Utusan Online - Sukan |
Pemain gantian wira Terengganu Posted: Pemain gantian wira Terengganu
KUALA LUMPUR– Pemain gantian, Ahmad Nordin Alias muncul wira Terengganu apabila gol kemenangannya pada minit ke-109 masa tambahan membawa skuad Putih Hitam itu menjulang Piala FA 2011 dengan menewaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir yang dramatik, semalam. Dia yang masuk menggantikan Ismail Faruqi Ashari, merembat masuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat selepas mendapat umpanan tandukan Joseph Kallang Tie daripada satu sepakan sudut sebelah kiri. Terdahulu perlawanan itu terikat 1-1 selepas 90 minit permainan masa sebenar dengan Kelantan membuka tirai gol menerusi Nurul Azwan Roya pada minit ke-79 sebelum diikat skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim dengan jaringan sendiri Daudsu Jamaludin. Nurul Azwan menewaskan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli menerusi sepakan lambung selepas melakukan larian kencang dan menyambung lorongan bola daripada Shakir Shaari pada minit ke-79. Ketika perlawanan berlanjutan ke masa kecederaan lima minit dan mencecah penghujungnya dan seolah-olah Kelantan akan merangkul trofi itu kali pertama, anak buah Datuk M. Karathu dikejutkan dengan gerakan Abdul Manaf dari sebelah kanan. Penyerang Terengganu itu mengutip lorongan bola daripada Ashari Samsudin dari sebelah kanan sebelum menolak menewaskan Khairul Fahmi yang kemudiannya tertanduk ke gawang Kelantan oleh pemainnya, Daudsu. Kejayaan menjulang trofi pertandingan kalah mati kebangsaan itu sekali gus mengulangi kejayaan Sang Penyu melakukannya buat kali terakhir pada 2000 dengan menewaskan Pulau Pinang menerusi penentuan penalti 4-3. Menariknya ialah Piala FA kali ini dimenangi jurulatih Terengganu, Irfan Bakti yang secara kebetulan berasal dari Kelantan dan melatih Pulau Pinang yang ditewaskan lawan dalam perlawanan akhir, 11 tahun lalu. Sebaliknya kekalahan tipis ini langsung meranapkan impian Kelantan untuk menambah koleksi gelaran kedua Liga Malaysia musim ini selepas menjulang Piala Sultan Ahmad Shah dengan menewaskan Selangor 2-0 pada awal tahun. Kelantan turut terus kempunan Piala FA selepas dihampakan Selangor menerusi penentuan penalti 4-1 juga di Bukit Jalil, dua tahun lalu selepas mereka terikat 1-1. Perlawanan akhir edisi ke-22 ini turut disaksikan oleh tetamu kenamaan seperti Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin; Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tan Sri Annuar Musa. Sementara itu, jurulatih Terengganu Irfan Bakti memuji pemain yang bangkit untuk menenangi perlawanan. "Pemain berjuang sehingga ke minit akhir (masa sebenar) untuk mencari gol penyamaan dan mengheret permainan ke masa tambahan, seterusnya memenangi perlawanan," katanya. Jurulatih Kelantan, Karathu pula mengakui jaringan penyamaan pada minit akhir masa kecederaan, melemahkan semangat pemain. "Apabila permainan berlanjutan ke masa tambahan, adalah sukar untuk pemain mengekalkan semangat seperti masa pada masa sebenar," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Misi mustahil pintas Terengganu Posted: Misi mustahil pintas TerengganuPasukan mendayung Terengganu meraikan kejayaan muncul juara dalam kategori Berpasukan Lapan Lelaki akhir acara mendayung pada Sukan Malaysia di Kompleks Sukan Air Preseint 6, Putrajaya semalam. KUALA LUMPUR – Harapan Terengganu untuk muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia XIV sukar digugat oleh pasukan di tangga kedua, Selangor walaupun masih ada lima emas yang dipertandingkan pada hari terakhir temasya sukan itu , hari ini. Tambahan tiga emas daripada sukan mendayung semalam, mengukuhkan lagi cengkaman Terengganu di tangga teratas senarai kedudukan pingat dengan 28 emas. Terengganu tetap tertekan kerana masih dihambat Selangor yang mengungguli hari ke-10 semalam, menerusi kejayaan membolot enam daripada 15 emas yang ditawarkan. Dengan itu, Selangor kini memiliki 24 emas, 18 perak dan 27 gangsa. Namun adalah mustahil untuk Selangor mengejar Terengganu, berdasarkan penyertaan negeri itu dalam acara akhir hari ini hanya melibatkan sofbol wanita dan acara kombinasi renang berirama. Ini bermakna jumlah maksimum pungutan pingat emas yang mampu diraih Selangor adalah setakat 26 sahaja. Sedangkan Terengganu berpeluang melebarkan kedudukan selepas menempah tiket dalam dua acara akhir iaitu sofbol lelaki dan wanita. Lima pingat emas yang dipertandingkan pada hari terakhir hari ini ialah bola baling lelaki dan wanita (2), renang irama (1), sofbol berpasukan lelaki dan wanita (2). Acara penutup akan berlangsung hari ini yang akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di stadium mini MSN di Bukit Jalil, di sini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan