Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Sekadar cari pengalaman

Posted: 28 Aug 2011 08:43 AM PDT

BUKAN mahu menidakkan kemampuan skuad Olimpik negara tapi pengkritik sukan, Serbegeth Singh lebih cenderung bersikap realistik dengan menganggap peluang anak buah jurulatih Ong Kim Swee itu untuk merebut slot automatik ke Sukan Olimpik London 2012 ternyata sukar.

Bekas pemain kebangsaan itu melihat penyertaan Malaysia dalam pusingan ketiga peringkat kumpulan C kelayakan Olimpik yang membabitkan gergasi Asia, Jepun, Syria dan Bahrain hanyalah pentas untuk menimba pengalaman.


"Skuad Olimpik negara diundi dalam kumpulan sukar, memang kelebihan kepada pasukan Jepun, Syria dan Bahrain. Jika diikutkan, memang susah untuk menewaskan Jepun, sama ada di gelanggang lawan ataupun di tempat sendiri. Mungkin kita boleh mengaut mata di tempat sendiri apabila berdepan Syria dan Bahrain, tapi hakikatnya skuad Olimpik negara berdepan laluan sukar.

"Jepun selalu beraksi di peringkat tinggi. Mereka gergasi Asia manakala kita cuma gah di peringkat Asia Tenggara. Bagi saya, Jepun ibarat berada dalam divisyen satu Asia, Syria dan Bahrain, divisyen dua manakala Malaysia pula di divisyen tiga," kata Serbegeth.


Harapan Malaysia untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik selepas kali terakhir melakukannya ketika Sukan Olimpik Moscow 1980 menjelma apabila skuad bimbingan Kim Swee mengatasi halangan awal kelayakan menentang Pakistan dengan agregat 2-0 dan Lubnan (2-1).


Bagaimanapun untuk merealisasikan impian itu, pemain muda negara perlu mempamerkan aksi menakjubkan memandangkan format pertandingan hanya membenarkan juara setiap kumpulan layak secara automatik ke London manakala naib juara kumpulan akan bersaing dalam play-off sebelum bertemu pasukan di tempat keempat dari benua Afrika bagi merebut satu slot terakhir.

Biarpun tidak mahu meletakkan harapan tinggi, Serbegeth yang turut terkenal dengan panggilan Shebbie mengharapkan skuad Olimpik negara mampu memberi tentangan hebat kepada pasukan lawan.


"Pemain wajar mengambil kesempatan bertemu dengan pasukan handalan Asia ini untuk menimba pengalaman serta membaiki standard bola sepak negara. Jika mereka mencatat dua atau tiga kemenangan terutamanya di gelanggang sendiri, itu sudah dikira pencapaian baik," katanya.

Malaysia bakal memulakan kempen peringkat kumpulan menentang Jepun di Stadium Tosu, Saga pada 21 September ini.

Azlan idam aksi MotoGP

Posted: 28 Aug 2011 08:40 AM PDT

PELUMBA sensasi negara, Azlan Shah Kamaruzaman menyimpan hasrat untuk beraksi menerusi tiket wildcard pada saingan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Oktober ini.

Azlan yang semakin menyinar pada saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini dengan menduduki tangga kedua keseluruhan selepas tiga pusingan berharap impian itu akan dapat direalisasikan pada Oktober selepas peluang sama diberikan kepada Mohd Zamri Baba, musim lalu.


Dia yang menunggang jentera Boon Siew Honda Malaysia untuk kelas Supersports 600cc di ARRC tidak menafikan ia adalah antara impian terbesarnya yang disimpan sejak sekian lama bagi melengkapkan kariernya sebagai pelumba profesional.

"Memang beraksi di saingan MotoGP sentiasa menjadi impian saya. Dengan kembalinya semula saingan MotoGP pada Oktober ini, saya harap kali ini saya terpilih untuk beraksi menerusi tiket wildcard.


"Tidak dinafikan MotoGP adalah saingan yang sangat mencabar dan sebab itu saya memang teringin untuk beraksi bersama pelumba bertaraf dunia lain," katanya.


Tahun lalu, Mohd Zamri diberi peluang beraksi pada saingan kompetitif itu dalam kategori Moto2 manakala Azlan dihimpit kekecewaan kerana namanya tidak tersenarai dalam pemilihan penyertaan tiket wildcard itu.

Ditanya adakah dia turut mengimpikan beraksi dalam musim penuh di MotoGP, pelumba berusia 27 tahun itu berkata, ia sememangnya menjadi impian setiap pelumba.


"Tapi masalah utama adalah untuk mencari penaja. Siapa yang sanggup menaja kami dengan kos berjuta-juta ringgit? Inilah kekangan yang dihadapi setiap pelumba," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan