Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


'Bebas daripada sumpahan'

Posted:

'Bebas daripada sumpahan'

'Bebas daripada sumpahan'

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my


LEE Chong Wei mudah menewaskan Kevin Cordon dalam saingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Arena Wembley, London, semalam. Chong Wei menang 21-7, 21-13 dalam masa 24 minit. - AFP


KUALA LUMPUR - Selepas enam tahun gagal melepasi suku akhir, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan dia akhirnya 'bebas daripada sumpahan' apabila melangkah ke separuh akhir pertama sejak 2005 dengan menumpaskan pemain paling popular pada Kejohanan Dunia di London, Kevin Cordon dari Guatemala, semalam.

Chong Wei, yang kecundang awal dalam empat penampilan terakhir dan turun memburu kejuaraan dunia pertamanya, langsung tidak menghadapi masalah menyingkirkan pemain yang digelar giant killer Wembley, Cordon 21-7, 21-13 dalam masa 24 minit.

Biarpun sebahagian besar sokongan penonton di Arena Wembley berpihak kepada Cordon, pemain yang mula mencuri tumpuan dengan mengejutkan jaguh China, Chen Long di pusingan pertama, namun Chong Wei tenang untuk memastikan Malaysia terus mempunyai wakil di separuh akhir selepas melihat beregu utamanya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tersingkir awal.

Penyandang juara, Chen Jin berkemungkinan besar menjadi lawan yang bakal ditentang jaguh negara itu di separuh akhir hari ini, namun Chong Wei enggan mengetepikan peluang pemain muda Denmark, Hans-Kristian Vittinghus yang bertemu Chen dalam satu lagi suku akhir.

"Saya selalu kalah di peringkat lebih awal, biasanya di suku akhir dan kali terakhir saya melangkah ke separuh akhir adalah di Amerika Syarikat pada 2005, jadi berjaya memasuki separuh akhir sekali lagi hari ini umpama membuang sumpahan. Sekarang saya menanti perlawanan seterusnya dengan penuh optimis.

"Saya amat bersimpati dengan Koo-Tan kerana gagal meneruskan kemaraan, selama ini saya berkongsi tekanan bersama mereka tetapi sekarang saya memikul tanggungjawab bersendirian. Begitupun, saya sudah terbiasa dengan situasi begini, dapat merangkul kejuaraan akan menjadi hadiah terbaik saya buat seluruh rakyat Malaysia,'' ujar Chong Wei.

Seandainya bertemu Chen Jin di separuh akhir nanti, Chong Wei berkata, dia cukup berkeyakinan untuk berdepan jaguh China itu kerana dia sudah dipersiapkan untuk menghadapi mana-mana pencabar

"Apabila memasuki separuh akhir, walau siapa pun yang akan saya jumpa, saya kena sentiasa meningkatkan permainan dan bersedia menghadapinya.

"Kejuaraan dunia adalah gelaran yang amat saya inginkan dan saya akan memastikan hanya yang terbaik diberikan sebaik memasuki gelanggang, tidak kurang dari itu,'' kata Chong Wei.

Pada perlawanan semalam, penguasaan Chong Wei ke atas Cordon langsung tidak mampu dibendung, meskipun bintang Guatemala itu mencuri tumpuan awal dengan mendahului 3-0 dalam set pertama.

Sebaik berjaya menyamakan kedudukan 3-3, Chong Wei langsung tidak menoleh ke belakang, apabila melebarkan jurang sehingga 14-5 dengan memaksa lawan berlari ke seluruh gelanggang, malah dia hanya membenarkan Cordon menambah dua mata, sebelum menutup saingan dengan 21-7.

Set kedua juga tampak berat sebelah, biar pun kutipan mata yang dipungut oleh Cordon bertambah berbanding sebelumnya. Kekalahan 13-21 kepada jaguh No. 1 dunia itu menamatkan kisah dongeng pemain berusia 24 tahun itu, yang mendapat nama sempena bekas kapten bola sepak England, Kevin Keegan.

"Saya kalah kepada pemain terbaik di dunia dan memang sukar hendak berlawan dengan Lee Chong Wei. Sepanjang masa, saya kena memberi pukulan terbaik yang ada untuk mengutip mata, biarpun ada masanya saya rasa pukulan saya sudah cantik dan akan mendarat ke gelanggang, dia tiba-tiba berjaya mengangkatnya,'' akui Cordon, pemain No. 34 dunia, yang berlatih di Sepanyol sejak Mac lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Beregu Korea terlalu kuat buat Koo-Tan

Posted:

Beregu Korea terlalu kuat buat Koo-Tan

Beregu Korea terlalu kuat buat Koo-Tan

KUALA LUMPUR - Koo Kien Keat-Tan Boon Heong nyata berada satu kelas di bawah Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong apabila tumpas buat kali kelima berturut-turut kepada pasangan Korea Selatan itu semalam, sekali gus tersingkir daripada suku akhir Kejohanan Dunia di Arena Wembley, London.

Beregu utama negara yang juga pilihan keempat kejohanan itu tidak pernah menang ke atas pasangan Korea itu dalam empat pertemuan terdahulu dan semalam mereka terus gagal memecah badi apabila kecundang 17-21, 13-21 dalam pertarungan 31 minit tanpa banyak melawan.

Ia merupakan penamat yang amat mengecewakan buat anak- anak buah Rexy Mainaky itu yang diletak harapan tinggi selepas turun dengan reputasi selaku naib juara dunia selepas mara ke final, tahun lalu. Malah kekalahan ini juga meneruskan musim suram mereka yang hanya menang satu daripada lapan kejohanan yang disertai tahun ini.

Kecewa dengan persembahan longlai dan kegagalan memberi tentangan sengit kepada pasangan Korea, Kien Keat dengan nada kecewa berkata: "Kami kurang sparring (rakan sepelatih) berkualiti dan ia menyebabkan kami tidak dapat menyaingi kepantasan lawan.

"Kami jelas ketinggalan satu langkah di belakang mereka dalam melakukan hantaran, mereka sentiasa tahu gerakan yang hendak kami lakukan dan menghukum setiap kelemahan kami."

Kenyataan Kien Keat itu turut disokong oleh Rexy, yang mengambil masa agak lama sebelum bersedia menjelaskan kepada media apa yang sebenarnya tidak kena dengan anak didiknya itu.

"Hakikatnya, kita tidak cukup bagus hari ini untuk mengatasi pasangan Korea, baik dari segi kepantasan mahupun daya tahan. Ia aspek yang kami sudah berusaha perbaiki sepanjang latihan, malangnya ia masih tidak memadai,'' ujar Rexy.

Kien Keat-Boon Heong masih mampu menunjukkan tempo yang baik di set pertama dengan permainan berlangsung sengit dan kedua-dua pasangan saling mengejar mata dengan rapat, namun terlalu banyak kesilapan mudah dilakukan Kien Keat, terutama pukulan yang sangkut di jaring memberi kelebihan kepada lawan untuk mengutip mata.

Pasangan Korea itu seketika mendahului 16-13 tetapi dikejar oleh beregu negara 15-16, begitupun sebaik Sung Hyun-Yeon Seong mempercepatkan permainan, mereka langsung tidak mampu mengejar dan ketinggalan.

Set kedua menyaksikan Kien Keat-Boon Heong tidak mampu menangani kepantasan lawan, malah seketika ketinggalan 1-7, 5-10, sebelum akhirnya akur 13-21.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen