Awang dan Josiah Ng. Keputusan itu dinyatakan Komite Olimpik Indonesia (KOI) yang menegaskan tidak melakukan rombakan mana-mana acara membabitkan trek, basikal bukit (MTB) dan BMX sekali pun telah mengadakan mesyuarat pada 25 Februari lalu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan